Apakah keruntuhan kerajaan PN bermula di Johor?


ULASAN

Tajuddin Ab Rahman
KEMELUT kerajaan PN Johor nampaknya tidak boleh ditusuk selindungkan lagi. Johor kini dalam radar pemeriksaan para pemerhati politik negara. Cakap dan cakar politik dalam kerajaan PN Johor sudah kian merebak dan makin menular.

Penularannya lebih kencang daripada Covid-19 waktu ini. Ironisnya pendemik Covid-19 sudah tampak hendak mengurang, tetapi kemelut politik di Johor semakin membelang pula. Apakah isu terbaru selepas Covid-19 ianya hal politik Johor?


Setiap hari ia dipertutur dan dispekulasikan. Macam-macam analisis dibuat dan hipotesis politik Johor sedang dilakukan. Sekiranya bukan kerana Covid-19 saya pasti politik Johor mendominasi hel ehwal politik kita.

Percakapan mengenai keadaan di Johor bukan saja kalangan politis di negeri itu, tetapi sudah terbawa ke Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sudah mula memerhati serius. Sesuatu isu di peringkat negeri apabila sudah terbawa ke Kuala Lumpur ertinya ia kritikal. Kebiasaanya orang Kuala Lumpur tidak akan bercakap isu-isu peringkat daerah dan negeri. Isu daerah dan negeri biarlah negeri uruskan. Pemimpin tertinggi akan bercakap isu kebangsaan yang lebih besar.

Apabila pemimpin peringkat kebangsaan sudah membuka mulut mengenai apa berlaku di Johor itu maka ia adalah suatu isu besar dan penting. Kemelut di Johor itu sudah jadi isu kebangsaan.

Itu, Tajuddin Abdul Rahman siapa tidak kenal dengannya, beliau merupakan salah seorang jaguh menggerakkan rakyat untuk meruntuhkan kerajaan PH telah bersuara menyatakan kebimbangannya mengenai apa yang berlaku di Johor. Suara Tajuddin itu bukan sembarangan, beliau jarang menyentuh hal-hal remeh begitu. Apabila beliau turut memperhati maknanya ia serius.

Katanya seperti dilaporkan, beliau meminta pemimpin atasan campur tangan menyelesaikan kemelut di Johor itu. Cadangnya penyelesaian itu bukan saja oleh pemimpin peringkat bawahan atau kawasan tetapi di peringkat tertinggi.

Apabila meminta pemimpin atasan campur tangan, ertinya kemelut di Johor itu tidak dapat diselesaikan diperingkat negeri lagi. Ia bukan isu kecil yang boleh dilihat sebelah mata.

Ahli MT Umno itu sama sekali tidak menafikan apa yang berlaku di negeri bahagian selatan itu, sebaliknya secara tidak langsung mengakui suasana itu. Menurutnya sebagai pakatan baru ia banyak masalah. Ertinya Tajuddin dapat baca apa masalah yang berlaku di Johor itu dan beliau sendiri dirodok kewalangan.

Apa yang disuarakan Tajuddin itu sudah cukup untuk diterjemahkan bahawa kemelut di Johor itu dalam bahaya yang memerlukan penangani secara tuntas oleh pemimpin peringkat atasan. Ertinya Tajuddin sudah tidak yakin kemelut di Johor itu mampu diatasi pemimpin di negeri itu sahaja.

Dalam hierarki politik apabila disebut pemimpin peringkat atasan siapakah mereka? Mereka adalah Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno. Dan maksud perundingan peringkat tertinggi akan membabitkan perundingan eksekutif.

Perundingan peringkat eksekutif tentu tidak akan mencakupi hanya isu di Johor sahaja. Pastinya ia akan turut sama melencung membincang dan turut menyelesaikan isu-isu peringkat nasional yang tidak disentuh dan diputuskan selama ini. Salah satu ialah mengenai kedudukan Zahid dan lain-lain pemimpin utama Umno dalam kerajaan PN.

Sehingga hari ini Muhyiddin belum memberi kata putus mengenai kedudukan Zahid dalam kerajaan atau bagaimana Muhyiddin untuk berterima kasih dan membalas budi kepada Zahid. Apakah kita mengira Zahid redha dengan apa yang dihadapi kini?

Sesuatu yang kena difahami tanpa kerjasama Umno, Muhyiddin tidak akan jadi perdana menteri. Bagi sang pengorban tentulah mereka menuntutkan sesaji. Seperti mana dalam kepercayaan karut orang Melayu, jin dan hantu yang diminta membantu sesuatu akan diberikan sesaji sebagai upah.

Tanpa diberikan sesajian ia boleh berpaling tadah sampai sanggup memakan dan menyusahkan orang yang mengupahnya itu. Dalam konteks politik, pengsekongkolan untuk jatuh kerajaan PH itu apakah Zahid tidak mahu apa-apa sesajian?
Apabila Tajuddin menggesakan demikian saya melihat ke situ tujuan dan maksudnya. Motif Tajuddin bukan saja untuk Johor tetapi untuk Kuala Lumpur sahaja. Umno kini sebenarnya belum menemui rentak sebenar dalam kerajaan PN sedangkan dalam masa sama ia mulai mengira banyak kerugian dan damage ditanggungnya kerana menyokong Muhyiddin.

Mereka menyedari yang Bersatu cuba untuk membayangi mereka setelah mendapat laba daripada kesanggupannya. Secara diam-diam berlaku perebutan kuasa di antara Bersatu dengan Umno bagi meneruskan kerajaan PN. Hakikat ini tidak terselak ke luar.

Dan apa yang berlaku di Johor itu, "penganiayaan" Umno kepada Bersatu adalah percubaan Umno untuk menguji kekuatan Bersatu. Itu sebenarnya. Fahami isu di Johor itu ia tidak berlaku dan terjadi begitu sahaja tanpa motif. Apakah orang Bersatu memahami keadaan dan kondisi ini wallahu'alm.

Tetapi yang jelasnya penyesalan kerana bersekongkol dengan Umno sudah  mulai dirasai dengan apa yang berlaku sekarang ini. Bersatu sudah dapat merasakan Umno tidak adil dan jelas memperalatkannya untuk mendapatkan sesuatu (Kerajaan). Cakap-cakap dan ulasan pemimpin Bersatu berhubung ulah Umno menjelaskan keadaan itu.
Salahuddin Ayub
Benarlah apa yang dianologikan oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Umno parti berpuaka dan ada saka yang tidak mungkin boleh berlaku adil dengan Bersatu. Jika Bersatu mengharap keadilan daripada Umno ia sesuatu pengharapan yang sia-sia sahaja.

Lantaran itu Salahuddin tanpa pesimis membuka jalan kepada Bersatu agar kembali kepada PH bagi meneruskan pengorbanan dan perjuangan demi rakyat seperti dilakukan semasa dalam kerajaan PH dahulu, selain ia juga bagi mengelakkan Bersatu terus diperbudakkan oleh Umno.

Ada benarnya kata Salahuddin itu. Rasanya orang Bersatu pun dapat tahu dan membandingkan keselesaan sebenar apakah bersama PH atau bersama PN.

Dalam pada itu pada bacaan saya kemelut di Johor itu telah menjempitkan Muhyiddin. Muhyiddin dalam keadaan desparate. Beliau memahami apa yang berlaku dan dilakukan itu. Justeru kini beliau masih belum bersuara atau mengulas kemelut itu. Kesibukan menguruskan negara yang dilanda Covid-19 tampaknya dijadikan alasan untuk beliau mendiamkan diri.

Tetapi dunia dapat mengetahui apa yang sedang bergelora dalam jiwa Muhyiddin kini. Disamping cemas dengan Covid-19 beliau juga sangat bimbang dengan kedudukan dirinya. Muhyiddin sudah tidak ada helah dan akal lain lagi untuk tidak menjawab dan menyelesaikan kemelut di Johor itu kerana orang-orang Bersatu mungkin bersatu untuk menolaknya dalam mesyuarat agung parti itu nanti yang dikira gagal meneguhkan maruah dan martabat parti.

Persoalan yang mahu dilihat daripada kemelut di Johor kini, apakah ia akan menjadi pemula dan penyebab kepada akan runtuhnya kerajaan PN di Johor? [wm.kl.1:20 pm 01/05/2020]


No comments: