Berbaloikah kelonggaran PKP 4 Mei?
Kredit: FB Mohd Fadli Salleh
ULASAN: Wajah-wajah pejuang dan hero kita ini sangat kecewa dengan pengumuman banyak sektor mula beroperasi secara penuh 4 Mei 2020 ini.
Rata-rata kawan aku yang bekerja sebagai doktor, jururawat, staff KKM, polis, askar, RELA dan seumpamanya tak setuju dengan langkah ini.
Aku juga berpendapat sedemikian. Rasanya ia langkah tergesa-gesa dan ada risiko besar yang kita tengah perjudikan.
Buat kawan-kawan yang hilang pendapatan sepanjang PKP ini, mereka menarik nafas lega dengan pengumuman itu. Mereka dah lama tersiksa, dah lama tersepit dan pengumuman itu melegakan mereka.
Kawan-kawan, benar kami tidak dalam kasut kalian. Benar kalian sangat tersepit dan tertekan.
Aku punya ramai kawan-kawan, sanak saudara sepertimana kalian. Bahkan sasaran Dana Kita sepanjang PKP beribu-ribu orangnya. Aku menyantuni, aku selami dan memang faham kesukaran itu.
Namun kawan. Bukan hendak menidak kesusahan kalian. Namun kita masih belum menang. Masih belum!
Sudah lama kita berkorban. Sudah lebih 100 nyawa melayang. Beribu lagi di wad. Dan hari ini kes positif makin meningkat.
Kenapa tidak tunggu PKP Fasa 4 tamat 12 Mei 2020, terlebih dahulu. Cuma seminggu lebih sahaja lagi.
Lepas itu baru buat keputusan untuk buka sektor-sektor secara berperingkat. Bermula dari zon hijau dan diperluaskan secara beransur-ansur. Pada aku begitu lebih baik.
Wabak ini bukan hanya kita yang rasa. Bahkan satu dunia. Dan sudah ada sejarah dari negara lain yang tergesa-gesa membuka ‘lockdown’ terlalu awal kemudian keadaan bertambah buruk. Hingga mereka terpaksa ‘mengunci’ rakyat mereka dengan lebih ketat dan lama.
Kita tidak mahu seperti itu. Masih terngiang ucapan dari Dato’ Sri Ismail Sabri,
“Kita hanya buka kebebasan setelah semuanya benar-benar selamat. Kita tak mahu buka sebentar kemudian wabak kembali teruk dan kita perlu tutup semula.”
Lebih kurang begitu ucapan beliau yang aku dengar sebelum ini.
Dan langkah yang diumumkan hari ini merisaukan sangat banyak pihak.
Apa yang paling dirunsingkan, pengorbanan selama ini akan menjadi sia-sia bila wabak kembali menggila.
Buat kawan-kawan yang sangat terkesan akibat PKP, aku harap ada bantuan tambahan buat mereka ini.
Benar mereka sangat tersepit dan susah. Benar mereka tertekan dan terkesan. Dan sangat benar mereka sangat ingin kembali bekerja bukan untuk kaya, hanya untuk sepinggan nasi buat santapan ahli keluarga.
Mereka ini perlu dibantu oleh kerajaan, NGO, dan orang persendirian yang punya rezeki lebih.
Kita merasa risau bukan kerana hendak menyekat rezeki sesiapa. Kita merasa risau kerana banyak risiko bahaya sedang menanti di depan sana.
Sama-sama kita doakan agar semua kembali pulih dengan cepat.
Nota : Saya bukan pakar ekonomi. Bukan pakar perubatan. Bukan penganalisis data. Setiap apa yang ditulis boleh saja hendak setuju atau tidak.
Dan ini bukan artikel politik. Jadi sesiapa yang datang komen, tolong tidak mempolitikkan artikel ini.