Tunda Parlimen pada 18 Mei bukti PN tidak stabil, rapuh dan gusar

Tunda Parlimen pada 18 Mei bukti PN tidak stabil, rapuh dan gusar



Penundaan mesyuarat pertama penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei ini membuktikan kerajaan ‘tebuk atap’ PN merasa tidak stabil, rapuh, gusar dan bimbang usul undi tidak percaya pihak lawan.
Malah penundaan ini memberi peluang kepada PN untuk mengukuhkan kuasa dan ruang penguasaan yang ada dalam kerajaan.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad.
Soal beliau, apakah perlu dihadkan sesi Parlimen dan hanya agenda terpilih sahaja dibentangkan ekoran penularan wabak Covid-19?.
“Strategi melawan Covid-19 dan pendekatan penggalakan kesihatan awam disamping Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat(Prihatin) sepertimana yang diumumkan merupakan agenda penting yang perlu dibahaskan.
“Namun begitu untuk menghadkan tempoh satu hari bersidang, tiada sesi pertanyaan jawab lisan dan waktu pertanyaan menteri serta juga usul maka ianya adalah amatlah tidak wajar sama sekali serta mencacatkan proses demokrasi negara dan amalan persidangan ‘Westminister’,” tegas beliau.
Kata Dr Roslan lagi, melihat kepada fasa-fasa PKP, sidang parlimen berada dalam fasa V dan mengikut jangkaan serta pelapuran MKN dan KKM drkawal dan zon hijau akan bertambah.
Sejajar dengan itu ujarnya sudah pasti larangan PKP akan dilonggarkan sepertimana jumlah penumpang dalam kereta, pergerakan dan penghantaran pelajar IPT balik kampung dan tindakan MITI meluaskan jenis perniagaan dan membenarkan ahli parlimen bergerak dan persidangan dilangsungkan untuk tempoh yang lebih panjang bukanlah suatu isu sebab penjarakan sosial, pemakaian penutup muka dan pematuhan PKP masih dikuatkuasakan.
“Perbahasan isu-isu mendesak dan relevan dengan Covid-19 sepatutnya diadakan. Manakala rakyat yang terhimpit disebabkan PKP perlu dibantu dan dan dibela serta pakej rangsangan yang diberikan haruslah menepati sasarannya.
” Implikasi kepada ekonomi semasa dan pasca Covid-19 tentunya memeritkan kerana beberapa industri terutamanya penerbangan, perhotelan, pelancongan, industri kecil dan sederhana kemungkinan besar akan gulung tikar.
” Bibit-bibit ini sudah jelas kelihatan dan kesan sosial perlu ditangani melalui dasar-dasar yang lestari dan berkesan serta kerancakan membantu rakyat dengan agihan barang keperluan seharusnya menjadi prioriti sepertimana rancaknya pengagihan jawatan Pengerusi GLC kepada ahli-ahli parlimen,” ujarnya.
Tambahnya, negara ini harus melihat ke hadapan dan pengalaman negara-negara lain, normal baharu persidangan parlimen adalah dengan penggunaan teknologi.
Kata beliau, pakar perlembagaan Australia, Anne Tworney telah mengkaji dari dimensi undang-undang dan perlembagaan bahawa kemungkinan mesyuarat parlimen Australia diadakan secara maya adalah dibolehkan.
“Parlimen Eropah membenarkan ahli untuk terlibat secara langsung dari jauh dalam aktiviti parlimen dan buktinya sebagai contoh ‘Welsh Assembly’ telah bermesyuarat pada 1 April secara video langsung.
“Brazil juga meluluskan resolusi membenarkan ahli parlimen menghadiri sesi dan boleh mengundi dari jauh serta Maldives semasa sidang pertama pada 30 Mac dihadiri oleh 71 dari sejumlah 87 ahli parlimen.
“Sementara itu parlimen Sweden yang telah pun bersidang dari 16 hingga 30 Mac menghadkan jumlah ahli parlimen yang boleh hadir mengundi 55 (dari 349). Oleh itu pendekatan baru ini juga boleh diamalkan oleh parlimen Malaysia tanpa apa jua alasan kerana infrastruktur ICT negara adalah lebih baik dari negara lain,” saran beliau lagi.