MAHATHIR MESTI BERTERUS TERANG JIKA MASIH BERPEGANG PADA JANJI.



Selepas gagal membuatkan janji peralihan kuasa terbatal dengan rancangan pembentukan Pakatan Nasional, kini muncul satu lagi usaha lain bagi tujuan yang sama.
Kali ini dilaporkan suatu usaha terancang menghimpunkan Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen telah muncul yang tujuannya adalah untuk menyokong Tun Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Adalah jelas usaha ini menggambarkan ketakutan mereka yang terbabit berhubung ketibaan bulan Mei di mana peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim mungkin tidak dapat dielakkan lagi.
Maka, seboleh-bolehnya sebelum Mei, sesuatu yang munasabah mesti dilakukan yang boleh mendorong Tun Mahathir terpengaruh dan bersetuju memungkiri janji peralihan kuasa dengan terus berada di Putrajaya sehingga habis penggal.
Dengan semua Ahli Parlimen Pas dilaporkan sudah bersetuju menandatangani Akuan Bersumpah itu, usaha sekarang ini sedang giat dilakukan terhadap Ahli-Ahli Parlimen dalam UMNO.
Menurut dakwaan Lokman Noor Adam, Zahid Hamidi adalah di belakang gerakan mengumpul Akuan Bersumpah untuk Ahli-Ahli Parlimen itu.
Kiranya benar, ini adalah usaha kedua Zahid Hamidi dalam waktu terdekat ini untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir setelah rakaman audionya menzahirkan keinginan yang sama didedahkan Lokman, baru-baru ini.
Dengan berdepan 87 kes mahkamah yang memungkinkannya menghuni penjara bagi tempoh yang lama, keinginan Zahid Hamidi untuk terus bekerjasama dengan Tun Mahathir tidaklah sukar difahami.
Tetapi, sebagai orang perjuangan yang memegang jawatan Presiden UMNO dengan 3.7 juta ahli di belakangnya, keinginan bekerjasama dengan tujuan peribadi yang jelas di belakangnya itu tentunya saja sesuatu yang memalukan.
Dilaporkan juga, turut menerima Akuan Bersumpah itu adalah Najib Razak sendiri yang hampir pasti beliau tidak akan menandatanganinya.
Sejauh mana usaha mengumpul Akuan Bersumpah ini berjaya mencapai tujuan mengekalkan jawatan Tun Mahathir sehingga habis penggal masih lagi sukar dipastikan.
Ini kerana, oleh kerana Tun Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri melalui PH, beliau sebenarnya masih terikat dengan perjanjian peralihan kuasa yang sudah dipersetujuinya melalui gabungan itu.
Pihak-pihak lain, terutama pembangkang, tiada hak sama sekali untuk campurtangan, malah membatalkan perjanjian itu, sama ada melalui penubuhan Pakatan Nasional atau mewujudkan Akuan Bersumpah.
Peralihan kuasa Perdana di pertengahan penggal bukan perkara asing bagi negara kita, ia telah berlaku beberapa kali sebelum ini, tetapi mengapa kali ini ia begitu ditakuti dan tidak mahu dijadikan kenyataan?
Yang pasti, semua usaha ini, apalagi jika Tun Mahathir terus berdiam diri tanpa mengeluarkan apa-apa kenyataan, hanya akan menampakkan sikap tamak dan keinginannya untuk mungkir janji secara diam-diam.
Untuk mempastikan tiada lagi perkara yang seumpamanya muncul selepas ini, adalah penting untuk Tun Mahathir segera berterus-terang menolak semua usaha untuk mengekalkannya sehingga tamat penggal itu.
Tun Mahathir mesti kembali berpegang kepada janji awalnya sebelum ini untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja dan menyerahkan kepada Anwar menggantikannya sebelum PRU15 bagi menunjukkan dirinya sebagai pemimpin, masih ada harga diri, wibawa dan intergriti untuk diteladani.
Pemimpin tanpa janji, apatah lagi terang-terang mudah memungkiri janji, tidak lebih hanya seperti kayu mati.
Apakah Tun Mahathir mahu ditanggap rakyat seperti itu?
Hanya satu kenyataan daripada Tun Mahathir untuk menolak dikekalkan sehingga habis penggal, sebaliknya patuh kepada janjinya sendiri, sudah cukup sebenarnya untuk menutup semua episod ini yang jika dibiarkan berterusan lebih memalukan dirinya sebagai sebagai seorang negarawan. (ShahbudinHusin 13/02/2020)

No comments: