7 pemimpin AMK dipecat kerana ponteng mesyuarat
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyingkirkan tujuh anggotanya dari majlis pimpinan kerana ingkar untuk hadir ke mesyuarat.
Tujuh anggota itu ialah Nagarajan Kaniappan, Ahmad Khairul Mohamed Noor, Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, Mohd Firdaus Yusoff, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim.
Keputusan itu dubuat berdasarkan Perkara 7.14 Peraturan Tetap AMK 2014 yang menetapkan anggota majlis pimpinan AMK yang tidak hadir mesyuarat sebanyak enam kali berturut-turut tanpa alasan memuaskan, dianggap sudah meletakkan jawatan.
Surat itu bertarikh 15 Januari 2020 dan ditandatangani Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Nasir yang dipetik Malaysiakini mengesahkan surat tersebut dan berkata penyingkiran mereka mengikut proses yang sepatutnya.
Tegasnya, laporan yang diberikan kepada semua perwakilan pada Kongres lalu menunjukkan tujuh anggota itu tidak hadir sebarang mesyuarat pada 2019 tanpa memberikan apa-apa sebab.
“Kami bersikap telus dengan mengeluarkan (rekod kehadiran) ketika kongres. Tiada yang persoalkan atau cuba persoalkan (rekod) kehadiran itu. Tiada yang mencabarnya.
“Jadi secara asasnya proses yang betul (due proses) telah diikut,” katanya lagi.