TUN, CAKAP TERUS-TERANG SAJALAH TUN MAHU JADI PM SAMPAI MATI....



Tun Mahathir Mohamad nampaknya terus mengelak untuk menetapkan tarikh pengundurannya bagi membolehkan Anwar Ibrahim mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.

Dalam respon terbaru, khususnya berkaitan desakan Dr Syed Husin Ali agar Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa, beliau berkata,  tempoh peralihan akan ditentukan berdasarkan situasi semasa.

Tambahan, katanya, masih ada kerja yang perlu dilakukannya lagi.

“Kita perlu kaji keadaan, jika kerja tak dibuat atau dibuat separuh, susahlah,” tegas Tun Mahathir.

Sehubungan itu, kata beliau, tiada perbincangan setakat ini dibuat dalam PH berhubung peralihan kuasa itu.

Kepada Tun Mahathir, kenapa perlu peralihan kuasa ditentukan mengikut keadaan?

Keadaan yang bagaimana yang Tun mahukan bagi membolehkan peralihan kuasa itu dilaksanakan?

Dan apa pula maksud  ayat “jika kerja tak dibuat atau dibuat separuh, susahlah”?

Apakah ia bermaksud Tun tidak mahu jadi Perdana Menteri separuh penggal, sebaliknya sudah mula terpengaruh dengan ayat-ayat pengampu serta pembodek yang mendesak Tun berkhidmat sehingga habis penggal?

Ataukah Tun sendiri yang sebenarnya menyuruh pengampu dan pembodek itu bersuara sedemikian rupa?

Sudah lupakah Tun kepada janji sendiri sebelum ini yang menyebut hanya mahu jadi Perdana Menteri selama dua tahun saja?

Apa yang Tun masih belum kenyang sehingga ternampak begitu sukar untuk akur kepada janji peralihan kuasa yang sudah dipersetujui?

Jika begitu, kenapa tidak berterus-terang saja yang Tun sebenarnya mahu jadi Perdana Menteri sampai mati? (Shahbudindotcom 03/10/2019)