Kerjasama Umno Pas hanya ‘cakap-cakap’ politik?
Selepas 3 minggu pemeteraian kerjasama Umno – Pas di bawah Piagam Muafakat Nasional lebih banyak persoalan timbul berbanding jawapan.
Hal ini kerana kerjasama itu tidak merebak ke negeri-negeri yang ditadbir BN atau Pas, berupa perundingan untuk membentuk kerajaan campuran atau pun gerak kerja politik secara bersama.
Salah satu negeri Pas yang dianggap masih alergi dengan taawun siyasi itu adalah Terengganu.
Menurut Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, perpaduan ummah seolah-olah tidak kelihatan di Pantai Timur, khususnya penganjuran program bersama antara kedua-dua parti politik.
Katanya, program Pas seperti ceramah, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya tidak dilihat melibatkan Umno.
“Tidak ada program bersama Pas – Umno dijalankan di Pantai Timur terutamanya di kampung-kampung selepas atau sebelum (piagam). Pas masih lagi dengan sikap yang merasakan bahawa mereka sahaja yang boleh menguruskan hal agama.
“Umno dilihat kekal dengan sifat elit, sifat Melayu yang perkauman, bawa isu agama dan kaum. Masih sama. Mereka tidak boleh bertemu. Kalau program agama nak dibuat bersama rasanya lagilah susah,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Pas sebelum ini telah menolak untuk merombak barisan exco dua negeri yang ditadbir mereka bagi memberi laluan kepada pemimpin Umno mentadbir bersama Kelantan dan Terengganu.
Bagi mengaburi kegagalan itu pemimpin Umno mencadangkan agar di dua negeri berkenaan ditiadakan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri yang bermakna anggota Umno juga adalah kerajaan, khususnya di Terengganu yang mana Pakatan Harapan tidak memenangi sebarang kerusi.
Namun cadangan keliru itu berisiko kerana jika wakil Umno menolak jawatan ketua pembangkang, maka di Kelantan, Perlis dan Pahang wakil Pakatan Harapan akan mengambil alih jawatan tersebut.