Pemimpin PH akan patahkan cubaan bentuk ‘kerajaan pintu belakang’
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan memastikan kerajaan ‘pintu belakang’ yang cuba dibentuk tanpa penglibatan DAP dan Amanah gagal.
Hal itu disuarakan oleh Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin.
Menurutnya, mandat rakyat pada pilihan raya umum ke 14 lalu jelas, iaitu sebuah kerajaan menggantikan BN yang membawa pelbagai perubahan institusi dan kehidupan masyarakat.
Katanya, tiada tempat bagi ahli politik pembangkang untuk kembali mengusahakan pembentukan kerajaan baharu serta memecah belahkan PH.
“Kita akan selalu memantau situasi percaturan politik yang sedang dimainkan oleh mana-mana pihak yang gilakan kuasa. Kita bersedia untuk mematahkan usaha mereka yang berhasrat untuk memecah-belahkan PH. Saya yakin rakyat yang telah memberi mandat kepada PKR, DAP, PPBM dan Amanah untuk mengurus-tadbir negara pun akan menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang pihak yang ingin menjejaskan kedudukan PH,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu juga menegaskan PH tidak akan tunjuk kepada ugutan pembentukan kerajaan baharu sama ada yang ditimbulkan oleh pembangkang atau segelintir pemimpin PH sendiri dalam meneruskan proses pembaharuan
“Kerajaan PH akan berpegang teguh kepada tujuan PH ditubuhkan iaitu mentadbir dan mengurus negara demi kebaikan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Tiada sesiapa yang akan dibenarkan menjejaskan matlamat ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pula yakin kerajaan PH akan bertahan sehingga PRU 15 biarpun cuba diganggu gugat dari pelbagai sudut.
“Kerajaan PH akan terus kukuh dan kekal hingga pembubaran Parlimen untuk Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15). Rakyat sokong kami dan usaha mana-mana puak untuk menjatuhkan Kerajaan PH dalam bentuk yang sedia ada akan gagal,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mengingatkan rakyat situasi ekonomi dunia yang sedang menuju ke arah kemelesetan memerlukan kerajaan yang stabil dan kukuh agar rakan-rakan dagang serta pelabur tidak akan menghentikan atau mengurangkan pelaburan kerana tidak ada negara yang mahu berurusan dengan sebuah negara yang tiada kestabilan politik. – RF8 Media