Kementerian Pertanian puas hati peruntukan tinggi
Peruntukan 10.9 peratus iaitu RM4.9 bilion oleh kerajaan kepada bidang pertanian untuk tahun depan membuktikan industri agro makanan negara mendapat perhatian kerajaan.
Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub berkata, suntikan dana berkenaan juga dapat memastikan bekalan makanan selamat serta mencukupi.
Menurutnya, belanjawan yang diumumkan itu selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam usaha kementerian membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.
“Ia juga berfungsi sebagai pemangkin kepada Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Agro makanan Negara 2.0 dan tumpuan diambil untuk sektor pertanian bagi 2020 termasuklah pemberian elaun dan skim bagi para petani dan nelayan yang masih diteruskan serta langkah pemodenan bagi meningkatkan produktiviti.
“Selain itu, RM855 juta untuk sektor padi termasuklah RM796 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Intensif Pengeluaran Padi (SIPP). Subsidi padi bukit atau huma juga akan diteruskan,” katanya ketika mengulas pengumuman menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
Nyata berpuas hati dengan pengumuman itu, Salahuddin menjelaskan, sebanyak RM152 juta diperuntukkan kepada nelayan melibatkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan.
“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta peruntukan sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh. Ini adalah kekayaan baharu yang boleh meningkatkan hasil petani.
“Peruntukan sebanyak RM43 juta diagihkan untuk Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi. Tidak ketinggalan RM30 juta juga untuk penghasilan beras padi pulut di Langkawi,” katanya.
Salahuddin berkata, pihaknya akan menggunakan peruntukan daripada Belanjawan 2020 dengan cermat dan yakin mampu mengagihkannya secara adil serta saksama.