Kawal perkauman sebelum capai Wawasan Kemakmuran Bersama
Pelabur asing menyeru agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengawal perkauman melampau yang membatasi keharmonian antara kaum di Malaysia sebelum bergerak ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) sebagaimana dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, Ahad lalu
Menurut Penganalisis Ekonomi Jameson Tan, WKB tidak akan berjaya sekiranya perkauman tidak ditangani dengan tegas dan pelakunya tidak dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
“Biarpun bukan mustahil untuk mencapai wawasan tersebut, kalau Malaysia bertali-arus dibelenggu dengan isu bangsa dan agama (race and religion) maka adalah amat sukar untuknya mencapai kemajuan yang disasarkan itu pada tahun 2030 nanti.
“Sehingga kini, isu utama yang hangat diperbincangkan di negara ini tidak lain dan tidak bukan adalah isu bangsa dan agama hasil dari rancangan parti-parti pembangkang yang cuba meraih kembali kuasa yang mereka hilang dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu,” katanya.
Beliau menambah sekiranya kestabilan politik gagal dicapai wilayah yang asalnya menjadi tumpuan ekonomi seperti Hong Kong pun akan sukar menarik pelabur berikutan bantahan ganas terhadap pemerintah yang berterusan.
“Jika Kerajaan PH tidak menghentikan ucapan-ucapan atau retorik yang menghalakan kebencian sesuatu kaum terhadap kaum yang lain, maka lambat-laun, Malaysia juga akan terjebak dalam gaung kemusnahan.
“Kerajaan PH sedang bertungkus-lumus menggalakkan semua pemilik-pemilik industri dan pengilangan supaya meningkatkan taraf teknologi pembuatan dan pengilangan untuk negara bergerak maju ke depan dalam dunia teknologi pantas masa kini.
“Tetapi nampaknya suasana atau ‘mood’ rakyat adalah lembab kerana kurang keyakinan terhadap halatuju Kerajaan PH dan oleh itu, seruan kerajaan lambat diambil tindakan oleh sektor industri tempatan.
“Sementara itu, pihak pembangkang pula asyik kuat menghangatkan isu-isu perkauman dan ini semua sedang diperhatikan dengan teliti oleh pelabur asing.
“Untuk menjayakan Wawasan 2030, Kerajaan PH mesti mengambil langkah tegas dan serta-merta untuk menghentikan isu perkauman dari dibangkitkan oleh semua pihak.
“Saya perhatikan tiada langkah serius diambil keatas puak-puak yang berkuasa dari pihak pembangkang walaupun mereka saban hari mengungkitkan isu perkauman.
“Hanya rakyat ‘ikan bilis’ sahaja yang dikenakan tindakan. Jika keadaan berterusan, semangat keharmonian diantara kaum lambat-laun akan tergugat dan kalau terjadi apa-apa kejadian yang tidak diingini maka semua pelabur asing akan meninggalkan Malaysia.
“Juga isu boikot barangan bukan-Islam adalah satu contoh yang jelas kepada pelabur asing bahawa terdapat ramai puak yang rasis di negara ini dan kelihatan terang lagi bersuluh bahawa puak-puak yang sedemikian adalah kebal disisi undang-undang,” katanya lagi – RF8 Media