Jangan biar kemerdekaan dirampas golongan pelampau
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyeru kerajaan bertindak tegas kepada golongan pelampau kaum dan agama agar tidak terus memanaskan suhu hubungan kaum di negara ini.
Menurut mereka, kemerdekaan tidak boleh dirampas oleh golongan pelampau dan menjadikan Malaysia terjerumus ke lembah kehancuran.
“Tahun lalu apabila kita menyambut Hari Merdeka, ramai orang berkata ia seolah-olah kemerdekaan kedua selepas kekalahan BN dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi kali ini ‘mood’ atau semangat rakyat nampaknya kurang ceria disebabkan oleh isu perkauman yang kuat dimainkan oleh parti-parti pembangkang.
“Mereka akan terus memainkan isu ini untuk meraih sokongan orang Melayu dengan harapan kaum itu akan mengundi mereka pada PRU15,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim.
Katanya, kegagalan kerajaan mengawal golongan pelampau adalah petanda Malaysia Baharu akan berakhir pada PRU 15
“Kalau Kerajaan PH gagal menangani fahaman perkauman yang disebarkan oleh parti pembangkang maka PRU15 bukanlah laluan mudah buat PH.
“Oleh itu, PH perlu berusaha keras untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto dan menjaga kepentingan semua lapisan masyarakat terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup,” katanya lagi.
Hujah Suee Lim dipersetujui seorang lagi pimpinan DAP, M Manogaran. Baginya jika berlaku huru-hara, ekonomi akan tumbang dan semua orang akan hidup susah tanpa mengenal bangsa atau kaum.
“Kerajaan PH dinasihati jangan memberi sebarang peluang kepada puak, parti politik ataupun mana-mana pihak mengugat keamanan negara diambang perayaan Hari Merdeka yang ke-62 pada Sabtu 31 Ogos ini.
“Semangat kemerdekaan, pada pendapat saya, tidak begitu dirasai oleh kalangan rakyat kali ini kerana terlalu banyak kenyataan berbaur perkauman telah dibangkitkan oleh puak ekstremis yang menghentam masyarakat Cina dan India, walaupun kedua-dua masyarakat merupakan rakyat Malaysia,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang.
Beliau menggesa tindakan lebih serius diambil untuk menghentikan retorik perkauman sempena bulan Ogos dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September depan.
Katanya, semua golongan mahukan satu Kemerdekaan yang bermakna dan hidup dalam suasana yang aman-damai di Malaysia. – RF8 Media