Sebagaimana dilaporkan media, Biro Politik dan Lembaga Disiplin PKR diberitakan bakal mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin dan individu dalam parti itu yang dilihat bertindak atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Mereka antaranya ialah Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat Politik Azmin di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar.
Amiruddin didakwa memberi ucapan yang secara langsung menuduh Anwar Ibrahim sebagai dalang dalam penyebaran video seks yang melibatkan Azmin itu.
Farhash pula dikaitkan dengan ucapannya sebaik dibebaskan daripada tahanan reman Selasa yang menyebut “Azmin semburit” secara terbuka.
Khalid, bekas Setiausaha Akhbar Anwar tapi kini beralih kiblat mentaksubi Azmin kerana menulis artikel yang memburuk-burukkan Anwar dan mendakwa Presiden PKR itu tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Daripada ketiga-tiga mereka itu, perbuatan yang dilakukan oleh Amiruddin dan Khalid adalah kesalahan yang serius serta dilihat sebagai “tindakan kurang ajar” dalam peraturan berorganisasi.
Amiruddin misalnya, tindakannya secara terbuka menuduh Presiden parti di mana beliau bernaung dan meraih nikmat jawatan yang besar sebagai dalang video seks yang dikaitkan dengan Azmin, adalah jelas tindakan kurang ajar yang melampau serta tidak harus dimaafkan.
Mengapakah beliau tiada perasaan hormat kepada Presiden PKR sendiri?
Adakah beliau mempunyai bukti berkaitan tuduhannya itu, sedangkan polis sendiri masih lagi menyiasat siapa dalangnya?
Jika beliau mempunyai bukti, mengapa tidak menyerahkannya kepada pihak polis?
Begitu juga dengan Khalid yang sudah beberapa kali menulis memburuk-burukkan Anwar serta mempertikaikan kelayakannya sebagai bakal Perdana Menteri, tindakannya juga adalah perbuatan kurang ajar yang tidak kurang melampaunya.
Sedarkah Khalid bahawa ketetapan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir Mohamad adalah konsensus PH yang sudah dimuktamadkan sebelum PRU14 lagi?
Kalau Anwar tidak layak, siapakah lagi yang lebih layak?
Apakah hak beliau mempertikaikan konsensus itu?
Selain itu, sebagai ahli PKR dan pernah bertanding sebagai calon pilihanraya, tetapi tidak pernah menang, jika Khalid tidak setuju Presiden partinya sendiri menjadi Perdana Menteri, kenapa beliau terus berada dalam PKR?
Kenapa beliau tidak keluar saja daripada PKR dan menyertai UMNO atau Bersatu kalau kesetiaan kepada peneraju parti sendiri sudah tiada?
Dalam kes Farhash, walaupun beliau juga agak celupar dalam kata-katanya, tetapi harus difahami bahawa tindakannya itu dilakukan sebaik saja dirinya dibebaskan daripada tahanan reman oleh pihak polis.
Mungkin ketika itu fikiran dan tubuh badannya tidak berapa stabil, bahkan barangkali selama berada lapan hari dalam tahanan reman pihak polis, beliau tidak mendapat maklumat tentang seruan Anwar yang menyeru semua pihak agak bertenang, tidak mengeluarkan kenyataan keterlaluan serta masing-masing harus mengukuhkan perpaduan.
Dalam hal ini, beliau tentu saja boleh dimaafkan kerana ucapannya itu.
Tetapi, Amiruddin dan Khalid telah melakukan semua kesalahan itu dalam keadaan sedar, tubuh serta fikiran yang sihat serta niat yang tidak diragui jahatnya, malah tahu tentang gesaan Anwar agar semua orang berusaha mengukuhkan perpaduan.
Oleh yang demikian, kedua-dua mereka harus diambil tindakan keras sebagaimana PKR sebelum ini sudah kerapkali menggantung keahlian atau memecat pemimpinnya yang melanggar disiplin parti.
Mereka tidak harus dibiarkan bebas dengan kesalahan serius dan kurang ajar itu kerana sebagai parti tonggak dalam PH, PKR perlu mengekalkan disiplin yang tinggi terhadap ahli dan pemimpinnya bagi menghadapi cabaran mendatang yang lebih besar lagi.
Membiarkan Amiruddin dan Khalid tidak diambil tindakan atau sekadar diberi amaran saja, dengan jawatan serta kedudukan yang mereka sandang dalam kerajaan, PKR ibarat membiarkan virus dan parasit berkembang biak tanpa sebarang ubat pencegahan. (Shahbudindotcom 26/07/2019)