Ambil tindakan kakitangan sabotaj kerajaan PH
Selepas setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, isu sabotaj kakitangan awam terhadap sistem penyampaian tidak sewajarnya ditangani dengan cara berlembut, kata Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Menurut bekas pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini, menteri sewajarnya bersikap lebih tegas mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai yang dilihat cuba mengingkari arahan.
Hal itu, katanya bagi menjaga imej kementerian agar rakyat melihat mereka efisyen.
“Mudah sahaja, menteri ada kuasa, boleh merujuk dan mengambil tindakan di bawah seksyen 14, Akta Kerja 1955. Penjawat awam ini di bawah general order, kalau perintah umum dia ingkar maka ia boleh dikategorikan sebagai sabotaj.
“Jadi saya tegaskan menteri-menteri HARAPAN jangan tidur atau syok sendiri, mereka perlu lebih tegas. Kalau kakitangan tidak mahu bagi kerjasama, pecat sahaja apa masalahnya?
“Kita sekarang di bawah kerajaan HARAPAN, bukan kerajaan BN. Jadi kita jangan guna kaedah ugut (sebagaimana sebelum ini). Kita terus ambil tindakan disiplin ke atas mereka dengah mengikut undang-undang yang betul,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Komen Abdullah menyusul selepas beberapa dakwaan di laman sosial berkenaan sikap pegawai-pegawai kanan di kementerian yang menghadkan kuasa setiausaha politik menteri, enggan melaksanakan sepenuhnya arahan menteri dan masih mengutamakan projek kepada kontraktor kroni BN yang dikhuatiri tidak mengamalkan tender terbuka mengikut piawaian sewajarnya.
Pada masa sama, Abdullah Sani menegaskan, di bawah kerajaan yang berintegriti semua salah laku pegawai tinggi tidak boleh disembunyikan hatta Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) sekalipun boleh diambil tindakan.
“Kalau dia KSU tapi buat kerja tidak ikut arahan, KSU perlu dipecat atau gantung kerja dia.
“Rakyat nak tengok pembaharuan, bukan nak tengok menteri pusing dengan pengawal keselamatan, dengan siren polis. Itu bukan caranya untuk kita buktikan pada rakyat, tetapi ketelusan dan ketegasan kita dalam melaksanakan tugas,” katanya lagi.