DAP dan pemimpinnya saban hari diserang oleh UMNO dan PAS dengan pelbagai fitnah. Walaupun telah berkali-kali dinafikan, malah menang banyak saman fitnah di mahkamah, modal fitnah berkenaan diulang-ulang pihak berkenaan semata-mata untuk meraih laba politik.
Sebagai contoh, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 23 November 2018 mengarahkan Utusan Melayu (M) Berhad membayar ganti rugi sebanyak RM30,000 kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung artikel fitnah yang diterbitkan akhbar itu pada 10 April 2015.
Artikel bertajuk “Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?” itu antara lain menuduh Guan Eng, yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, masuk campur dalam urusan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang berhubung isu tanah wakaf.
Itu bukan kali pertama lidah rasmi UMNO itu kalah saman. Jika dibuat carian di laman maya, akan terburai segala kedangkalan dan fitnah mereka yang dibuktikan tidak benar oleh mahkamah. Ini sudah cukup menjelaskan fitnah yang disebarkan UMNO terhadap DAP menerusi lidah rasminya itu kebanyakannya adalah bersifat pembohongan semata-mata.
Bukan itu sahaja, DAP juga dituduh kononnya ingin menjatuhkan institusi Raja-Raja Melayu dan memusuhi kaum Melayu. Namun demikian, segala hujah-hujah laskar siber upahan serta pemimpin UMNO dan terbaharu PAS telah dipatahkan dan dijelaskan oleh pihak DAP berulang kali.
Namun, fitnah yang sama disebarkan berulang kali sehingga ia dijadikan kebenaran kepada pihak yang menyebarnya. Adakah fitnah dan pembohongan seumpama ini sebenarnya sudah menjadi makanan ruji pihak yang membenci DAP?
Peruntukan institusi Islam di Pulau Pinang meningkat
Pihak UMNO dan PAS menuduh DAP memusuhi orang Melayu dan Islam. Jika benar dakwaan ini, mengapakah kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Ketua Menteri yang merupakan seorang pemimpin DAP terus-menerus menyalurkan pelbagai peruntukan untuk dimanfaatkan oleh institusi Islam?
Di Pulau Pinang, peruntukan untuk institusi Islam meningkat saban tahun. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam Belanjawan 2019 mengumumkan peruntukan RM56.8 juta bagi mengukuhkan serta memartabatkan institusi Islam. Peruntukan itu meningkat dari RM50 juta pada tahun 2017 dan RM53 juta pada tahun 2018.
Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi elaun para imam di Pulau Pinang dan imbuhan kepada pelajar Maahad Tahfiz yang menghafal Al-Quran.
Justeru, di manakah kebenaran tuduhan pihak yang berkenaan terhadap DAP? Kerana berdasarkan fakta di atas adalah sangat jelas bahawa DAP menghormati kesucian agama Islam dengan menyalurkan pelbagai peruntukan untuk institusi agama berkenaan.
DAP junjung Perlembagaan
Deklarasi Shah Alam yang dibahaskan dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para perwakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada Januari 2012 menjadi bukti paling ampuh bahawa DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum yang menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia.
Antara intipati deklarasi tersebut adalah seperti berikut:
- Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
- Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
- Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
Ketiga-tiga pendirian itu sudah cukup untuk menangkis dakyah yang disebarkan berulang kali oleh pemimpin UMNO dan PAS. Justeru, mengapa kedua-dua parti tersebut masih memainkan isu yang sama, sedangkan DAP telah berkali-kali menegaskan pendiriannya yang menyokong serta mendukung Perlembagaan, institusi Raja-Raja Melayu serta institusi Islam.
Adakah pemimpin UMNO dan PAS ketandusan modal sehingga terpaksa mengitar semula fitnah lama dan mempersembahkannya dengan cara lain semata-mata untuk terus kekal relevan dalam arena politik negara? Sampai bila agakanya UMNO dan PAS akan menyebarkan agenda sempit mereka ini?
Ternyata, pengulangan fitnah yang tidak berasaskan bukti dan fakta membuat rakyat muak dengan taktik jahat mereka. Keputusan Pilihan Raya Umum 9 Mei adalah manifestasi rasa muak rakyat terhadap sentimen perkauman dan keagamaan yang dimainkan UMNO serta PAS.