‘Dalam rumah Najib ada RM120 juta, belum siasat menteri’
Pendedahan yang berjaya dilakukan oleh pihak polis terhadap harta dan rampasan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak lebih mengejutkan rakyat berbanding berlakunya peralihan kuasa dalam negara pada 9 Mei lalu, kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
“Seluruh rakyat dalam negara ini terkejut apabila didedahkan jumlah wang tunai yang ditemui di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
“Kalau rumah Najib saja boleh temui sehingga RM120 juta, apa lagi jika menteri-menteri Umno yang lain sekiranya disiasat.
“Amat mengejutkan bagaimana wang negara yang begitu banyak sekali boleh diselewengkan oleh pemimpin negara semasa zaman BN memerintah, ” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut berkata, lebih mengejutkan apabila pihak polis terpaksa mengambil masa selama 36 hari untuk mengira sejumlah wang serta barang rampasan tersebut.
“Dulu kita sebagai pembangkang telah menimbulkan kebimbangan ini.
“Namun begitu ramai tidak percaya dan masih berteka-teki dengan membuat pelbagai dakwaan.
“Kini setelah terbukti apa yang telah didedahkan sebelum ini, maka ia memberi satu peringatan kepada kerajaan baru yang dipimpin oleh Pakatan Harapan, ” ujarnya lagi.
Malah tegasnya, rakyat kini senantiasa memerhatikan pergerakan yang sedang dibawa oleh kerajaan baharu.
Oleh kerana itu sarannya, kerajaan harus membuat yang terbaik bagi membela nasib rakyat.
“Bagi mendapat keadilan kita akan membuka semula kes yang melibatkan kematian model Mongolia, Altantuya.
“Begitu juga dengan kes melibatkan kematian Beng Hock dan juga Sarbini semasa disiasat SPRM dahulu.
“Kerajaan baharu mahu setiap kes ini diadili dengan adil dan rakyat berhak untuk menilai amanah yang sedang dipertanggungjawabkan, ” tegasnya.
Beliau juga berharap Umno sebagai pembangkang buat kali pertama akan menjadi pembangkang yang baik pada sidang Parlimen yang akan datang bagi membetulkan keadaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan kepimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang. – MD