AMANAH P.Pinang diberi kuota jawatan GLC, Exco


Walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) AMANAH yang memenangi kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu tidak dilantik sebagai exco, isu tersebut dianggap telah selesai setelah AMANAH diberi kuota bagi menerajui beberapa syarikat berkaitan kerajaan.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Negeri Pulau Pinang di Sungai Dua, Tasek Gelugor semalam.
Jelas beliau lagi, hasil perbincangan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, AMANAH telah diberikan beberapa kedudukan untuk diisi di beberapa buah GLC.
“Antaranya ialah Zakat Pulau Pinang, PBA Holdings, Kolej Islam Teknologi Berhad, Penang Invest dan Penang Halal International Hub.
“Sebelum ini AMANAH hanya mempunyai dua kuota ahli majlis iaitu di Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.
“Kuota tersebut sebelum ini merupakan kuota yang telah pun diberikan kepada Pas,” ujarnya lagi.
Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa (dua dari kiri) bersama Presiden AMANAH Mohamad Sabu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka AMANAH Pulau Pinang semalam.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parti Buntar turut berkata, dengan kedudukan tersebut ia membuktikan bahawa AMANAH bukan sebuah parti yang kecil.
Malah tambah Mujahid lagi, beliau amat optimis dalam tempoh PRU ke 15 nanti, kuota kerusi yang dipunyai oleh AMANAH mampu mencapai seratus peratus.
Sebelum ini kerajaan negeri tidak memberi satu pun kerusi exco kepada AMANAH walaupun memenangi dua kerusi dalam PRU yang lalu.
Kedudukan tersebut turut dipertikaikan oleh banyak pihak dan dianggap sebagai tidak adil.
Lebih-lebih lagi kerajaan negeri Kedah telah pun melantik Adun DAP bagi negeri Kedah sebagai exco walaupun hanya menang satu kerusi.
Ekoran polemik tersebut ia memberi pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

No comments: