KENYATAAN MEDIA
Pada 30 Ogos 2017, peguam saya di Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) ke dalam kerugian matawang asing Bank Negara Malaysia memohon pengesahan bahawa saya akan dipanggil sebagai saksi.
Saya cukup terkejut apabila pengerusi Tan Sri Sidek menjawab bahawa mereka 'belum memutuskan' sama ada akan memanggil saya atau tidak.
Memandangkan saya merupakan Menteri Kewangan pada ketika kejadian tersebut berlaku, sudah pasti ini bukan suatu keputusan yang sukar untuk dibuat!
Amat menyedihkan jika siasatan ini ditutup tanpa mendengar keterangan saya.
Oleh kerana sepanjang pendengaran ini diadakan nama saya telah dipetik beberapa kali, maka amatlah mustahak untuk saya dibenarkan memberi keterangan.
Suruhanjaya ini telah beberapa kali berkata bahawa ianya mahu menegakkan kebenaran dalam isu ini. Oleh itu, mereka pasti tahu bahawa cara terbaik adalah dengan membenarkan saksi-saksi kritikal seperti saya dan Tun Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk memberi keterangan.
Tugas dan matlamat sesebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja bukanlah untuk membuat kesimpulan atau keputusan pramatang atau memfitnah mana-mana pihak, tetapi untuk menegakkan kebenaran.
Anwar Ibrahim
2 September 2017
Ulasan - Sejak awal lagi tujuan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berkaitan forex ini memang sudah diragui. Ia bukan untuk mencari kebenaran, tetapi semata-mata untuk menggali kesalahan Tun Mahathir Mohamad.
Jika bersama kesalahan Tun Mahathir itu, kesalahan Anwar Ibrahim dapat dicari sama , ia tentulah lebih menggembiran Najib kerana kedua-duanya kini merupakan gandingan yang sudah menjadi musuhnya.
Oleh itu, tidak menghairankan jika Anwar dan Tun Mahathir tidak akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada RCI forex. Tahu-tahu nanti, kedua mereka terus diputuskan bersalah atas kerugian urusniaga forex itu.
Maka dengan keputusan itu dapatlah Najib dan seluruh jentera UMNO menggunakannya sebagai modal kempen pilihanraya nanti. Lalu, dalam masa yang sama terlupalah rakyat kepada skandal 1MDB, kemasukan wang beribu-ribu juta ke dalam akaun Najib, hubungannya dengan Jho Low, kekayaan mee segera Riza Aziz, himpunan barang kemas yang diterima Rosmah sebagai hadiah, cukai GST yang mencekik setiap hari, beban kos sara hidup kian melambung dan pelbagai isu lainnya lagi.
Setelah pelbagai kejadian pelik seperti hilangnya enjin jet, nama Altantuya terpadam dalam rekod Imigresen, ada Pak Arab kononnya sanggup menderma sebanyak RM2,600 juta tanpa mengharapkan balasan, tidak dipanggilnya Anwar dan Tun Mahathir untuk memberi keterangan kepada RCI forex dan kemudian terus diletakkan segala beban kesalahan kepada mereka, mungkin satu lagi kejadian pelik yang bakal disaksikan dunia akan berlaku di Malaysia.
Barangkali hanya dengan tidak memanggil mereka saja lebih memudahkan urusan mencari kesalahan itu. Tun Mahathir, sebagai membuktikan keberaniannya, pada 24 Ogos lalu telah hadir dengan kerelaannya sendiri dalam sessi pendengaran RCI forex yang diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Kesediaannya hadir menunjukkan beliau tidak pernah takut dengan apa juga ancaman yang cuba dihadapkan kepadanya, meskipun sedar namanya masih tidak disenaraikan untuk dipanggil memberi keterangan.
Dan jika dipanggil, tidak mustahil Tun Mahathir bukan saja akan menjawab segala soalan yang ditanyakan kepadanya dengan mudah, malahan akan "melibas" dan "membelasah" sekali sesiapa yang berkenaan dalam jawapannya.
Apakah Pengerusi dan anggota RCI forex sedia menghadapi situasi itu?
Begitu juga dengan Anwar, sebagai Menteri Kewangan ketika itu, beliau tentu saja lebih mengetahui banyak perkara dan tidak memanggilnya untuk memberi keterangan pasti saja lebih memudahkan kesalahan ditujukan kepada sasaran yang telah diputuskan.
Jadi, walaupun Anwar sekali lagi menawarkan dirinya dan Tun Mahathir perlu untuk dipanggil memberi keterangan, hasrat itu mungkin tidak kesampaian sehingga ke akhirnya.
Di ulang sekali lagi, lebih mudah untuk membuat keputusan tanpa memanggil kedua-tokoh tersebut, biar pun keputusan RCI forex nanti hanya akan ditertawakan oleh dunia.
Najib tidak akan peduli semua itu kerana selama beliau menjadi Perdana Menteri ini pun, dirinya memang sudah terlalu kerap diketawakan dunia. (ShahbudinHusin 02/09/2017)