Tabung Haji jual aset untuk pastikan dividen tinggi? – Amanah
Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak agar Tabung Haji (TH) telus memberitahu rakyat sumber bonus 8 peratus sebagaimana yang diumumkan kelmarin.
Timbalan Presiden Amanah Sallahuddin Ayub berkata TH wajar menjawab dakwaan bahawa sumber kewangan membiayai bonus TH berkenaan adalah daripada penjualan aset TH di luar negara.
“Dalam soal pemberian dividen dan bonus yang melebihi keuntungan perniagaannya untuk sesuatu tahun berkenaan, AMANAH menyedari bahawa pemberian dividen setinggi 5% dan bonus sebanyak 3% yang diumumkan semalam hanya dilakukan TH setelah beberapa asetnya di London dijual.
“Aset-aset yang selama ini mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada TH terpaksa dikorbankan demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk menggambarkan bahawa perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.
“Amalan sebegini tidak wajar atau berhemah dan tidak mampan. Teguran oleh pihak BNM tentang polisi rizab secara komprehensif dan pengurusan risiko amat mustahak untuk dipatuhi,” dakwa Sallahudin dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, Tabung Haji merupakan institusi kewangan umat Islam yang diasaskan oleh Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz bertujuan memudahkan urusan jemaah haji Malaysia tidak boleh ditadbir urus secara sambil lewa.
Di samping itu, Sallahudin juga mengutarakan kebimbangan perihal tanah TR Exchange yang awalnya didakwa dijual tetapi kemudian dinafikan. Katanya TH tidak sepatutnya terlibat dalam usaha PM Najib menyelamatkan 1Malaysia Development yang kaya hutang itu.
“AMANAH sarankan TH segera tangani isu ini secara tuntas dan muktamad sesuai dengan perhitungan strategik TH.
“Amat malang sekiranya keputusan pembelian sepenting ini berlaku tanpa adanya kajian dan perancangan khusus, selain untuk memenuhi kehendak pemimpin politik negara. Dasar sebegini mesti dihentikan jika ada, supaya TH dapat diselamatkan,” tambah beliau.
Sallahudin menegur tindakan membayar dividen atau bonus melebihi keuntungan adalah suatu ketidakpatuhan amalan perniagaan baik.
“Ini jelas akan menghakis rizab serta memudaratkan TH. Wujudnya simpanan yang besar tanpa adanya satu perancangan pelaburan yang baik boleh mendatangkan kesan yang merugikan.
“Akhirnya simpanan itu hanya mendatangkan pulangan biasa, sebagai contoh 3% sedangkan TH terus memberikan dividen atau bonus yang lebih daripada biasa, seperti 5%.
“Maka AMANAH mendesak supaya Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH sedia ada dikaji dari segi kelayakan dan kemampuan mereka seperti disentuh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Jawatan Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik,” katanya.
Selain itu, menurut Sallahudin lagi, senarai pengurusan TH juga wajar diluluskan terlebih dahulu oleh Bank Negara sepertimana senarai pengurusan bank komersil di negara ini.
“Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 billion aset umat Islam.
“AMANAH mengesyorkan agar pihak Ketua Pembangkang sewajarnya diberi peluang untuk menamakan calon Lembaga Pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan BNM.
“Satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa. Segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan.
“Ini termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik untuk sekian lama, sekiranya ada,” katanya.
Sallahudin juga menyentuh aspek sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk Ahli Lembaga Pengarah atau Pengurusan TH yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas perlu diubah.
TH juga diminta menjalankan satu ujian ‘stress test’ untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM. Hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.