Kerajaan Kelantan jangan 'dihanyutkan' arus BN - Husam Musa


Parti pemerintah kerajaan negeri Kelantan, PAS perlu menjuarai program pembangunan negeri itu yang dilanda banjir bagi memastikan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu terlibat dalam musibah berkenaan tidak turut sama 'hanyut', kata Datuk Husam Musa.

Naib presiden PAS itu berkata, meskipun mereka tidak mempunyai keupayaan seperti kerajaan pusat daripada segi kewangan dan kepakaran, PAS perlu menjuarai program pasca banjir di peringkat akar umbi dan dilihat rakyat.

"Ada 27 DUN terlibat banjir (di Kelantan), kalau kita tidak jaga ini, semua hanyut sekali. Saya tidak mahu tengok DUN kita hanyut," kata Husam dalam program Malam Amal, Kelantan Pasca Banjir, "The Untold Story" anjuran Yayasan Darul Hijrah di Kuala Lumpur, malam tadi.

"Cara sesetengah pemimpin kata, seperti mahu gunakan kesempatan ini untuk meluaskan pengaruh politik mereka.

"Kita tidak boleh bina rumah seperti kerajaan pusat bina, tetapi kita mahu dilihat, mengetuai misi banjir mega Kelantan 2014. Saya mahu tuan puan bantu kami daripada segi itu," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM500 juta bagi setiap negeri yang dilanda banjir.

Peruntukan itu merupakan tambahan kepada bantuan RM50 juta melalui Kementerian Kewangan yang diumumkan pada 25 Disember lalu, khusus bagi operasi menyelamat dan penghantaran barangan keperluan kepada mangsa banjir.

"Ringkasnya banjir ini paling hebat, paling luar biasa," kata Husam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) seperti tidak bersedia menghadapi banjir besar berkenaan sehingga mengakibatkan penduduk terlibat gagal bersiap sedia sekali gus mengalami kerugian besar susulan kehilangan harta benda dan kemusnahan kediaman mereka.

"Mungkin mereka terkejut, tetapi sebagai kerajaan mereka tidak boleh terkejut, mereka ada saluran.

"Kalau kerajaan Malaysia ada sistem simulasi yang kemas, sudah boleh beritahu dalam hebahan, air akan tiba jam sekian-sekian, tetapi tidak...kerajaan kata ini banjir biasa. Tak payah bimbang, terkawal," katanya.

Husam berkata, dakwaan beberapa pihak yang berkata banjir besar di Kelantan berpunca daripada 'hukuman' Allah kerana hudud juga tidak masuk akal.

"Orang kata hukuman kerana mahu laksana hudud, bukan macam itu. Dalam konteks Kelantan kita tidak boleh kata hukuman, lima kali pilihan raya orang Kelantan sokong negeri yang mahu laksana enakmen jenayah syariah, yang kena hukuman patutnya orang Johor, Negeri Sembilan, enakmen jenayah Islam tiada," katanya, berseloroh.

Husam turut berkongsi pengalaman beliau sebagai mangsa banjir apabila rumahnya di Kelantan turut ditenggelami air termasuk kenderaannya juga gagal diselamatkan.

"Rumah saya sendiri, habis. Pukul 7.30 pagi, 27 Disember, kita ambil gambar air sampai rumah kita seronok, tidak pernah banjir tetapi lama-kelamaan air naik terlalu mendadak.

"Di kampung saya, di tepi jalan besar, kereta bersusun 'berenang' dalam banjir," katanya.

Husam berkata, sehubungan itu, pihaknya mencadangkan Putrajaya memperkemaskan sistem pengesanan dan simulasi banjir bagi mengelak tragedi sama berulang.

"Sebab itu saya cadangkan penggunaan helikopter. Tapi orang kata ini membazir, helikopter sekarang keperluan ketika banjir ini. Kalau kita tiada helikopter nak uruskan banjir, mustahil. Inilah pengajaran kita," katanya.

Beliau berkata, Yayasan Darul Hijrah juga akan ke Kelantan bagi membantu penduduk terlibat dalam menyediakan dapur dan makanan untuk mangsa banjir supaya mereka boleh fokus untuk memperbaiki kediaman dan harta mereka.

Pihaknya juga mencadangkan kerajaan PAS Kelantan segera melakukan operasi pembersihan sampah-sarap di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

"Darul Hijrah bercadang sediakan dapur di kampung-kampung ini. Mereka akan fokus membina rumah mereka, uruskan lembu, kambing, tidak perlu risaukan makanan," kata Husam.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub semalam melalui surat terbuka kepada Najib menggesa royalti minyak dapat dikembalikan kepada Kelantan bagi membantu negeri itu bangkit semula selepas menghadapi musibah banjir besar.

"Saya menulis surat terbuka kepada Najib, yang beliau sendiri pergi dan melihat keadaan yang berlaku di Kuala Krai dan Manek Urai, Kelantan," katanya, dan menambah,"Saya menulis surat ini pagi ini dan meminta beberapa perkara."

Salahuddin berkata, susulan tragedi berkenaan, ia adalah masa yang terbaik untuk rakyat Kelantan menikmati royalti tersebut.

"Saya rasa ini masa yang terbaik untuk perdana menteri pulangkan kembali hak rakyat Kelantan, yang kita perjuangkan sejak 2008.

"Atas bencana besar yang berlaku dan disaksikan kita semua, saya rasa sudah sampai masanya hak ini disampaikan kepada rakyat Kelantan," katanya.

Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerajaan Kelantan sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar untuk membangunkan kembali negeri itu.

"Kerajaan Kelantan perlukan peruntukan yang agak besar bagi membantu rakyat Kelantan.

"Royalti itu hak, bukan kita mengemis dan mendesak," katanya.

Husam turut dilaporkan berkata, syarikat petroleum nasional, Petronas diharap dapat memberikan RM3 billion kepada Kelantan untuk dibelanjakan bagi membina semula negeri itu.

"Apa kata Petronas yang mengaut kekayaan dari laut Kelantan tanpa apa-apa sumbangan selama ini menunjukkan jiwa kemanusiaannya dengan memberikan RM3 billion bagi tujuan itu?" kata Husam dalam satu kenyataan sebelum ini.

Husam sebelum ini pernah mengetuai kempen menuntut Putrajaya membayar wang royalti kepada Kelantan bagi petroleum yang digali dari perairan negeri itu sama seperti bayaran yang dibuat kepada Terengganu.

PAS Kelantan berulang kali mendakwa Putrajaya sengaja menangguhkan pembayaran royalti itu kerana kerajaan negerinya tidak ditadbir BN lapor The Malaysian Insider

No comments: