Menantu presiden PAS pertahan tindakan sokong kumpulan militan Syria, Iraq


Menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad (gambar) mempertahankan tindakan menyokong secara terbuka perjuangan kumpulan militan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (Isil) dan Kumpulan Militan Negara Islam di Iraq dan Syria (Isis).

Zaharudin, yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS mengatakan adalah salah memberikan gelaran militan kepada orang Islam yang berjuang mempertahankan saudara seislam yang lain.

"Kegembiraan ini bukan kerana kemaraan Isil tetapi di sana terdapat berita-berita yang disiarkan oleh banyak sumber tentang kegembiraan orang awam berkaitan Isil, bukan kerana kemaraan Isil itu sendiri.


"Berita kegembiraan rakyat Iraq ini menjadi kegembiraan hati saya," katanya  dalam satu kenyataan semalam.

Zaharuddin juga berkata, semangat menentang kerajaan zalim adalah satu sifat yang mulia.
"Jika ia berlaku kepada negara kita, maka bukankah sifat itu kenali sebagai semangat patriotik? Di mana hina dan salahnya?"

"Bukankah yang hanya membenci sifat ini ialah golongan yang ingin menjajah dan menguasai kita?" soalnya dalam kenyataan itu lagi.

Zaharudin menulis di laman Facebook miliknya pada 16 Jun lalu, menyatakan kegembiraan apabila kawasan-kawasan di Iraq mula jatuh ke tangan dua kumpulan militan berkenaan.
"Satu demi satu daerah-daerah dan kawasan-kawasan di Iraq jatuh ke tangan mereka seperti Mosul dan sekarang mara ke Baghdad.

"Bukan air mata kesedihan, juga tidak pasti ia air mata kegembiraan, tetapi yang pasti ada berita tentang orang awam di Iraq mendapat pembelaan," katanya, di laman Facebook milik Zaharudin Muhammad.

Isu ahli PAS berjuang dan berperang di luar negara timbul apabila salah seorang ahlinya secara terbuka memuat naik gambar di laman Facebook berhubung pertempuran yang disertainya di Syria.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga mengesahkan PAS memecat Lotfi Ariffin daripada menjadi ahlinya pada 11 Mei, 2014 selepas mendapat maklumat dan mengesahkan beliau ke Syria untuk menyertai peperangan di sana melalui satu kumpulan yang dikatakan berjihad.

"Kita mendapat maklumat itu sebelum ini dan menyiasatnya. Setelah sah, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 11 Mei lalu membuat keputusan memecat beliau.

"Cuma ketika itu kita tidak memaklumkan perkara ini kepada media," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider sambil menambah keluarga Lotfi juga turut dimaklumkan mengenai hal itu.
The Star sebelum ini melaporkan pemimpin PAS antara rakyat Malaysia yang menyertai jihad di Syria.


Menurut akhbar berkenaan, Lotfi yang didakwa sebagai bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS secara terbuka memuat naik gambar beliau dan klip video mengenainya di Syria ke media sosial.

No comments: