SHAH ALAM, 26 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional berhubung kes penangkapan Dr Badrulamin Bahron yang didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Kuantan awal pagi semalam.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu diminta Jaip untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.
"PKR menuntut agar Jaip dan pihak berkuasa yang lain membuat siasatan secara telus dan profesional. PKR juga mengulangi komitmen parti untuk terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Dr Badrulamin membuat penafian mengenai laporan media yang mendakwa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jaip di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.
"Kenyataan Timbalan Pengarah Jaip (Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz) bahawa saya ditahan oleh pegawai Jaip ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.
"Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Badrulamin berkata, beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan Jaip pada 27 Februari ini dan akan hadir bersama peguamnya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan berkenaan.
Dalam penafiannya, Dr Badrulamin yang juga Ketua Cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.
Bagaimapun pada jam 2 pagi semalam, beliau kemudiannya dihubungi seorang wanita dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.
"Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya.
"Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga," katanya.
Menurut Dr Badrulamin lagi, wanita berkenaan juga menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.
Katanya, wanita itu kemudian datang ke hotel penginapannya bersama anaknya dan Dr Badrulamin berkata atas rasa bertanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu mereka mendapatkan bilik penginapan.
"Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.
"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.
"Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jaip tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik," katanya.
Dr Badrulamin berkata beliau berharap dengan penjelasan ini, semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap dirinya.
Tambahnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.