KOMENTAR: Pada 19 Disember tahun lalu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.
Sehari selepas itu Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor pula, Datuk Seri Noh Omar mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan kerajaan pusat untuk membangunkan Selangor lebih besar dari kerajaan negeri yang hanya berjumlah RM1.9 bilion.
Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam tindakan Najib kerana menyalurkan peruntukan yang sebegitu besar wang dari titik peluh rakyat kepada Umno Selangor dan tidak kepada kerajaan Negeri.
Menurut Khalid, wang tersebut seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri supaya semua perbelanjaan dapat dipantau dan di audit serta menepati usaha membantu pembangunan negeri tersebut secara berhemah.
Kini, kesemua RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut tidak dapat dipastikan kemana ia dibelanjakan. Tidak ada pihak yang mengaudit atau memantaunya.
Apakah perancangan yang dilakukan untuk pembangunan rakyat selangor dari wang rakyat tersebut juga tidak ada siapa yang tahu. Yang tahu hanya pemimpin-pemimpin Umno Selangor.
Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar adalah antara pemimpin Umno yang tahu kemana wang rakyat itu berlegar.
Noh juga mungkin tahu kantung siapakah yang paling banyak di isi dengan dana dari titik peluh rakyat itu.
Noh pun tidak dapat memberikan jawapan berhubung penyelewengan RM110 juta yang di peruntukan kepada Kementerian di bawah jagaannya. Wang tersebut bertujuan diberikan kepada pesawah-pesawah sebagai insentif hilang entah kemana.
Rakyat pun tak tahu penyelewengan tersebut sehingga didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara. Akhirnya pesawah berdemontrasi meminta Noh memberikan hak mereka.
Noh kemudiannya diberi peruntukan tambahan oleh Najib sebanyak RM117 juta untuk dibayar kepada para pesawah.
Persoalan kemana wang RM110 juta yang dilesapkan masih tidak terjawab oleh Noh.
Sekarang Noh dipertanggungjawabkan terhadap dana hasil titik peluh petani, pesawah, pembayar cukai yang besar dan kecil bernilai RM2,710,000,000.
Lebih malang wang rakyat tersebut diperuntukan untuk Umno/BN di Selangor dan bukannya untuk seluruh rakyat Selangor.
Demikianlah kesimpulannya bagaimana dana dari titik peluh rakyat tersebut dijadikan hak milik mutlak pemimpin-pemimpin Umno.
Umno telah menjadi tulang belakang komponen BN sejak 54 tahun. Bayangkan berapakah jumlah wang negara dan wang rakyat telah disalah guna untuk kepentingan perompak dan para penyamun ini.
Cuba pula lihat kediaman ketua-ketua Umno di Selangor atau dimana-mana sahaja diseluruh negara. Ada dikalangan kediaman mereka tidak boleh lagi dikategori sebagai rumah atau kondo tetapi bagaikan istana.
Hitung pula jenis kenderaan dan bilangannya yang terpakir dilaman rumah ketua-ketua Umno tersebut.
Dari mana mereka beroleh kekayaan yang sebegitu lumayan?.
Apa yang telah dilakukan oleh Najib dan Noh Omar terhadap wang rakyat bernilai RM2,710,000,000 adalah salah satu dari ribuan deretan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Umno sejak memerintah lebih 54 tahun.
Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu juga memaparkan berlaku ketirisan wang negara sebanyak RM28,000,000,000 (RM28 bilion) setahun. Ketirisan ini berpunca dari amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan ketidak cekapan pengurusan dan pentadbiran negara.
Mengapa Selangor di Beri RM2,710,000,000
Matlamat Najib menyerahkan wang tersebut kepada penyamun dan perompak-perompak wang rakyat tersebut sememangnya telah di duga.
Namun tidak terduga pula jumlahnya sebegitu besar sehingga merupakan angka tertinggi dalam sejarah yang 'difraidkan' kepada Umno negeri.
Pertengahan Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perak mendapat peruntukan RM55.7 juta (RM0.056 bilion) sahaja. Tetapi wang tersebut disalurkan melalui kerajaan negeri.
Dasar tender terbuka Kerajaan Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor sejak 2008 telah mengakibatkan ramai ketua-ketua bahagian serta pemimpin-pemimpin Umno negeri pokai dan tak kurang yang hampir muflis.
Selama ini, amalan rundingan terus, komisyen serta rasuah yang dinikmati oleh ketua-ketua Umno bahagian termasuk para Adun telah menjadikan mereka serta kaum kerabat dan kroni-kroni mereka senang lenang.
Amalan tender terbuka dalam Kerajaan PR Selangor sekarang menyebabkan pemimpin-pemimpin Umno hilang sumber pendapatan yang selama ini diperoleh secara mudah.
Dalam budaya Umno pula 'tiada wang akan hilang kuasa dan pengaruh'. Semua aktiviti melibatkan parti akan dilakukan disebabkan ada peruntukan disediakan. Diringkaskan cerita, tak ada cerita, kerja secara sukarela dalam Umno. Inilah juga perbezaan besar antara Umno dan PR.
Akibat pembudayaan amalan rasuah wang ringgit inilah juga Najib serta pemimpin-pemimpin Umno tidak segan silu menggunakan segala dana dari wang rakyat sebagai hak mutlak milik Umno.
Bak kata bidalan apabila mengamanahkan harta kepada penyangak, maka ia akan membedak-bedakkannya kepada perompak dan para penyamun.
Kini setelah lebih tiga bulan RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut sedang diagih-agih secara 'tiga Abdul' atau cara perompak dalam filem Nujun Pak belalang.
Tak ada siapa yang tahu.
Habuan masing-masing dah dapat dan setiap habuan mesti disertai kerja dan tugasan.
Maka tak hairanlah dengan pelbagai kenyataan media dibuat oleh pemimpin kecil dan besar Umno sejak kebelakangan ini menyerang pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim.
Serangan-serangan tersebut pula seolah-olah pentadbiran BN di Selangor sebelum ini terlalu maksum. Inilah budaya Umno. Apa yang dilakukan sekiranya tidak mengikut acuan sebagaimana Umno lakukan sebelumnya akan dianggap sebagai salah dan tidak patut.
Pemberian Air percuma yang diperkenalkan TS Khalid sejak mula mentadbir Selangor dahulu dianggap pemimpin Umno sebagai usaha memufliskan negeri tersebut.
Ini disebabkan sebelum ini Umno tidak melakukannya. Bagi Umno khazanah negara adalah untuk diperniagakan kerana kroni dan pemimpin mereka akan mendapat keuntungan dan komesyin.
Selamatkan Maruah Najib
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang juga perdana Menteri lahir dari keluarga bangsawan di Pekan. Begitu juga dengan laluan politiknya yang bermula sebagai pengganti bapa beliau, Tun Razak.
Pemimpin Umno sendiri menganggap Najib sebagai pemimpin yang suka 'Play Save' dan naik dalam politik di atas sikap tersebut. Beliau tidak pernah dicabar dalam jawatannya sebelum ini kerana bergantung kepada kekuatan orang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam team wawasan.
Beliau yang lahir dalam 'Golden Bowl' juga tidak pernah merasai kesusahan. Apa yang dikehendaki semuanya pasti akan dapat.
Apabila diberi peranan mengetuai Umno Selangor untuk menawan kembali selangor dari PR, bukan hal yang mudah bagi beliau.
Walaupun berjaya merampas Perak dengan habuan wang, sogokan dan ugutan kepada beberapa pemimpin 'bidan terjun' PR yang menang dalam PRU12 lalu namun situasi di Selangor amat berbeza.
Sebagai pemimpin yang lahir dari keluarga bangsawan maka setentunya egoisnya tinggi dan akan cuba mendapatkan apa yang di peroleh dengan apa kaedah sekali pun.
Maka taklah salah Najib pernah berkata bahawa beliau dan Umno Selangor akan lakukan apa sahaja untuk menawan kembali Selangor dari PR.
Sejumlah RM2,710,000,000 wang dari harta milik rakyat Malaysia digunakan untuk memenohi tuntutan serakah anak Bangsawan Pekan tersebut menjadi bukti dari kata-kata tersebut.
Justeru dengan wang dari titik peluh rakyat itulah akan diperguna untuk dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin Umno supaya membuat pelbagai onak kepada pentadbiran Khalid.
Bukan setakat itu, wang tersebut juga akan digunakan untuk menyogok, merasuah dan mengugut pengundi.
Kepada rakyat Selangor diharapkan setiap pemberian dari mana-mana pemimpin Umno perlu diambil malah perlu diminta kerana wang tersebut bukan hak milik Umno tetapi wang rakyat.
Pemberian tersebut bukan dari Umno tetapi dari dana rakyat yang telah disamun oleh para penyangak dan perompak.
Amalan mencuri dan menyamun wang rakyat ini tidak akan berakhir selagi Umno diberi mandat untuk terus berkuasa di Selangor atau mana-mana negeri di Malaysia ini.
Begitu juga dengan amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang membabitkan wang rakyat akan terus diseleweng dan diperguna untuk kepentingan peribadi, sanak famili dan para kroni.
Keangkuhan dan egois Najib dan Noh perlu ditamatkan. Selangor adalah negeri yang kaya dengan hasil negerinya. Inilah yang menjadi rebutan Najib disebabkan wang negara semakin susut disebabkan sikap boros dan terlalu 'berimej' tanpa memikirkan kemampuan kewangan negara.
Apa pun, bagi penyangak, penyamun dan perompak, ini bukanlah masa untuk menghitung satu persatu harta negara yang diperguna kerana kuasa mereka semakin terhakis.
Apabila tanpa kuasa atau Selangor gagal di tawan dan Putrajaya gagal di kekalkan nasib mereka akan ditentukan oleh kerajaan baru PR.
DAN.... semestinya semua ini akan di perhitung. Apa yang pasti penyangak, penyamun dan perompak akan di adili di mahkamah rakyat.
Ketika itu, Najib, Noh dan pemimpin-pemimpin Umno akan lebih memahami maksud sebenar berhubung HAK RAKYAT dan HAK UMNO.