Kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya menunjukkan 43 peratus responden yang ditemui masih menaruh keyakinan terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berbanding 41 peratus responden berpendapat sebaliknya.
Peratusan kadar persetujuan berhubung soalan itu tidak jauh berbeza. Sebanyak 16 peratus responden pula menyatakan tidak pasti terhadap soalan yang dikemukakan iaitu kerelevenan Anwar dalam politik negara berikutan krisis dalaman yang melanda PKR dan serangan peribadi terhadap beliau yang hebat oleh pelbagai pihak dengan menggunakan media arus perdana dan televisyen.
Persoalan itu menurut pusat tersebut dikemukakan bagi menguji tahap keyakinan masyarakat terhadap beliau dan PKR ketika ia baru selesai mengadakan pemilihan langsung julung kali, yang turut tercalar dengan dakwaan kecacatan dan kepincangan proses pengundian.
“Respons yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa walaupun dengan kempen dan usaha dilakukan bagi menghakis pengaruh beliau, namun peratus anggota masyarakat yang masih menaruh keyakinan kepada Datuk Seri Anwar masih tinggi.
“Apabila ditunjukkan hasil kajian yang memperlihatkan 41 peratus responden berpendapat bahawa beliau sudah tidak releven dengan politik negara, Datuk Seri Anwar menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah diduga, dan malahan berpendapat bahawa usaha memburukkan beliau dan PKR masih tidak begitu berjaya kerana masih terdapat peratus yang tinggi yang menaruh keyakinan kepada kepimpinan beliau,” kata Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam kenyataan yang merumuskan hasil kajian itu.
Sebaliknya menurut beliau, kempen oleh media arus perdana terhadap PKR dan beliau telah memberikan publisiti kepada parti tersebut yang selama itu sukar medapat liputan.
“Beliau juga menaruh keyakinan bahawa dengan masalah rumah tangga PKR yang akan secara proaktif akan diselesaikan setelah berakhirnya pemilihan parti dan gerak kerja seluruh negara yang akan dipergiatkan, beliau yakin prestasi parti akan dapat diperbaiki,” katanya.
Kajian persepsi masyarakat terhadap parti dan kepimpinan PKR dijalankan bulan lalu ketika ia masih mengadakan pemilihan pusat.
Kata pusat itu, kemelut dalaman yang melanda PKR membabitkan beberapa orang Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang bertanding atas tiket parti tersebut dalam pilihan raya umum ke-12 meninggalkan parti dan kecelaruan yang berlaku dalam pemilihan pimpinan parti baru-baru ini telah menarik perhatian rakyat secara umumnya.
Gambaran terhadap krisis dalaman yang dihadapi oleh PKR ini diperburukkan dengan gembar-gembur dan serangan secara besar-besaran oleh media arus perdana yang turut menjadikan Anwar, yang juga penasihat PKR, sebagai sasaran.
Kajian lapangan membabitkan 1,124 responden telah dijalankan antara 19 hingga 21 dan 27 hingga 28 November lalu ketika isu ini hebat dipaparkan oleh media arus perdana dan televisyen.