Kajian: 43% tidak akan undi PKR lagi






Satu kajian sains politik yang dijalankan di Universiti Malaysia (UM) menunjukkan bahawa hampir 43 peratus penduduk atau pengundi yang tinggal di dalam kawasan yang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan tidak akan menyokong lagi parti itu di dalam pilihanraya umum akan datang. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada ramai yang menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini sebagai bermasalah dan tidak telus.

Walaupun begitu, seramai 35 peratus pengundi di kawasan berkenaan juga akan terus menyokong parti berkenaan di dalam pilihanraya nanti manakala selebihnya iaitu 22 peratus memberikan jawapan sebagai belum pasti lagi menyokong parti tersebut.

Selain itu, seramai 52 peratus pengundi yang dikaji pula mendakwa masalah dalaman parti itu dan kepincangan kepimpinan parti yang dikatakan membentuk barisan kepimpinan yang disenangi oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikatakan sebagai penyumbang kepada ketidakyakinan para penyokong PKR sebelum ini.

Bukan itu sahaja, hanya 43 peratus daripada responden berkenaan masih menunjukkan bahawa mereka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri sementara 41 peratus lagi tidak bersetuju Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihanraya umum akan datang. Bagi selebihnya 16 peratus, para responden dilaporkan tidak pasti membuat pilihan atau berkecuali.

Kajian poll yang dilaksanakan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya itu dilakukan sepanjang tempoh pemilihan PKR bulan lalu. Seramai 1,124 responden di antara umur 20 ke 50 tahun dari kawasan-kawasan yang dikatakan kubu kuat PKR di Bandar Tun Razak, Ampang, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Subang Jaya, Titiwangsa, Cheras dan Wangsa Maju.

Kajian itu juga menemui sejumlah besar peratusan menyokong penurunan sokongan awam kepada PR secara keseluruhannya adalah disebabkan oleh masalah dalaman di dalam PKR. Ini secara langsungnya dikatakan akan menjadi penyebab kepada keadaan kekalahan PR atau sekurang-kurangkan status-quo yakni menafikan majoriti 2/3 kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seperti yang dijangkakan, jumlah swing pengundi dikatakan meningkat dengan banyaknya kepada kepimpinan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak kekalahan teruk BN pada pilihanraya tahun 2008.

Para responden nampak inisiatif pembangunan dan polisi transformasi serta pemulihan ekonomi sejak di bawah pentadbirannya sebagai sebab untuk mereka kembali menyokong BN.

Bukan itu sahaja, kekalahan PR di Batu Sapi dan Galas yang menyaksikan undi yang diterima oleh BN meningkat didakwa sebagai petunjuk penyokong-penyokong PKR dan atas pagar yang kembali kepada BN.

Krisis dalaman PKR memberi impak yang sangat negatif kepada PKR dan turut sama menurunkan tahap keyakinan pengundi kepada kemampuan Anwar bagi mengemudi PR dan juga negara sebagai bakal Perdana Menteri.

Kajian menunjukkan seramai 49 peratus responden bersetuju bahawa masalah dalaman telah menyebabkan penurunan keyakinan di dalam parti itu sendiri dan 39 peratus lagi masih menyokong PKR.

Walau apapun, jumlah yang pastinya perlu diambil sebagai penting oleh PKR ialah peratusan sebanyak 43 peratus daripada responden yang tidak lagi mengundi PKR di dalam pilihanraya akan datang. Ini adalah kerana mereka yang menyokong PKR semasa pilihanraya 2008 adalah kebanyakannya ialah pengundi di atas pagar dan pengundi BN sendiri yang melakukan undi protes kepada BN.-KLToday.com