PAS ganti Umno jadi teras Melayu?


DARI KLTODAY-SIASAH

Kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berhubung dengan kesediaan PAS menjadi teras politik Melayu amat wajar didokong oleh rakyat Malaysia dewasa ini yang condong untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah setelah UMNO/BN di’pencen’kan selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Majoriti rakyat terutamanya orang-orang Melayu memuji ketegasan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS kerana berani mempertahankan hak istimewa orang Melayu tetapi dalam masa yang sama beliau tegas menyatakan keadilan kepada semua rakyat perlu diberikan kepada semua bangsa selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam keadaan yang terdesak untuk mendapat sokongan PAS, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menangguk di air keroh dengan memuji Presiden PAS dan dalam masa yang sama cuba melaga-lagakan PAS dengan DAP.

Tindakan Timbalan Presiden UMNO ini dibidas pula oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon yang merupakan komponennya sendiri dengan nasihat supaya parti politik membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni.


Kesedaran beliau tentang hakikat parti-parti politik berdendam antara satu sama lain terutama selepas Pilihanraya umum 2008 wajar diikuti dan diamalkan bukan sahaja oleh Pakatan Rakyat tetapi juga oleh Barisan Nasional.

Impian PAS ganti UMNO

Selain Kelantan dan Terengganu, impian PAS untuk menggantikan UMNO berjaya selepas pilihanraya umum 2008 yang lalu dengan sokongan parti-parti Pakatan Rakyat yang lain di Kedah dan Perak.

Dengan PAS hanya ada 16 kerusi sahaja di DUN Kedah yang mempunyai 36 kerusi, kerajaan PAS boleh membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dengan sokongan PKR dan DAP tetapi boleh tumbang bila-bila masa sahaja jika politik Pakatan Rakyat tidak berjaya diuruskan dengan baik di negeri ini.

Beberapa percubaan telah dilakukan oleh UMNO dan BN tetapi masih belum berhasil untuk menumbangkan Ustaz Azizan Abdul Razak dan kerajaan PAS di negeri Jelapang Padi ini seperti mereka menumbangkan Ir Nizar Jamaluddin, Menteri Besar PAS dan kerajaannya di Perak.

Di Selangor pula, PAS sedang mencari jawapan adakah orang Melayu masih bersama UMNO atau telah berhijrah kepada PAS dan PKR? Sekiranya orang Melayu bersama dengan PAS, orang Melayu tetap menjadi teras politik di negeri Selangor yang majoriti Melayunya tidak sampai 60 peratus.

Manakala di negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan belum menampakkan perubahan yang drastik untuk bersama mendokong PAS sebagai bahtera yang boleh menyelamatkan orang Melayu kepada satu teras yang baru dan baik yakni Islam.

Di Johor, PAS telah berjaya memperolehi dua kerusi DUN,(iaitu DUN Sungai Abong dan DUN Maharani) sekarang ini. Berbagai perangsaraf mula dilancarkan bagi menghadapi gelombang kebangjkitan Pakatan Rakyat di Johor. Diantaranya, kain rentang yang mendakwa PKR akan menabalkan Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor ditabalkan menjadi Menteri Besar Johor selepas PRU ke-13 nanti.

Di sini peranan Naib Presiden PAS, Sallehuddin Ayub yang dipertanggungjawabkan kepada pemerkasaan parti PAS perlu dibantu bagi memastikan Johor juga menjadi pangkalan PAS dan tidak ketinggalan memberikan sumbangan beberapa kerusi parlimen kepada PAS dalam usahanya menggantikan UMNO.

Tindakan Mazlan Aliman, Ketua Penerangan PAS Johor yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bertanggungjawab kepada hal ehwal tanah dan pembangunan wilayah menggempur kubu tradisi UMNO di kawasan-kawasan Felda seluroh negara berjaya membuka mata pimpinan UMNO bahawa PAS bukan lagi bercakap kosong untuk menggantikan UMNO. Kedudukan UMNO dan BN mula tergugat setelah kubu tradisi mereka di kawasan-kawasan Felda berjaya dipecahkan.

Di Pahang pula, kedudukan Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden PAS yang dipertanggungjawabkan memimpin jentera PAS Pahang menambah 2 kerusi DUN PAS (Beserah dan Kuala Semantan) bagi menggantikan UMNO di negeri ini perlu dilipat gandakan lagi kerana sebelum ini PAS pernah memperolehi 6 kerusi di DUN Pahang selepas pilihanraya umum 1999 yang lepas.

Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, peluang PAS untuk menggantikan UMNO di negeri Sembilan, satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih ini masih jauh lagi setelah PAS berjaya bertapak di negeri ini selepas memenangi DUN Paroi pada pilihanraya umum 2008 yang lepas.

Melaka menjadi satu-satunya negeri yang PAS belum pernah menang lagi dalam pilihanraya tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil Melayu Melaka juga berubah menyokong PAS selepas ini.

Manakala di Pulau Pinang, PAS telah lama mengantikan UMNO di Permatang Pasir tetapi gagal berkembang kerana 11 lagi kerusi DUN yang dikuasai oleh UMNO di Pulau Piang. Begitu juga di Perlis, PAS telah lama bertapak di DUN Santan tetapi masih gagal menggantikan UMNO di Perlis.

PAS dan UMNO, Silih Berganti

Dua buah negeri, yakni Kelantan dan Terengganu yang menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu di Semenanjung di mana UMNO dan PAS silih berganti menguasai kekuasaan politik di sini.

Di Kelantan, setelah PAS memerintah selama 18 tahun sejak tahun 1959 ianya berjaya ditumbangkan oleh UMNO pada tahun 1978 selepas kerajaan PAS di’mageran’kan. Begitu juga selama 12 tahun orang Melayu Kelantan memberikan harapan kepada UMNO sehingga tahun 1990 juga tidak Berjaya.

Sejak 20 tahun lalu, orang Melayu memberikan harapan kepada PAS untuk menguasai semula kekuasaan politik Melayu di Malaysia dengan menjadikan Kelantan pangkalan. Sejak itu, berlaku beberapa kali kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan tetapi tidak berlaku secara menyeluroh.

Di Terengganu, selepas kerajaan PAS yang menang dalam tahun 1959 di negeri ini ditumbangkan dalam satu undi tidak percaya pada tahun 1961.Sejak itu, PAS mengambil masa 38 tahun untuk muncul semula menggantikan UMNO memerintah kerajaan Terengganu pada tahun 1999.

Kerajaan kedua PAS Terengganu yang dibina pada tahun 1999 hanya sempat bertahan selama sepenggal sahaja dan berkubur semula setelah kalah pada pilihanraya umum 2004. Sejak itu PAS sentiasa memasang impian untuk sekali lagi berkuasa di negeri Terengganu setiap kali pilihanraya umum diadakan.

Saya kira, satu seminar khas berhubung PAS Ganti UMNO perlu diadakan dengan beberapa tindakan berstrategi dan bersungguh-sungguh bagi menyakinkan Melayu terutama di Pantai Barat perlu dilakukan disamping tidak meninggalkan harapan baru yang diberikan oleh orang-orang bukan Melayu kepada PAS.-Siasah

No comments: