Friday, February 13, 2015

Hentikan usaha pecah belah PAS

Oleh: Pukul Canang

Amaran keras Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali terhadap Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki agar "jangan selalu sangat cirit birit mulut" menyerlahkan krisis dalaman yang menggugat perpaduan PAS selama ini.

Sejak krisis penggantian MB baharu Selangor nama Dr Zuhdi memang sinonim dengan puak yang menentang golongan profesional PAS pro Anwar, atau puak Erdogan. Zuhdi sering membuat perkara-perkara yang tidak menguntungkan PAS dan pernah terlibat dalam perbincangan whatsapps untuk bekerjasama dengan Umno.

Beliau juga didakwa terlibat dengan puak yang pro Unity Government. Puak UG mempengaruhi Hadi dalam banyak keputusan sejak 2014.

Puak profesional tidak puas hati dengan cara UG mengepung Hadi. Presiden PAS itu yang sering uzur sejak kebelakangan ini sepatutnya telah pun berehat dan mengambil alih tempat Nik Aziz Nik Mat secara tertib.

Menyusahkan Hadi

Kerusi presiden harus digantikan oleh muka baharu seperti Tuan Ibrahim Tuan Man yang lebih rasional serta dinamik. Bagaimanapun, puak UG berkeras mahukan Hadi kekal presiden. Malangnya puak UG mempergunakan Hadi untuk kepentingan politik mereka sehinggakan PAS berpecah belah.

Sudah menjadi rahsia umum kenyataan media yang banyak menyusahkan Hadi bukan dibuat oleh presiden itu sendiri tetapi dikarang oleh pembantunya dari kalangan puak UG. Akhirnya, Hadi terbabas mengkritik pilihan raya majlis tempatan boleh mengundang rusuhan kaum 13 Mei. Kenyataan yang tidak logik itu memalukan presiden dan rakyat mempersoalkan kewarasan pemikiran Hadi.

Mungkin Hadi semakin lemas dikepung politik UG yang ekstrem, menyebabkan beliau keluar dari pengasingan dan hadir ke mesyuarat Majlis Presiden PR pada 8 Februari lalu. Hadi sebenarnya masih boleh diterima kepimpinannya asalkan dinasihati oleh pihak yang berwibawa.

Walaupun beliau tidak terlalu memerhati situasi politik namun Hadi bukanlah terlalu naïf sehingga mengeluarkan pendapat akan berlaku rusuhan kaum akibat pilihan raya.

Kecenderungan Hadi untuk kembali ke meja Pakatan Rakyat dan berbincang mengenai  rang undang-undang persendirian Hudud sebelum membentangkan di parlimen, memang menggusarkan puak UG yang mahukan PAS bekerjasama lebih jauh bersama Umno.

Puak UG cemas kerana pasca Anwar yang diharapkan bakal memberi mereka kuasa yang lebih kuat mempengaruhi Hadi mendominasi kepimpinan PR, sebaliknya menjadi malapetaka apabila Hadi kembali kepada strategi berhikmah era Fadzil Noor ketika membenarkan PAS bergabung bersama DAP dan PKR pada 1999 lalu.

Sesungguhnya, apabila Anwar kembali semula ke penjara maka strategi Fadzil adalah yang terbaik untuk diamalkan dalam kalangan pembangkang bagi mengorganisasi mood tidak puas hati rakyat ke arah sokongan yang lebih mantap kepada pembangkang dalam pilihan raya.

Adalah malang jika PAS mengambil langkah bertentangan dan memalingkan muka daripada rakyat sebagaimana yang dikendaki UG, yang mungkin menerima arahan langsung daripada pimpinan Umno.

Hadi akan dikenang sejarah jika tidak lagi mendengar nasihat-nasihat daripada Zuhdi dan puak-puak yang anti PR. Lebih bermaruah jika Hadi menggugurkan terus ahli fikir itu daripada menjadi pengarah PPP dan AJK PAS Pusat.

Melanggar logik

Ahli fikir yang hanya berkokok di belakang tabir tidak diperlukan. PAS memerlukan ahli politik yang berani dan berwawasan. Jika boleh sama berani dengan Anwar yang tidak gantar masuk penjara untuk kali ketiga.

Hadi dan puak profesional PAS perlu memperbaiki parti itu menjelang pilihan raya ke 14. Perpecahan dalaman PAS sudah sampai ke peringkat tidak kenal akhlak dan akidah Islam. Puak UG memboikot sesiapa sahaja yang berkawan dengan puak PasMa.

Malah baru-baru ini, dalam satu perselisihan faham, puak pro ulama menyeru agar memboikot sebuah kedai nasi arab milik seorang pemimpin PAS Pahang di Gombak kerana beberapa pemimpin PasMa sering makan di kedai tersebut.

Itulah gambaran dahsyatnya perpecahan dalaman PAS yang tidak terdapat dalam mana-mana parti politik pun di negara ini. Puak-puak dalam PAS berjuang atas perkara merapu, melanggar logik dan emosi melulu.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers