Pelajar Malaysia di Syria Dibawa Pulang Bulan Ini




PUTRAJAYA 7 SEPT : Wisma Putra dilaporkan akan membawa pulang lebih 200 pelajar Malaysia di Syria ekoran pergolakan dinegara itu semakin meruncing.

Pegawai di Wisma Putra, Rosmawati Abdullah ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan proses membawa pulang kesemua pelajar ini akan dilakukan dalam bulan September ini.

"Dalam bulan ini tapi masih tak pasti lagi tarikhnya. Perdana Menteri pun belum buat keputusan lagi. Masih dalam perbincangan tapi InsyaAllah dalam bulan ini juga," jelas Rosmawati.

Tarikh sebenar kepulangan pelajar itu belum ditetapkan kerana masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tengah tunggu keputusan dariapda Majlis Keselamatan Negara," tambahnya.

Rosmawati berkata, pihaknya sentiasa berhubungan dengan kedutaan Malaysia di Damsyik, Syria bagi mengetahui perkembangan pelajar Malaysia di sana dan status keselamatan mereka.
Bagaimanapun, beliau menambah pihak Wisma Putra masih tidak dapat pastikan bilangan pelajar yang benar- benar mahu pulang ekoran ada diantara mereka yang terikat dengan jadual peperiksaan dan pembelajaran.

"Pelajar kita disana lebih 200 orang. Tapi pihak kita masih tak dapat pastikan berapa orang yang mahu pulang ke Malaysia,"katanya.
Kementerian Pengajian Tinggi juga dilaporkan akan mengemukakan surat kepada institut pengajian tinggi (IPT) di Syria bagi memaklumkan masalah dihadapi penuntut Malaysia.

Difahamkan pelajar Malaysia disana berdepan dengan kehidupan sukar apabila rusuhan rakyat Syria semakin teruk sehingga membawa kepada sekatan keatas penggunaan kad kredit dan wang tunai yang tentunya memberi kesan kepada mereka.

Sekatan itu dilakukan Amerika Syarikat sebagai mematuhi kehendak sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Pembendaharaan Amerika ke atas Syria baru-baru ini.

Selain daripada Kad Visa, kumpulan Master Card menyatakan kesediaan mereka bahawa pihak mereka akan mengikuti langkah yang sama.

Amerika Syarikat mengumumkan dua minggu lalu bahawa ia telah mengenakan sekatan ke atas Bank Perdagangan Syria dan Bank Perdagangan Lubnan dengan mengatakan bahawa Amerika tidak akan terlibat dalam urusniaga komersial atau kewangan dengan entiti.

Pegawai bank di Syria memberitahu bahawa penggunaan Kad Visa di bank Syria atau bank-bank yang mempunyai cawangan di Syria telah berhenti beroperasi semenjak rabu lalu.

Tv Selangor pada 18 Ogos lalu telah menyiarkan keluh kesah pelajar Malaysia di Syria yang tertanya- tanya apakah usaha yang dilakukan pihak kedutaan dan Wisma Putra bagi membela nasib mereka dibumi bergolak itu.

Berita berjudul "Kami Pun Rakyat Malaysia, Jangan Sisihkan Kami - Pelajar Syria", berkongsi pengalaman beberapa pelajar Malaysia disana termasuk Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan.

Pendedahan itu juga membawa kepada kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, Mat Dris Yaacob ke rumah salah seorang pelajar disana, Hairul Faizal pada 31 Ogos lalu.

Ketika kunjungan itu berlangsung, Mat Deris sempat mengulas laporan berita Tv Selangor bersabit hubungan dua hala pihak kedutaan dan pelajar.

Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, Hairul mewakili semua pelajar disana menyatakan harapan mereka agar pihak kedutaan meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan yang terpaksa ditanggung mereka.

No comments: