Saya beri sedikit pandangan saya menurut lensa akademik.


Mod Firdaus Abdullah






Isu pasir di Pahang hari ini sebenarnya membuka kembali keadaan geopolitik yang pernah berlaku pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar 2018–2019 apabila Malaysia mengharamkan eksport pasir laut. Apa yang sedang berlaku sekarang bukan sekadar isu ekonomi negeri atau permit perlombongan, tetapi isu yang jauh lebih besar: siapa mengawal sumber strategik negara dan untuk siapa sumber itu digunakan?


Titah Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini sangat signifikan kerana baginda secara terbuka menyatakan rasa kecewa apabila kerajaan pusat tidak meluluskan eksport pasir sungai walaupun Pahang mempunyai sistem sungai besar dan sebelum ini berjaya menjana “berpuluh-puluh juta” hasil negeri daripada eksport pasir. Baginda turut menegaskan bahawa hasil tanah dan pasir merupakan hak negeri. 


Di sinilah isu ini menjadi sangat menarik dari sudut politik sumber dan federalisme. Negeri melihat pasir sebagai sumber hasil, alat pengurusan sungai, mekanisme mengurangkan sedimentasi, dan sebahagian daripada hak perlembagaan negeri. Namun kerajaan pusat pula melihat pasir melalui lensa yang lebih sensitif: keselamatan alam sekitar, geopolitik serantau, penyeludupan, eksploitasi berlebihan, serta implikasi diplomatik terhadap Singapura.


Ramai mungkin lupa bahawa ketika era Mahathir, Malaysia telah mengharamkan eksport pasir laut sekitar 2018–2019. Reuters melaporkan bahawa Malaysia, yang ketika itu merupakan pembekal terbesar pasir laut kepada Singapura, menghentikan eksport tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap projek penambakan dan peluasan wilayah Singapura. 


Apa yang menjadikan isu itu sangat sensitif ialah kerana pasir bukan lagi dianggap bahan binaan biasa. Pasir kini ialah “material geopolitik”. Pasir Malaysia digunakan untuk penambakan laut, peluasan pelabuhan, pembinaan kawasan bandar baharu, dan secara literal menambah keluasan fizikal Singapura. Menurut laporan Reuters, Singapura mengimport puluhan juta tan pasir dari Malaysia sebelum larangan itu dikenakan. 


Di sinilah muncul dimensi simbolik yang sangat mendalam. Bagi ramai rakyat Malaysia, khususnya dalam imaginasi nasionalisme pascakolonial, pasir bukan sekadar komoditi. Pasir ialah tanah, wilayah, kedaulatan, dan sebahagian daripada tubuh geopolitik negara. Maka apabila pasir Malaysia digunakan untuk memperluas daratan negara lain, persoalan yang muncul bukan sekadar “berapa keuntungan eksport”, tetapi adakah sumber alam kita sedang digunakan untuk membesarkan kuasa ekonomi jiran?


Sebab itu larangan Mahathir ketika itu tidak boleh dibaca sebagai keputusan ekonomi semata-mata. Ia juga ialah tindakan geopolitik dan psikologi pascakolonial. Reuters dan beberapa laporan antarabangsa menyebut bahawa antara kebimbangan ketika itu ialah bagaimana tanah Malaysia digunakan untuk membantu peluasan Singapura. 


Namun apa yang lebih membimbangkan ialah isu pasir di seluruh dunia kini semakin dikaitkan dengan jenayah terancang dan apa yang disebut media antarabangsa sebagai “sand mafia” atau mafia pasir. Di India misalnya, perlombongan pasir haram telah melahirkan rangkaian sindiket yang sangat kuat sehingga dikaitkan dengan rasuah politik, keganasan terhadap wartawan, pembunuhan pegawai kerajaan dan penguasaan ekonomi tempatan. BBC dan National Geographic pernah melaporkan bagaimana aktivis alam sekitar dan wartawan di India diugut atau dibunuh kerana cuba mendedahkan perlombongan pasir haram di sungai-sungai utama negara itu. Aktiviti ini menjadi sangat lumayan kerana pasir kini antara sumber paling diperlukan dalam industri pembinaan global.


Fenomena sama turut berlaku di Indonesia dan Kemboja. Indonesia pernah mengharamkan eksport pasir laut ke Singapura kerana pengorekan pasir secara agresif menyebabkan beberapa pulau kecil mengalami hakisan serius sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kehilangan wilayah maritim negara tersebut. Di Kemboja pula, laporan Global Witness mendedahkan bagaimana eksport pasir dikaitkan dengan kronisme elit politik, kerosakan ekologi besar-besaran dan kemusnahan komuniti nelayan pesisir. Dalam banyak kes Asia Tenggara, pasir kini bukan lagi sekadar bahan mentah, tetapi sebahagian daripada ekonomi ekstraktif global yang melibatkan kuasa politik, syarikat besar dan jaringan penyeludupan antarabangsa.


Malaysia mungkin belum menggunakan istilah “mafia pasir” secara terbuka seperti India, tetapi ciri-ciri ke arah itu semakin kelihatan. Kes penyeludupan pasir, perlombongan tanpa permit, konflik penguatkuasaan, ketirisan hasil negeri dan hubungan rapat antara konsesi perlombongan dengan elit tertentu sering muncul dalam laporan media tempatan. Sebab itu isu pasir hari ini tidak boleh lagi dibaca secara sempit sebagai isu pembangunan atau bahan binaan. Ia sebenarnya menyentuh persoalan lebih besar tentang siapa menguasai sungai, siapa mendapat keuntungan daripada sumber alam, dan siapa yang menanggung kerosakan ekologi.


Yang paling penting, isu pasir sebenarnya ialah isu air. Pasir menentukan struktur sungai, kestabilan tebing, sedimentasi, kedalaman aliran, dan keselamatan loji rawatan air. Sebab itu perlombongan pasir bukan sekadar isu bahan binaan. Ia ialah politik sungai. Ia ialah hydro-politics dalam bentuk material.


Apa yang berlaku di Pahang hari ini memperlihatkan bagaimana pasir telah berubah menjadi sumber strategik, alat ekonomi negeri, simbol autonomi federalisme, dan komponen geopolitik Asia Tenggara. Pasir bukan lagi pasir semata-mata. Ia kini menyentuh sempadan, wilayah, air, pembangunan, kuasa negeri dan maruah geopolitik negara.


Ulasan tambahan: Dari sudut kejuruteraan memang terdapat perbezaan antara pasir laut dan pasir sungai. Pasir sungai lebih banyak digunakan untuk konkrit dan pembinaan kerana kandungan garamnya rendah, manakala pasir laut pula sering digunakan untuk penambakan laut dan projek pesisir. Namun point utama status saya diatas ingin menunjukkan bagaimana kedua-dua jenis pasir kini telah menjadi sumber strategik yang melibatkan politik sumber, kedaulatan, federalisme dan geopolitik. Isu Pahang hari ini melibatkan pasir sungai, manakala larangan era Mahathir dahulu lebih tertumpu kepada pasir laut. Tetapi kedua-duanya tetap memperlihatkan bagaimana pasir bukan lagi sekadar bahan binaan biasa, sebaliknya telah menjadi isu ekonomi, alam sekitar dan hubungan antarabangsa




No comments: