Penulis ni dulu sapa oun tak kenal dia... Pernah bekerja di MITI. Kemudian katanya ada dapat kontrak apa ntah.. Rasa dah lama dah tak ambik penulisan dia.
Saya jarang memberi komen balas pada komentar politik yang dibuat oleh rakyat biasa.
Hari ini, ada satu komentar politik yang dibuat oleh Liyana Marzuki mengenai hubungan saya dengan PMX. Mungkin sebab ada perkataan ‘palatao’ ramai yang menghubungi saya untuk dapat reaksi.
Daripada saya jawab kepada setiap orang, lebih baik saya jawab terus di sini.
π π’π―π¨ π΄π’πΊπ’ π΄π¦π΅πΆπ«πΆ
1) Bahawa apa yang berlaku dalam pemilihan PKR yang lepas itu memang satu perancangan
2) Bahawa ada pertembungan di antara saya dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim
π π’π―π¨ π΄π’πΊπ’ π΅πͺπ₯π’π¬ π΄π¦π΅πΆπ«πΆ
1) Bahawa saya bercita-cita dan tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri sehingga tidak setia dan melawan Dato’ Seri Anwar
2) Bahawa pertembungan kali ini mirip kepada perebutan kuasa di antara Dato’ Seri Anwar dan Tun Mahathir dalam tahun 1998
Berikut adalah hujah-hujah saya:
Penulis memberi gambaran bahawa pandangan saya dalam kerajaan mendatangkan masalah kepada Dato’ Seri Anwar yang mungkin boleh menyebabkan beliau kalah dalam pilihanraya.
Ini permulaan yang baik untuk memahami titik perbezaan di antara saya dan Dato’ Seri Anwar. Secara tidak langsung ia juga mengesahkan perkara ini tidak ada kena mengena dengan perebutan kuasa atau cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, seperti yang digambarkan penulis.
Soalnya adalah sejauh mana dan seberapa cepat kita berani melakukan perubahan, seperti yang kita gagaskan di luar kerajaan.
Dato’ Seri Anwar selalu memberi pelbagai alasan bahawa jika perkara ini dibuat, Umno akan marah. Jika perkara itu disentuh, DAP akan marah. Jika kita membaiki perkara itu, GPS tidak puas hati.
Dari situlah bermulanya keluhan beliau mengenai saya kerana beliau begitu fokus untuk menang penggal kedua, tidak kira apa harga yang perlu dibayar. Menjaga hati Umno, DAP, GPS dan pihak-pihak berkepentingan lain itu lebih penting dari segala-galanya.
Saya berbeza pandangan.
PKR diberi peluang menjadi kerajaan untuk menzahirkan perubahan-perubahan. Bukan sahaja berkaitan struktur dalam aspek pentadbiran ekonomi dan sosial yang menyeluruh tetapi membawa budaya politik yang bersih dan telus, seperti yang kita gagaskan dalam agenda reformasi yang kita laungkan berpuluh tahun.
Keutamaan dan kesetiaan bukan kepada batang tubuh, tetapi kepada wawasan yang kita bawa.
Lagi pun soal kesetiaan ini tidak sepatutnya timbul langsung.
Tidak cukupkah puluhan tahun, dari usia muda, yang kami abadikan berjuang untuk PKR dan beliau, yang banyaknya beliau berada di dalam penjara?
Kalau saya tidak setia dan mahu jawatan politik, bukankah lebih mudah saya mencium tangan Tun Mahathir semasa PH1.0 dahulu (seperti mana dibuat oleh ramai pimpinan PKR, DAP dan AMANAH yang lain pada ketika itu), atau bergabung dengan Dato’ Seri Azmin untuk mencabar Dato’ Seri Anwar sejurus PRU 2018?
Malah, keputusan-keputusan yang merintis kepada bebasnya beliau dari penjara dalam tahun 2018, diberi pengampunan diraja dan ada peluang kembali untuk menjadi Perdana Menteri, banyaknya dirintis oleh kami, sedangkan Dato’ Seri Anwar (semasa di dalam penjara) tidak bersetuju pun dengan penubuhan PH. Pada ketika itu, beliau tetap percaya PKR tidak akan menang PRU tanpa PAS.
Namun, kami teruskan juga kerana kami yakin itu satu-satunya jalan untuk menewaskan BN dalam PRU 2018 yang membuka jalan untuk beliau keluar penjara.
Begitu juga di saat beliau berada di tempat paling bawah kerana dicemuh rakyat dan rakan dalam PH apabila gagal membawa ahli-ahli parlimen Umno menyokong beliau selepas Sheraton Move.
Izzah mendatangi saya berkali-kali dan memujuk saya untuk kembali, dalam keadaan saya cukup gembira dan selesa dengan kehidupan saya sebagai rakyat biasa.
Saya kembali dan membantu setakat yang terdaya dalam masa yang singkat. Alhamdulillah dari situ Dato’ Seri Anwar diberi peluang menjadi Perdana Menteri.
Soal tidak setia ini hanya ditimbulkan secara tiba-tiba kerana saya berpandangan kita mesti lebih berani membuat perubahan walaupun rakan kita dalam kerajaan dan pihak berkepentingan lain kurang selesa.
Itu harapan rakyat kepada kita.
Pandangan saya juga makin tajam apabila saya kurang selesa dengan beberapa perkara tadbir urus dalam kerajaan, terutamanya yang melibatkan badan penguatkuasa seperti SPRM.
Juga apabila beberapa perkembangan menunjukkan kita mula membina kroni tersendiri yang jadi kaya secara tiba-tiba dan ada pengaruh besar dalam kerajaan, sedangkan mereka tidak ada pertanggungjawaban dalam kerajaan atau rakyat.
Tingkah laku mereka, dan juak-juak kepada kroni-kroni baru ini, tidak ubah seperti yang berlaku semasa BN dan PN dahulu.
Suara-suara saya mengenai perkara-perkara ini yang tidak disenangi. Dari situ timbul tuduhan tidak pandai bekerja sepasukan, atau ada ego dan macam-macam lain.
Dari pandangan mereka, kalau saya telan bulat-bulat semua ini dan mensucikan semua kerana kami satu parti, barulah saya tidak ada ego.
Penulisan terbaru ini, yang memberi gambaran bahawa saya bercita-cita besar ke arah nak sailang Dato’ Seri Anwar, adalah versi baru dalam cerita yang sama.
Pada mulanya, ada cubaan meracun penyokong PH dan rakyat konon saya tidak menjaga akar umbi. Bila saya berpendirian kalau menjaga akar umbi itu maknanya menabur duit, lantaklah kamu nak kata apa dan saya tidak akan terjebak.
Kemudian ditukar kepada merajuk sebagai alasan untuk Izzah mencabar saya. Apabila saya letak jawatan dan dengan rela hati mengosongkan jawatan empuk kerajaan, walaupun ditawarkan menjadi Timbalan Presiden lantikan, versi itu mati di situ sahaja.
Sekarang ada versi baru, kononnya saya mencabar Perdana Menteri kerana tidak sabar dalam mengejar cita-cita politik.
Saya tidak kenal Liyana Marzuki dan tidak pernah berjumpa beliau. Saya tahu beliau lebih kenal Izzah dan saya tidak salahkan beliau jika versi “little birds” di sana sini yang dirujuk beliau itu hanya datang dari satu kumpulan.
Cuma saya harap PKR dan pimpinan baru yang ada ini cukup-cukuplah melatah dan meloncat setiap kali saya bagi pandangan. Keputusan itu telah dibuat oleh PKR, ramai pimpinan yang ada sekarang bersekongkol dengan keputusan itu.
Apabila nasi sudah jadi bubur, adalah tidak matang untuk berharap saya akan telan bubur itu bulat-bulat seperti yang mereka kehendaki.
Saya bertanggungjawab kepada rakyat sebagai pengundi dan kepada saki-baki pimpinan yang masih bersama di dalam PKR yang mahu melihat politik yang lebih bersih dan bebas dari rasuah. Bukan politik feudal yang bertuankan batang tubuh.
Insya Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Yang selebihnya, lebih baik PKR, Dato’ Seri Anwar dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan.
Saya tidak nampak jalan yang akan membawa saya kembali ke dalam barisan pimpinan PKR di masa akan datang.

No comments:
Post a Comment