Untuk kekal relevan, pemimpin, guru dan
pelajar kita perlu diberi ruang kebebasan untuk berfikir dan tumbuh
By
-
15 Mar 2024
Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.
Beberapa rakan saya mengatakan bahawa saya seorang yang cukup
pesimis apabila menyentuh isu dan keadaan yang kita alami di Malaysia. Saya
tidak bersetuju!
Saya hanyalah segelintir daripada mereka yang sukar untuk
bertolak ansur dengan situasi apabila ‘sistem’ kita rosak atau tidak berfungsi
kerana tidak berpandangan jauh, mempunyai perancangan strategik dan
konsistensi.
Apabila orang lain melihat cahaya di hujung terowong, saya
mempunyai kecenderungan untuk melihat jika ada kereta api yang bergerak ke arah
kita; bukan untuk bertembung namun untuk melihat bagaimana kita boleh mengelak
daripada kemalangan!
Sejak akhir-akhir ini, kereta api yang ada tampaknya membawa
beberapa siri isu dan kontroversi, dari bak kut teh kepada kapal tongkang
Melayu, sehinggalah kepada isu mengenai tapak warisan Unesco serta perkara yang
lebih serius berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Apabila keputusan berhubung petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul
Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman dibawa ke Mahkamah Persekutuan
berkaitan undang-undang Syariah Kelantan diumumkan, beberapa ahli politik
seperti cacing kepanasan kerana kononnya ia merupakan ‘penghinaan’ kepada Tuhan
dan Islam.
Namun, apa yang lebih memeranjatkan saya ialah bagaimana mereka
seolah-olah tidak memahami bahawa keputusan mahkamah itu hanya menghapuskan
percanggahan di antara undang-undang negeri dan persekutuan.
Pada waktu yang sama berlaku kekecohan yang tidak perlu ini
juga, mungkin ramai yang terlepas pandang tentang penahanan penerbit filem
Mentega Terbang kerana ‘dosa’ mereka yang kononnya jelas ‘menghina Islam’.
Support the struggle to build a Malaysia based
on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Make a regular pledge or periodic
auto-donation to Aliran
Tel:
04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com
Sentiasa terdapat garis halus antara apa yang dianggap sebagai
‘penghinaan’ dan apa yang dianggap sebagai ‘idea yang mencapah’ yang bertujuan
untuk memberi inspirasi kepada pemikiran kreatif dan lateral. Ia adalah proses
yang sepenuhnya subjektif dan bergantung pada cara seseorang memilih untuk
membaca sesuatu mesej.
Ia juga cukup mengecewakan apabila Institut Pengajian Islam
Lanjutan Antarabangsa (IAIS), yang secara ironinya, sepatutnya menyokong
kemajuan idea dan pemikiran Islam, telah membatalkan pelancaran buku berjudul
Autoritarianism and Underdevelopment edisi bahasa Melayu oleh Dr Ahmet T Kuru,
berikutan laporan menerima ‘tekanan daripada konservatif’.
READ MORE: Time for our leaders to look at the
bigger picture!
Tindak balas sedemikian oleh kerajaan dan ahli politik kita
membuatkan kita tertanya-tanya sama ada mereka akhirnya akan mencengkam
kebebasan dalam mempertanyakan soal intelektual yang berbeza.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menghentikan budaya paternalistik
ini dan menyerahkan keputusan agama yang peribadi ini kepada individu. Lagipun,
bukankah sudah cukup waktu pengajian agama dalam kurikulum sekolah untuk
membantu individu dalam membuat keputusan ini untuk diri mereka sendiri apabila
dewasa?
Sejak akhir-akhir ini, pihak polis juga sangat sibuk, menyiasat
semua jenis ‘ancaman’ yang dilihat – daripada siaran dalam talian oleh warga
asing hingga perhimpunan Bersih yang mendesak adanya pembaharuan politik.
Ahli politik kita mungkin tidak menyedari bahawa perubahan dan
inkuiri intelektual hanya boleh berkembang daripada pengalaman yang rencam
serta pemikiran yang lebih terbuka. Banyak perkara perlu dipersoalkan dan
direnung, bagi mengenal pasti bias dan titik buta.
Seringkali, soalan yang betul boleh memberi kita kaedah cerapan
baharu untuk mengesahkan iman kita, mengalihkannya daripada pengalaman yang
didorong oleh dogma kepada pengalaman peribadi yang lebih bermakna.
Jika kita tidak dapat melayan wujudnya pertanyaan dan
percanggahan kognitif, bagaimanakah kita boleh berharap untuk belajar dan
bergerak ke hadapan mengikut masa?
Jadi, apakah hala tuju kita sekarang? Adakah kita patut
menunggang kuda dan kembali ke zaman kegelapan?
Pendekatan “Madani” yang diterapkan pentadbiran semasa ini
seakan tidak mempunyai hala tuju. Malah lebih teruk dari sebelumnya, ia kini
tidak lagi dipandang ada percubaan untuk menjadi konsisten. Dengan
hingar-bingar melibatkan Lembaga Pengampunan di dalam kes Najib Razak baru-baru
ini, ia telah mematahkan kepercayaan rakyat, memperolok-olokkan konsep keadilan
dan kejujuran kita!
Nampaknya di Malaysia, tidak semua lelaki dicipta sedarjat dan
sesetengah lelaki lebih ‘sedarjat’ daripada yang lain berdasarkan kelahiran,
kedudukan, nama atau kekayaan mereka.
Malaysia telah mengalami banyak ketirisan rizab kewangannya –
dek kerana ahli politik seperti Najib. Individu yang di tampuk kekuasaan
seperti Taib Mahmud dan Daim Zainuddin juga mengumpul kekayaan yang sangat
besar.
‘Lintah darat’ seringkali ada di tengah-tengah kita, menyamar
sebagai ketua negara yang baik hati dan pemain utama industri yang
mengakibatkan tirisnya berbilion-bilion daripada tabung negara kita.
Video polis yang ‘prihatin’ yang didakwa meminta rasuah daripada
sepasang vlogger antarabangsa juga turut menjadi tular.
Jadi, adakah kita hairan saatnya hari ini kita kekurangan dana
untuk mengembangkan perkhidmatan kebajikan kepada rakyat atau mengurus
infrastruktur yang semakin menua?
Trafik lembab yang menyakitkan hati di sepanjang lebuh raya Plus
kita yang berusia 40 tahun sejak beberapa minggu kebelakangan ini sahaja telah
menunjukkan bahawa kita telah gagal menangani kekurangannya yang sepatutnya
dapat dielakkan.
Tergendalanya sistem ‘aerotrain’ di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, yang dahulunya merupakan lapangan terbang
‘terkemuka’ juga amat memalukan. Hari ini, lapangan terbang ini disenaraikan
sebagai lapangan terbang kelapan terburuk di Asia.
Tidak seperti Malaysia, adik beradik dan jiran kita, Singapura,
tidak akan pernah membenarkan terjadinya ‘kerosakan’ sebegitu di lapangan
terbangnya yang menjejaskan imejnya sebagai sebuah negara yang berfungsi dengan
baik!
Adakah kegagalan ini disebabkan oleh ketidakcekapan dalam
pemikiran strategik atau kerana kekurangan dana – atau kedua-duanya sekali?
Sejak akhir-akhir ini, malah pesara perkhidmatan awam yang telah
menerima rawatan perubatan di Institut Jantung Negara, juga perlahan-lahan
dihentikan kerana beban pesakit yang tinggi dan pembiayaan yang tidak mencukupi
untuk menampungnya.
Dengan skim pencen kerajaan menjadi beban fiskal yang semakin
meningkat kepada perbendaharaan negara, serta nilai mata wang kita yang merosot
berbanding dolar Amerika (dan juga dolar Singapura) dan pemarkahan sekolah
antarabangsa mengikut piawai Pisa kita yang menjunam teruk di rantau ini,
bukankah ia petunjuk yang mencukupi bahawa kita merosot jauh?
Jika markah Pisa kita terus merosot dan pelajar kita yang
sebahagian besarnya kekal satu bahasa dengan prestasi rendah dalam matematik
dan sains, serta dengan prospek berterusan untuk kehilangan sumber yang lebih
besar, terutamanya ke Singapura, bolehkah kita meneruskan kecemerlangan dalam
kualiti sumber manusia, produktiviti, kreativiti dan inovasi ?
READ MORE: Threat to freedom of expression: Rise
of fascism?
Negara-negara lain di rantau ini sudah mula mendahului, termasuk
Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Adakah kita dapat mengharungi cabaran teknologi dan ekonomi
global dalam dekad akan datang, termasuklah dalam kita mengendalikan sistem
kecerdasan buatan (AI)?
Dalam memberi tumpuan berlebihan kepada kontroversi kecil
berulang kali seringkali mendatangkan lebih banyak kerosakan kepada Malaysia,
khususnya dalam menjejaskan pelaburan asing, dinamika ekonomi, pembangunan
syarikat baharu serta peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berfikir secara bijak,
rasional dan strategik tentang gambaran yang lebih besar untuk Malaysia,
melangkaui perbezaan di antara ahli politik kita, ego mereka dan kegilaan
mereka untuk kekal berkuasa. Sudah tiba masanya untuk semua orang berganding
bahu untuk mengutamakan kemampuan.
Untuk kekal relevan, para pemimpin, guru dan pelajar kita perlu
diberi ruang kebebasan untuk berfikir dan berkembang, dengan mengenepikan
retorik perkauman dan ketaksuban agama. Mereka harus digalakkan untuk bersikap
kritis, inovatif dan strategik.
Mereka harus cukup berani untuk menyatakan idea-idea baru bagi
mencabar yang lama walaupun ia boleh jadi tidak popular di kalangan
konservatif. Tahap kemampuan kita perlu ditingkatkan.
Jangan sekali-kali kita mengajar kaum muda, lelaki dan wanita
kita untuk merasa berhak mendapat laluan yang mudah dan selamat sepanjang
kehidupan. Sebaliknya, mereka perlu bersedia untuk bermandi peluh dan bersaing
dengan sengit.
Jika kita tidak berubah sekarang, kita akan menjadi seperti
dinosaur. Apabila itu berlaku, tidak ada ‘kapal tongkang’ khayalan apa pun yang
dapat menyelamatkan kita. Kita tidak seharusnya membenarkan ‘kebodohan dalam
menghadapi kesusahan’ menjadi moto negara kita.
Rakyat Malaysia adalah bangsa yang elok sempurna. Tiada di
mana-mana kepelbagaian budaya dan agama kita yang kaya ini, keupayaan kita
untuk bersatu-padu, kesediaan untuk saling bekerjasama boleh didapati di
mana-mana tempat lain di dunia. Ia adalah kekuatan terbesar kita, jika ia
dibiarkan berkembang.
Sudah tiba masanya kita melihat kemungkinan yang lebih besar
untuk Malaysia.
Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Mac 2024