SELEPAS HADI, TUAN IBRAHIM PULA MENGAKU DIBERI TAWARAN - NAMPAKNYA USAHA MEMIKAT PAS BUKAN MAIN-MAIN


Aduhhh….kini Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengaku beliau dihubungi oleh seseorang untuk mengajak parti Islam itu menyertai kerajaan perpaduan.


Tuan Ibrahim berkata, tawaran itu disampaikan wakil kerajaan yang bertemu sendiri dengannya.


“Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh Presiden (Hadi Awang) sebelum ini, bahkan mereka (wakil kerajaan perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu.


“Namun, kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.


Sebelum ini, Presiden Pas, Hadi Awang mendedahkan beliau dihubungi berkali-kali oleh orang tertentu untuk menawarkan parti itu menyertai kerajaan perpaduan.


Hadi bagaimanapun menolak tawaran tersebut dengan alasan Pas mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling banyak sekali, dengan itu mahukan peranan yang lebih, termasuk mengetuai kerajaan, jika penyertaan Pas ingin dijadikan kenyataan.


Dengan dua pemimpin tertinggi Pas sekarang secara terbuka mengaku dihubungi dan ditawarkan untuk menyertai kerajaan, ini bermakna usaha ke arah itu bukan perkara main-main.


Bersungguh-sungguh nampaknya kerajaan perpaduan ini mahu memikat Pas dan tidak mustahil, ada pemimpin lain juga turut dihubungi dan diberikan tawaran.


Tidak mungkin Hadi dan Tuan Ibrahim sengaja mereka-reka cerita, berbohong atau mengalami halusinasi berhubung kemasukan ke dalam kerajaan perpaduan.


Yang nyata, ada pihak tertentu dalam kerajaan ini yang begitu bersungguh-sungguh dan amat tertarik hati untuk membawa Pas menyertai kerajaan perpaduan, meskipun majoriti sedia ada sudah pun cukup kukuh.


Siapakah mereka itu?


Sebagaimana desakan sebelum ini agar Hadi mendedahkan siapakah orang yang menghubunginya itu, tuntutan yang sama juga kali ini ditujukan kepada Tuan Ibrahim.


Beliau mesti berani mendedahkan siapa wakil kerajaan yang bertemu sendiri dengannya itu.


Kalau berani mengakui telah ditemui, bahkan sudah menolak tawaran tersebut, tiada sebab Tuan Ibrahim harus menyembunyikan lagi identiti orang berkenaan.


Pun begitu, lebih budiman lagi sebenarnya jika wakil kerajaan perpaduan yang menghubungi dan membuat tawaran kepada Hadi dan Tuan Ibrahim itu sendiri yang mendedahkan identiti dirinya.


Tiada guna lagi beliau berdiam diri atau menyembunyikan diri kerana misi tersebut – sekurang-kurangnya setakat ini – adalah dikira sudah tidak berjaya.


Kalau Pas menerima tawaran itu, tidak mungkin Hadi dan Tuan Ibrahim secara terbuka mengumumkan penolakan serta ingin terus kekal bersama PN.


Lagi pula, lambat laun nanti, identiti mereka akan tersedah dan diketahui ramai juga akhirnya. – ShahbudinHusin 30/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: