KALAU TIDAK DITAHAN SPRM, SAYA TIADA PELUANG BERSIHKAN DIRI”



Khamis lalu, rumah dan pejabat blogger politik serta pemilk saluran tv internet NR Channel, Mohd Rafi Awang Kechik diserbu SPRM untuk satu siasatan berhubung dakwaan rasuah projek berjumlah RM41 juta melibatkan sebuah kementerian.


Seterusnya pada pagi Jumaat, Mohd Rafi direman selama dua hari untuk tujuan siasatan lanjut atas dakwaan menerima rasuah RM1.3 juta daripada sebuah syarikat yang beliau diberi peranan melobi bagi mendapatkan projek tersebut.


Sebaik berita penahanan beliau terdedah kepada umum, pelbagai persepsi dan tanggapan tidak baik segera muncul di pelbagai medium media sosial.


Persepsi yang berlegar dan dimainkan ialah beliau sekarang ini seolah-olah sudah kaya hasil duit rasuah, walhal peranannya hanyalah melobi dan sama sekali tidak memiliki sebarang kuasa mempengaruhi atau meluluskan projek.


Secara umumnya pula, kerja melobi adalah perkara biasa bukan saja dalam perniagaan, malah dalam hampir semua urusan dunia moden dengan bayaran tertentu dikenakan atas persetujuan bersama.


Untuk bertemu dengan Presiden Amerika pun perlu melalui dan membayar pelobi terlebih dahulu, maka bukanlah asing pelobi juga diperlukan untuk mendapatkan sesuatu projek.


Lumrahnya, tiada syarikat mampu beroleh kontrak tanpa lobi atau tanpa peranan pelobi.


Jadi, di mana Mohd Rafi boleh dianggap bersalah dalam hal ini kerana peranannya sebagai pelobi adalah secara persetujuan bersama?


Mohd Rafi kemudiannya hanya direman selama satu setengah hari di mana beliau telah dibebaskan pada tengahari Sabtu.


Pada Ahad lalu, beliau sekali lagi hadir ke pejabat SPRM untuk menyelesaikan beberapa perkara lain berkaitan siasatan.


Menceritakan peristiwa tersebut, Mohd Rafi berkata, beliau sebenarnya bingung apabila dikaitkan dengan perbuatan rasuah dalam projek yang beliau diminta melobi untuk syarikat terbabit.


Katanya, pada tahun 2020, beliau telah diminta oleh seorang kenalannya untuk mendapatkan minit daripada seorang menteri berkaitan projek yang disertai oleh sebuah syarikat secara tender terbuka dalam sebuah kementerian.


“Dalam tempoh seminggu, saya telah berjaya memperolehi minit daripada menteri yang dikehendaki yang ditujukan kepada Ketua Setiausaha kementerian yang lebih kurang maksudnya ialah agar sedia syarikat itu sedia dibantu dalam tender yang disertainya.


“Walaupun ada minit tersebut, syarikat tersebut tidak semudah itu memperolehi tender yang mereka sertai kerana ada beberapa urusan lain perlu dilalui terlebih dahulu.


“Hanya kemudian baru saya ketahui syarikat tersebut akhirnya memperolehi juga tender itu.


“Malangnya, pada tahun 2021, kenalan saya yang memperkenalkan saya dengan syarikat itu telah meninggal dunia dan berikutan itu, saya cuba berhubung terus dengan syarikat berkenaan untuk bertanyakan soal bayaran melobi yang telah dipersetujui sebelum ini.


“Dalam perbualan itu, syarikat berkenaan kemudian marah-marah serta mengatakan projek tersebut mengalami kerugian dan mereka berhasrat untuk memulangkannya semula.


“Sejak itu, saya tidak pernah berurusan lagi dengan syarikat tersebut dan menganggap mungkin tiada rezeki saya di situ.


“Saya malah sudah melupakannya, lagi pun kenalan saya yang memperkenalkan saya dengan syarikat itu juga sudah pun meninggal dunia,” ujar beliau.


Kata Mohd Rafi, beliau bukan saja bingung apabila rumah dan pejabatnya tiba-tiba diserbu untuk SPRM mencari bukti terhadap rezeki yang pada anggapannya tidak menjadi melalui kerja-kerja melobi, lebih bingung lagi ketika ditunjukkan 23 salinan cek kepadanya.


Semua salinan cek yang ditunjukkan, tambahnya, adalah bayaran daripada syarikat tersebut kepada kenalannya yang sudah meninggal dunia itu.


“Tiada satu pun cek itu tertulis nama saya, tetapi saya yang kena reman,” ujarnya.


Menurut beliau, nasibnya dalam kes ini tidak ubah seperti terkena getah yang orang lain menikmati nangkanya.


Katanya, sementara yakin tidak bersalah kerana dirinya tidak mempunyai sebarang kuasa atau menyalahguna kuasa, malah tidak pun pernah menerima wang, beliau tetap menghormati tugas SPRM dalam menyiasat kes tersebut.


“Cuma, saya ada sedikit kehairanan kerana saya tetap dipakaikan baju oren untuk ke mahkamah bagi tujuan reman, sedangkan amalan itu sudah dihentikan sejak 2019 lagi,” tambahnya.


Ditanya mengenai siapa yang mungkin disyakinya membuat laporan kepada SPRM sehingga beliau direman dan keluarganya turut menerima kesan, Mohd Rafi berkata, beliau tidak ingin berprasangka buruk atau menuduh sesiapa dalam hal ini.


Tetapi, tegasnya, ditahan dan disiasat SPRM telah memberi peluang kepadanya untuk membersihkan dirinya.


Katanya – “Kalau tidak ditahan SPRM, mungkin sampai mati saya akan terus dikaitkan pernah makan rasuah, khianat kawan atau makan duit sorang-sorang”. – ShahbudinHusin 16/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/05/16/kalau-tidak-ditahan-sprm-saya-tiada-peluang-bersihkan-diri.html



No comments: