“PENGHAKIMAN BERBEZA BUKAN ALASAN UNTUK BICARA SEMULA, YANG TERPAKAI IALAH KEPUTUSAN MAJORITI”

 

Penghakiman berbeza dalam permohonan semakan perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak baru-baru ini bukanlah alasan untuk semakan atau perbicaraan semula pada masa hadapan, kata Badan Peguam Malaysia.

Presiden Badan Peguam, Karen Cheah berkata, orang ramai perlu tahu bahawa penghakiman berbeza dalam sistem perundangan Malaysia hanyalah perbezaan pendapat dan penghakiman majoriti yang sebenarnya diguna pakai.

“Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sebarang tafsiran lain akan menjadi songsang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Oleh itu, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk membingungkan orang ramai mengenai prinsip-prinsip undang-undang yang kukuh dalam sistem keadilan kita hanya akan menyumbang kepada usaha untuk merosakkan keyakinan yang diletakkan oleh kita semua terhadap kehakiman sebagai institusi dihormati,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dia menjelaskan bahawa harus ada kepastian dalam hal litigasi, dan struktur undang-undang harus memastikan perkara tersebut. Katanya, jika pendapat minoriti menyebabkan semakan semula, maka tidak akan berlaku kesudahan untuk litigasi.

“Ia juga akan membuka pintu kepada peguam dan hakim yang terdedah kepada ‘strategi yang tidak menyenangkan’ atau ‘pengaruh luar’ hanya untuk menyebabkan situasi semakan semula dan menghalang jalannya keadilan,” tambahnya.

Cheah berkata keputusan majoriti 4 berbanding 1 terhadap bekas perdana menteri itu juga bermakna kes SRC International harus dianggap res judicata , yang bermakna ia telah diadili oleh mahkamah yang berwibawa dan oleh itu mungkin tidak diteruskan oleh pihak yang sama.

Pada ketika ini, kes SRC International membabitkan Najib telah diputuskan oleh mahkamah tinggi, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, dan kemudian disemak oleh hakim Mahkamah Persekutuan yang berbeza.

Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat alasan yang sah untuk mensabitkan Najib dalam kes SRC, kata Cheah.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana rasuah dalam perbicaraan SRC International melibatkan RM42 juta. 

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan majoriti yang menolak permohonanya untuk melakukan semakan terhadap keputusan berkenaan.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/661005




No comments: