Oleh Hassan Abdul Karim
Pulang ke Malaysia selepas lawatan rasmi ke Arab Saudi yang
penuh kontroversi sama ada berjaya atau gagal, Perdana Menteri Anwar Ibrahim
kemudian berkunjung ke Kemboja dan China.
Dari segi diri peribadi, ia bermakna Perdana Menteri mesti
berada dalam keadaan sihat. Alhamdulilah Anwar Ibrahim dapat menyempurnakan
tugas rasminya dalam lawatan Ke Phnom Penh dan Beijing.
Pulang dari China, Perdana Menteri mesti hadir ke Parlimen untuk
menjawab soalan Ahli-ahli Parlimen dalam sesi pertanyaan perdana menteri atau
ringkasnya PMQT (Prime Minister Question Time)
Saya hadir awal di Dewan Rakyat pada hari Selasa 4 April.Saya
telah menghantar satu soalan kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi PMQT iaitu
meminta Anwar menjawab berkenaan RM170 billion Pelabuhan China ke Malaysia.
Soalan saya tidak naik tetapi soalan yang lebih kurang sama dari
Ahli Parlimen Bukti Bintang menjadi soalan pertama dalam sesi PMQT itu.
Kemudian lonceng Dewan Rakyat berbunyi dan Perdana Menteri
kelihatan sampai dengan helaian Kertas di tangannya. Anwar nampak segar,
bersedia dan meyakinkan.
Sekali lagi aku berfikir bahawa bukan mudah untuk jadi Perdana
Menteri. Selain mesti sihat, Anwar kena bersiap sedia dengan jawapan terhadap
soalan-soalan Ahli Parlimen pada jam 10 pagi Selasa itu. Dia kena membaca.Dia
perlu mendapatkan penjelasan dan fakta-fakta dari pegawai-pegawai dari Jabatan
Perdana Menteri dan juga di Kementerian Kewangan.
Dalam Parlimen tidak boleh bercakap dengan fakta yang salah atau
mengelirukan.Perdana Menteri kena memahami isu atau persoalan yang timbul dalam
PMQT itu. Seluruh Rakyat yang menonton televisyen akan melihat Anwar Ibrahim
menjawab soalan bukan sebagai Ahli Parlimen biasa tetapi sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun tiga soalan yang berbangkit dalam PMQT pagi Selasa
itu telah berjaya dijawab oleh Anwar. Aku sebagai backbencer Kerajaan berasa
lega dan puas hati.
Dalam hati aku berkata bukan semua orang boleh menjawab soalan
tentang ancaman tuntutan China ke atas wilayah laut Malaysia di Laut China
Selatan. Tetapi jawapan Anwar meyakinkan. Katanya bahawa PETRONAS akan terus
laksana kerja cari gali minyak dalam wilayah Negara di Laut China Selatan
walaupun ada pertindihan tuntutan kawasan itu dengan China.
Kemudian datang soalan isu hangat tentang Doktor kontrak dengan
ancaman mogok yang hendak mereka lancarkan.Anwar menjawab dengan yakin dan
bertanggungjawab bahawa Kerajaan beri jaminan akan selesaikan ISU doktor
lantikan kontrak ke jawatan tetap secara berperingkat dengan 4,300 daripada
20,333 diserap tahun ini. Jaminan Perdana Menteri itu melegakan keadaan dan
memberi Harapan.
Kemudian Anwar menangani isu peruntukan Pembangkang dan
menyatakan Kerajaan bersedia memberi jumlah peruntukan sama kepada ahli Parlimen
Pembangkang seperti diterima wakil rakyat Kerajaan.
Sesi PMQT di Dewan Rakyat itu benar-benar satu ujian untuk
melihat sejauh mana Kerajaan yang ada Dan Perdana Menteri yang sedang berkuasa
berjaya atau gagal dalam tugasnya.
Pasir Gudang
7 April 2023