Malaysia - Filipina teroka kerjasama baharu pelbagai sektor


 Malaysia dan Filipina berminat untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua buah negara.


Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada lawatan sulungnya ke Filipina.


Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin juga menyatakan minat meneroka bidang kerjasama baharu termasuk dalam sektor industri halal, sekuriti makanan dan ekonomi digital yang dijangka mampu meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

"Kami (Malaysia dan Filipina) turut mengadakan perbincangan mengenai kerjasama bidang baharu dan penting seperti industri halal, sekuriti makanan, yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dua hala.

"Selain itu ekonomi digital juga antara bidang utama yang dibincangkan. Presiden (Filipina) dan saya bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan," katanya dalam sidang media itu.


Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke republik itu.


Ketibaannya di Istana Malacanang yang juga pejabat rasmi Presiden Marcos semalam diberi sambutan permaidani merah dengan lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan Filipina, Lupang Hinirang (Tanah Terpilih) dimainkan diikuti 19 das tembakan hormat.


Anwar yang memakai baju batik dan bersongkok kemudian diiringi Marcos memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi 165 angkatan tentera Filipina.


Sementara itu dalam sidang media kedua-dua pemimpin itu juga, Anwar menyatakan bahawa Malaysia dan Filipina sepakat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama budaya, pelancongan, pendidikan dan sukan yang sedia terjalin.


Malaysia dan Filipina juga jelasnya akan menjadi tuan rumah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8, pada tahun ini dengan diketuai Menteri Luar dari kedua-dua negara.


"Kami bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang akan diketuai Menteri Luar dari kedua-dua negara, pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama.


"Kali ini, kami (Malaysia dan Filipina) akan menjadi tuan rumah mesyuarat ini dan saya telah meminta rakan-rakan di Kementerian Luar untuk mengkoordinasi dan mempercepat proses ini," tambahnya.

No comments: