Sama ada sebelum atau selepas Hadi Awang menjadi tukang ramal dengan mendakwa kerajaan perpaduan akan tumbang tidak lama lagi, perkara itu sebenarnya sudah lama bertebaran di mana saja sebagai bahan perbualan harian.
Perbagai versi dan cerita digentayangkan untuk menggambarkan bagaimana Anwar Ibrahim boleh dijatuhkan sebagai Perdana Menteri.
Antaranya dikatakan GPS dan GRS akan menarik sokongan kerana wakil Borneo ditawarkan jawatan Perdana Menteri dan disertai kemudiannya dengan sebahagian Ahli Parlimen UMNO menyusul penarikan sokongan mereka.
Dikatakan lagi, sebaik saja pemilihan UMNO selesai 18 Mac nanti dan dengan sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian dan ahli MT sedia ada berjaya dikalahkan, akan menyusul gerakan menjatuhkan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO melalui desakan memanggil mesyuarat khas atau perhimpunan agung luar biasa.
PN yang mempunyai 74 Ahli Parlimen disebutkan hanya menunggu masa untuk menyertai semua perkembangan itu.
Pokoknya, kata pihak yang menyebarkan cerita, riwayat politik Anwar pasti akan berakhir tak lama lagi.
Di media sosial, khususnya Twitter pula turut bersepah-sepah poster yang bertulis – “PMX akan jadi XPM dalam waktu terdekat, doakan kejayaannya”.
Dan selepas Hadi Awang yang dianggap ulama politik tersohor serta masin mulutnya dalam meramalkan kejatuhan Anwar dua tiga hari lalu, cerita-cerita berkenaan pertukaran kerajaan itu makin meriah disebar serta ditokok-tambah untuk lebih sedap ia dikisahkan.
Saya sendiri dihubungi oleh pelbagai kawan, termasuk yang sudah lama tidak membuat panggilan untuk turut bertanyakan sama ada benar Anwar akan jatuh tidak lama lagi.
Begitulah hebatnya propaganda dimainkan dan politik persepsi dijadikan modal oleh mereka yang sebetulnya sakit hati dengan Anwar dan seperti menikmati makanan tanpa garam setelah kehilangan kuasa sebagai kerajaan.
Tidak habis-habis dimainkan sentimen dan perasaan seolah-olah mereka akan jadi pengganti kerajaan dalam waktu terdekat ini.
Sebenarnya, jika kita memahami bahawa sekarang sudah berkuatkuasa undang-undang anti lompat parti, menukar kerajaan tidak lagi semudah seperti sebelum ini.
Menjual sokongan secara peribadi dan menjaja akuan bersumpah sudah tidak laku lagi sekarang ini.
Kuasa paling tinggi ialah keputusan parti.
Jika sokongan secara peribadi akuan bersumpah atau SD Ahli Parlimen masih laku, selepas PRU15 lalu sudah pasti Mahiaddin Md Yasin berjaya kembali jadi Perdana Menteri.
Disebabkan kuasa parti adalah paling tinggi dan SD tidak lagi laku, Mahiaddin akhirnya tergucil dan kena potong di selekoh oleh Anwar.
Bersama kuasa adalah pada parti dan selain PH, BN, GPS, GRS dan Warisan sudah menandatangani perjanjian untuk kekal bersama sebagai kerajaan, cerita-cerita kononnya kerajaan akan bertukar tak lama lagi tidak lebih sekadar hiburan penglipur lara semata-mata.
Setakat dengar saja bolehlah, nak percaya hanya buang masa.
Orang yang hilang gaji buta dan tanpa melakukan apa-apa kerja mungkin dapat menghiburkan hati sendiri bila dapat menyebarkan cerita sedemikian.
Selagi PH, BN, GPS, GRS dan Warisan tidak berdepan masalah sesama sendiri, kerajaan perpaduan ini bukan saja kekal sehingga habis penggal, bahkan majoriti dua pertiga yang dimiliki juga tidak akan berubah.
Fantastiknya lagi, lihatlah juga bagaimana Anwar menjaga hubungan baik dengan GPS dan GRS serta sedaya mungkin cuba memenuhi intipati Perjanjian Malaysia 1963 dan ini tentu saja lebih memungkinkan mereka kekal bersama dalam kerajaan perpaduan ini.
Di waktu yang sama, gambaran kononnya UMNO akan bergolak dan Zahid Hamidi bakal digulingkan selepas pemilihan 18 Mac juga terlalu sukar untuk menjadi kenyataan.
Dengan Zahid Hamidi telah berjaya mengekang musuh-musuh politiknya sehingga berjaya menang tidak bertanding, usaha untuk menukar dua pertiga daripada 191 Ketua Bahagian kepada mereka yang anti Presiden, tidaklah semudah seperti makan kacang yang sudah siap digoreng.
Apa Zahid Hamidi tu tunggul kayu ke?
Kalau sebelum ini beliau mampu mengharungi semua cabaran daripada mereka yang ingin menjatuhkannya dan akhirnya berjaya kekal lagi menerajui UMNO, beliau pasti tidak pernah leka daripada memantau saki baki “hantu-hantu raya” yang cuba menggugatnya.
Selagi UMNO dalam kawalannya dan musuh-musuhnya pula sudah pun diletakkan di tepi, sokongan parti itu kepada Anwar dan kerajaan perpaduan tidak akan goyah.
Kepada yang masih ghairah dan tak jemu-jemu menjaja cerita tentang kejatuhan kerajaan dan PMX bakal jadi XPM, termasuk walaun-walaun, sedarlah bahawa undang-undang anti lompat merupakan penyelamat kepada aktiviti tebuk atap.
Bukan saja atap, bahkan dinding, pintu depan, pintu belakang, lantai dan segala struktur kerajaan sekarang ini lebih kukuh dan terjamin daripada segala perbuatan perampokan kuasa.
Yang jadi pembangkang, belajarlah untuk kekal sebagai pembangkang sehingga habis penggal dan jika ada pula kesalahan sewaktu jadi kerajaan dahulu, bersiap sedialah juga bukan saja untuk direman dan ke mahkamah, malah untuk berpindah ke penjara. – ShahbudinHusin 03/03/2023.