PN TAK PERLU CEPAT MENDIDIH DARAH, MEREKA MASIH BOLEH MENGUMPAN AHLI PARLIMEN, CUMA…

 

Mendidih darah betul nampaknya beberapa pemimpin PN dengan perjanjian persefahaman yang berjaya dimetrai semalam melibatkan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan menjelang usul undi percaya pada 19 Disember ini.

Entah-entah sebahagian mereka turut tak lena tidur malam tadi.

Perjanjian yang ditandatangani semalam antara lain mensyaratkan semua Ahli Parlimen daripada gabungan parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan wajib menyokong usul undi percaya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan rang undang-undang perbekalan selama tempoh lima tahun.

Kegagalan,keengganan atau kecuaian daripada berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen berkenaan secara individu kepada parti yang diwakilinya yang dianggap sebagai perletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi mereka perlu dikosongkan.

Mereka jadi marah dan mendidih dadah kerana kini ternampak peluang untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan menumbangkan kerajaan sudah tertutup rapat.

Lalu, pelbagai ungkapan seperti melanggar hak asasi dan kebebasan, tidak berperlembagaan, bersikap diktator dan macam-macam lagi tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada Perdana Menteri.

Hello bro…relakslah, bawa bertenang banyak-banyak dan jangan cepat marah-marah.

Perjanjian itu adalah melibatkan parti-parti yang berada dalam kerajaan iaitu PH, BN, GPS, GRS serta Warisan untuk tujuan kestabilan dan agar selepas undi percaya nanti, semua tumpuan boleh difokuskan untuk memajukan negara, selain menjaga kepentingan rakyat.

Kalau mereka dengan rela hati setuju berbuat demikian, apa masalahnya kepada PN?

Lagi pula, sebagai Perdana Menteri, bukanlah suatu kesalahan bagi Anwar merangka sesuatu yang bertujuan melindungi kerajaan yang dipimpinnya daripada diceroboh melalui atap, pintu tepi dan juga pintu belakang.

Apa yang dilakukannya melalui perjanjian semalam itu tidaklah seburuk seperti ada pemimpin yang sanggup mendaruratkan Parlimen lantaran bimbang tewas dalam usul undi tidak percaya.

Juga tidaklah seburuk parti tertentu yang mengadakan baiah jatuh talak tiga kepada isteri sendiri jika meninggalkan parti.

Kalau sedar menandatangani perjanjian dikata diktator, menyekat hak serta kebebasan, apakah baiah dan mendaruratkan Parlimen lebih buruk dan terkutuk lagi sifatnya?

Setidak-tidaknya Anwar masih berani dan berjiwa besar mengusulkan undi percaya terhadap dirinya sendiri.

Apa yang pasti, perjanjian itu tidak melibatkan PN atau Ahli Parlimen mereka sama sekali.

Dalam hal ini, PN bukan saja tidak disekat untuk tidak menyokong undi percaya tersebut, malah juga masih bebas untuk menarik, mengumpan atau membuat tawaran kepada mana-mana Ahli Parlimen yang parti mereka berada dalam kerajaan untuk turut menolak usul undi percaya itu.

Cuma, kepada mana-mana Ahli Parlimen yang ketua parti mereka telah bersetuju menandatangani perjanjian semalam, mereka hendaklah sedar bahawa kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen adalah dinaungi oleh parti.

Mereka bertanding atas tiket parti, menjaja nama parti dan wang belanja ketika PRU pun diberi oleh parti.

Jika mereka bertanding atas nama sendiri – misalnya atas nama Dol Bin Mat, lambang dipilih sendiri dan berkempen juga dengan kudrat sendiri – nak tanya satu saja, bolehkah menang dan bergelar Ahli Parlimen?

Tetapi, jika masih ada juga yang degil dan mahu ingkar ketetapan parti serta tidak setuju dengan perjanjian itu, cuba-cubalah berani tidak mengundi pada Isnin nanti.

Seronok juga kita nak lihat apa nasib mereka selepas ini nanti? – ShahbudinHusin 17/12/2022.



No comments: