TIDAK SOPAN DAN JANGGAL, KLUSTER MAHKAMAH HARUS SEGERA BERHENTI DESAK PRU15 DISEGERAKAN

 

Berdasarkan respon ramai yang umumnya difahami secara majoriti mereka tidak mahu PRU15 diadakan dalam waktu terdekat ini, malah pandangan dalam UMNO juga berpecah mengenainya, langkah terbaik ialah kluster mahkamah harus berhenti daripada terus memperkatakannya, apa lagi membuat desakan terbuka.

Semakin banyak desakan dan asakan dilakukan oleh kluster mahkamah mendesak PRU15 diawalkan, lagi mudah dan terdedah maksud serta tujuan tersirat mereka itu.

Oleh kerana “taiko” kluster mahkamah ialah mereka yang sedang berdepan kes mahkamah, tidak sukar memahami bahawa desakan pembubaran Parlimen awal itu semacam ada kaitan dengan apa yang mereka hadapi sekarang ini.

Jika untuk menjaga kepentingan rakyat di mana rakyat ketika ini berdepan isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang, PRU awal bukanlah pilihan yang terbaik dalam memperlihatkan UMNO sebuah parti yang pro kepada rakyat.

Sudahlah rakyat tengah susah untuk makan kerana semua barang naik harga, seolah-olah tanpa perasaan disuruh pula mereka keluar mengundi yang tujuan besarnya bukan pun memastikan masalah rakyat diselesaikan, tetapi lebih kepada menyelesaikan masalah peribadi kluster mahkamah terbabit.

Dengan pilihan awal juga, lebih banyak wang rakyat perlu dibelanjakan untuk membiayai kos pengundian yang belum perlu itu dan jika buat sementara ini wang itu dibelanjakan untuk kepentingan rakyat, tentulah manfaatnya jauh lebih besar.

Jika dibuat referendum terbuka di kalangan rakyat, pasti lebih ramai yang mahu PRU15 tidak diadakan dengan segera, melainkan isu-isu kehidupan mereka perlu diselesaikan terlebih dahulu, di samping kes Covid19 secara harian juga masih dilaporkan ribu-ribu jumlahnya.

Rakyat sebenarnya belum benar-benar selesa untuk keluar mengundi ketika ini dan peratusan keluar mengundi yang rendah di PRN Melaka dan Johor adalah bukti hakikat tersebut.

Selain itu, dalam UMNO sendiri tidak semua mahukan PRU awal, yang mahukannya hanyalah mereka yang pro kepada kluster mahkamah atau sekitar 3,000 perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO saja.

Selebihnya, lebih ramai merasakan belum masa yang sesuai lagi untuk diadakan PRU15 pada ketika ini.

Lebih daripada itu, dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri kebelakangan ini turut difahami bahawa beliau juga belum bersedia untuk membubarkan Parlimen.

Kenyataannya bahawa pembubaran Parlimen perlu dibincangkan dalam kabinet terlebih dahulu dan yang terbaru pula menegaskan, kuasa pembubaran adalah di tangan Yang Dipertuan Agong setelah dinasihati Perdana Menteri, ini dengan jelas menunjukkan ketidaksediaan tersebut.

Sementara hanya Perdana Menteri yang berhak menasihati Agong berkenaan pembubaran Parlimen, hak prerogatif itu semestinya harus dihormati oleh UMNO.

Sepatutnya Ismail Sabri diberi kebebasan menentukan bila waktu yang sesuai untuk beliau menasihati Agong itu mengikut budi bicaranya, bukan melalui desakan daripada kluster mahkamah UMNO.

UMNO pada hakikatnya tidak berhak mendesak Perdana Menteri, malah tidak sopan berbuat demikian kerana Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri adalah juga daripada UMNO.

Kerja UMNO ialah mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihan raya dan bila penentuan Parlimen harus dibubarkan, biarlah Ismail Sabri tidak diganggu, didesak atau disuruh-suruh untuk melakukannya.

Kalau parti pembangkang yang mendesak PRU disegerakan, ia memanglah perkara biasa tapi tidak pernah lagi parti yang pemimpinnya menjadi Perdana Menteri melakukan hal yang sama.

Yang ternampak sekarang, semua kerja atau peranan mahu dibolot oleh kluster mahkamah UMNO – mempersiapkan jentera, menentukan tarikh pilihan raya dan memilih calon untuk bertanding.

Habis, kedudukan Perdana Menteri sebagai apa? – ShahbudinHusin 09/06/2022.




No comments: