Kerajaan BN perlukan ‘kestabilan’ untuk lulus GST
Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa BN harus berkuasa semula untuk mendapatkan kerajaan yang stabil tidak membawa banyak makna kepada rakyat.
Menurut ADUN Permatang Pasir, Mohd Faiz Fadzil, tiada gunanya kestabilan di bawah pemerintahan BN sekiranya kerajaan yang dilantik akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), terus dengan sikap membazir serta tidak telus dalam pentadbiran.
“Dakwaan Zahid BN perlu berkuasa semula kerana mahu sebuah kerajaan yang stabil adalah tidak berasas kerana dasar pemerintahan yang sama (sedia ada) akan dilaksanakan jika BN berkuasa semula.
“Jika mereka menang maka kerajaan masih BN dan GST pasti akan dilaksanakan semula kerana yang berkuasa dalam BN adalah kumpulan Najib dan Zahid. Korupsi dan penyelewengan pula akan berterusan.
“Indeks rasuah (CPI) pada zaman BN tahun 2017 dan 2021 adalah sama pada tangga ke 62. Di zaman pemerintahan merekalah, pemerintahan dan ekonomi negara lemah dengan pelbagai kes-kes rasuah. Jika pun ada projek mega, ia pinjaman dari China seperti projek ECRL. Kek besar tidak dikongsi pun dengan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Faiz, akibat ‘kerajaan BN yang stabil BN’ maka harga barang pasti akan meningkat dengan pelaksanaan cukai regreasif.
Katanya, rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana negara telah menyaksikan inflasi melambung tinggi apabila GST dikenakan pada 2016 lalu.
“Inflasi pada Februari 2016 sekitar 4.2% melonjak kepada 5.1% pada Mac 2017.
“Sehingga sekarang pun kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri tiada pelan tindakan khusus sebagai jalan keluar kepada masalah krisis bekalan makanan dan harga barang
“Jadi, di mana relevannya BN perlukan kerajaan stabil jika dasar yang sama memerintah?” tanyanya.
Selain itu, Faiz menolak dakwaan Zahid kononnya pembangkang gentar menghadapi PRU dan mencuba pelbagai cara melambatkannya.
Sedangkan kata Pengerusi Biro Pengguna Amanah itu, kerajaan sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu kehendak rakyat yang mahu bekalan barang keperluan mencukupi dan murah.
“Kenapa perlu bazirkan wang negara untuk adakan PRU sedangkan dana yang ada seharusnya diguna untuk selesaikan masalah harga barang.
“Sepatutnya, kerajaan gunakan wang untuk kembalikan subsidi barangan asas seperti ayam, yang mana peruntukan sebanyak RM 720 juta kepada penternak ayam telah dibatalkan. Ini belum lagi dikira harga barang asas lain yang perlukan sokongan kerajaan.
“Zahid sepatutnya sedar kos PRU boleh mencecah RM1 bilion di mana kos PRN Melaka, Sarawak dan Johor sahaja mencecah lebih RM290 juta. Bukankah ini satu pembaziran di saat rakyat sedang menderita?” tanya beliau lagi.
Justeru Faiz tertanya tanya, adakah kenyataan Zahid itu dibuat kerana memikirkan nasib rakyat yang mahukan ‘kerajaan stabil’ atau hanya atas kepentingan diri beliau dan rakan rakan yang amat memerlukan PRU disegerakan.