Sudah lebih dua minggu berlalu sejak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM sambil menyatakan hasratnya untuk berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perletakan jawatannya, tetapi sehingga hari ini segala-galanya masih lagi statik.
Zuraida masih lagi menteri sehingga kini, malah pertemuan beliau dengan Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai perletakan jawatannya juga belum lagi berlangsung.
Sementara Ismail Sabri sejak awal lagi mengatakan akan bertemu dengan Zuraida sebelum membuat apa-apa keputusan, manakala Ahli Parlimen Ampang itu pula dilaporkan tiga hari lalu bahawa beliau sentiasa “standby” untuk dipanggil bertemu Perdana Menteri, malangnya tiada apa-apa yang bergerak setakat ini.
Di mata umum, bahkan kedengaran di mana-mana, keadaan ini menyebabkan Ismail Sabri dianggap terlalu perlahan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Kenapa perlu memakan masa sehingga lebih dua minggu tanpa apa-apa perkembangan dalam kes Zuraida yang diketahui sudah sedia meletakkan jawatan, sedangkan ia adalah perkara yang mudah saja?
Kuasa melantik menteri adalah hak Perdana Menteri, di sebalik setiap parti diperuntukkan kouta tertentu mengenainya.
Dalam hal ini, meskipun perlantikan Zuraida sebelum ini adalah atas kouta Bersatu, terpulang kepada Ismail Sabri sama ada mahu mengekalkan kouta itu untuk Bersatu atau tidak.
Jika mahu dikekalkan kouta Bersatu, segeralah berbuat demikian dengan melantik pengganti baharu yang akan dicadangkan oleh Bersatu.
Kalau mahu Zuraida kekal lagi dalam kabinet, beliau juga boleh dikekalkan atas kedudukan PBM sebagai parti yang menyokong kerajaan.
Sama ada jawatan menteri untuk Bersatu mahu diganti atau dibiarkan berkurang, itu juga adalah hak Perdana Menteri memutuskannya.
Begitu juga, kiranya Ismail Sabri menerima perletakan jawatan Zuraida, tetapi tidak mahu melantik menteri baharu daripada Bersatu, sebaliknya ingin memberi jawatan itu kepada UMNO, ia turut merupakan hak Perdana Menteri yang tidak boleh dipertikaikan.
Pokoknya, apa juga keputusan berikutan tindakan Zuraida keluar Bersatu dan menyertai PBM, semuanya adalah hak Perdana Menteri untuk bertindak dan menyelesaikannya.
Mengekalkan Zuraida, menerima perletakan jawatannya, menggantinya atau tidak mengubah apa-apa dalam sususan menteri, tiada yang lain berhak melainkan Perdana Menteri saja.
Cuma, apa juga yang mahu diputuskan, ia mestilah disertai dengan pengumuman dan tidaklah terbiar tergantung tanpa sebarang tindakan kerana ini melibatkan kerajaan dan rakyat berhak untuk diberitahu.

Tidak bertindak dan tidak memberitahu rakyat tentang sesuatu perkara yang perlu diketahui bermakna kerajaan itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab kepada rakyat selaku pembayar cukai atau pembiaya wujudnya sesebuah kerajaan.
Adalah diharapkan, dengan pelbagai isu yang sedang melanda dalam negara, Ismail Sabri dapat segera bertindak dan membuat keputusan berkenaan kedudukan Zuraida ini dalam tempoh yang tidak terlalu lama.
Jangan dibiarkan ia tergantung begini terlalu lama kerana ia akan memberi ruang kepada kritikan serta kemampuannya kian dipertikaikan. – ShahbudinHusin 11/06/2022.