Calon MPP Otai Reformis: Bela kebajikan aktivis veteran, pantau pentadbiran Kerajaan Negeri




 Pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN kali ini lebih rencam apabila Otai Reformis 1998, NGO penggerak awal Reformasi menghantar dua calon bagi mewakili kepentingan reformis di seluruh negara.


Salah seorang calon, Abdul Razak Ismail berkata, tujuan Otai Reformis mewakilkan calon adalah bagi memperbaiki pentadbiran parti dan memastikan agar dasar dasar yang dibuat menguntungkan aktivis atau anggota parti.


"Kami memperjuangkan agar parti menubuhkan ‘one stop centre’ bagi menjaga kebajikan aktivis veteran yang telah berjuang sejak era Reformasi 1998.


"Parti wajar mewujudkan satu dana khas untuk membantu mereka ini yang miskin, tidak bekerja atau berpendapatan rendah.


"Otai sedih kerana ada dalam kalangan aktivis itu berdaftar sebagai asnaf dan mendapat bantuan Lembaga Zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ada juga yang mendapat bekalan ‘food bank’ secara bulanan dari NGO Kemanusian INSAF," katanya.


Sebagai parti yang memiliki sejuta keanggotaan, katanya, peranan reformis awal tersebut perlulah dihargai kerana mereka telah berkorban tenaga dan kesihatan melawan kezaliman BN menyebabkan rakyat membuka mata kepada KEADILAN


Di samping itu, Razak yang juga Setiausaha Otai Reformis 1998 turut mencadangkan diwujudkan satu badan pemantau atau Ombudsman terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan supaya semak dan imbang dapat dilaksanakan.


"Ombudsman ini penting untuk ‘check and balance’ terutama perkara-perkara melibatkan alam sekitar, hutan simpan dan isu-isu melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)


"Apa yang berlaku sekarang, parti seumpama ‘tiada kuasa’ untuk menasihati Kerajaan Negeri dalam isu-isu melibatkan alam sekitar, projek-projek pembangunan yang melibatkan hutan simpan, kegagalan mengatasi isu putus bekalan air yang berpanjangan serta isu-isu PBT yang seolah olah memperlihatkan sikap ‘berlengah-lengah’ memperbaiki kerosakan kemudahan awam.


"Otai berpandangan Ahli-ahli Majlis (AM) lantikan politik haruslah mempunyai satu kaedah penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) kerana kelihatannya AM sekarang ini ‘bekerja’ untuk PBT ‘bukan bekerja untuk rakyat setempat’," katanya lagi.


Justeru, Razak mahu melihat parti mempunyai kuasa menasihatkan Ahli Majlis agar berkhidmat sebaik baik mungkin kepada rakyat.


Katanya, tidak wajar mereka dibayar elaun tetapi rakyat terpaksa menggunakan jalan raya berlubang-lubang yang merosakkan kenderaan mereka ekoran PBT gagal memperbaiki dalam kadar segera.


Razak bertanding sebagai calon nombor 7.