PETALING JAYA: Jalan-jalan di Kuala Lumpur mula dipenuhi orang ramai yang mencari hiburan malam setelah sekatan selama dua tahun ke atas operasi kelab malam disebabkan wabak berakhir pada tengah malam.
Kelab malam adalah satu-satunya premis yang masih berada dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan peralihan negara ke fasa endemik mulai 1 April.
Namun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan lewat bulan lepas, ia akan dibenarkan beroperasi semula mulai hari ini, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengunjung hanya dibenarkan masuk ke kelab malam selepas menunjukkan keputusan ujian RTK-Antigen Covid-19 negatif, yang diambil dalam tempoh 24 jam sebelum masuk ke dalam premis.
Mereka turut dibenarkan menanggalkan pelitup muka apabila makan dan minum, atau menari.
FMT bercakap dengan pengunjung dan pengusaha beberapa tempat hiburan malam mengenai pengoperasian semula perniagaan dan terutamanya dengan kegiatan menari turut dibenarkan.
Pengunjung menyuarakan betapa terujanya mereka kerana akhirnya dapat menari sepuas hati, dan ramai yang dilihat berbaris panjang untuk memasuki tempat hiburan pilihan mereka malam tadi.
Khairun Zabidi, 36, percaya vaksinasi lengkap menjadi barisan pertahanan pertama. Beliau turut bersetuju dengan syarat melakukan ujian kendiri sebelum bergaul dalam khalayak ramai.
“Saya rasa ini tentang memikirkan bagaimana rupanya normal baharu. Kehidupan tidak boleh terhenti hanya disebabkan wabak.
“Ia adalah mengenai memastikan mereka yang paling rentan selamat. Bagaimanapun, saya rasa, selagi kita semua bertanggungjawab, maka itulah pertahanan terbaik yang kita ada.”
Tambahnya, apabila perniagaan kembali dibuka, sudah tiba masanya kehidupan sosial kembali diteruskan sebagai sebahagian daripada “normal baharu”.
“Jika kita dibenarkan berhimpun untuk sembahyang dan acara besar, kenapa bukan untuk berhibur?”
DJ Onil Hemelton, 24, berkata setelah penantian yang lama, banyak acara telah diatur dan penggiat industri gembira dapat kembali meneruskan perniagaan.
Juruacara yang dikenali sebagai Zypherz, 33, berkongsi mengenai nasib mereka yang bekerja dalam industri tersebut, dengan ramai yang diberhentikan kerja sejak kelab malam diarah menghentikan operasi lebih dua tahun lepas.
“Saya gembira (keadaan) kembali normal, tetapi harap-harap pihak berkuasa tidak lagi mempunyai masalah dengan kegiatan hiburan malam. Ramai yang bekerja sebagai juruacara dan pelayan bar kehilangan pekerjaan semasa wabak,” katanya.
Situasi Covid-19 “rumit”, katanya dan beliau tidak yakin sama ada selamat untuk orang ramai tidak memakai pelitup muka dalam kelab malam.
Namun, beliau sanggup “mengambil risiko” kerana suka bekerja dalam industri hiburan malam, katanya.
Mengibaratkan pembukaan semula kelab malam seperti sambutan malam Tahun Baharu, seorang pengurus besar kelab malam Shayan Khajoee memberitahu FMT, reaksi daripada pengunjung adalah sangat positif, dengan tempahan penuh sebaik sahaja kerajaan memberi lampu hijau.
Walaupun mengakui mungkin sukar untuk memeriksa ujian kendiri setiap pengunjung, beliau menegaskan bahawa penggiat industri perlu “memainkan peranan”.
“Kita hanya perlu ikut SOP kerana ia adalah keistimewaan yang diberikan kepada kita, jadi kita tak boleh ambil kesempatan.”
Sementara itu, lantai tarian di beberapa kelab malam masih kosong disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan operasi.
Seorang pengusaha kelab malam di Kuala Lumpur, Godwin Pereira bercakap mengenai kekurangan pekerja yang menghalang banyak kelab malam meneruskan operasi walaupun dibenarkan.
“Kami tidak beroperasi hari ini kerana tak cukup tenaga kerja. Semua orang menghadapi masalah (kekurangan) pekerja. Ia tidak semudah yang semua orang fikirkan. Tak boleh petik jari sahaja dan buka (kelab malam),” katanya kepada FMT.
“Juga bukan mudah nak dapatkan semula pekerja lama kerana mereka ada pekerjaan dan komitmen lain. Jika ambil pekerja baharu, saya perlu masa untuk latih mereka agar mereka faham operasi kami.”
Setelah sebegitu lama perniagaan merosot, Pereira mengingatkan pengunjung kelab malam untuk menghargai pihak yang mengekalkan industri ini dan menggesa mereka untuk lebih bersabar dan bersikap lebih memahami terhadap kru perkhidmatan yang menjalankan tugas mereka.
“Kami harap pelanggan kini menghargai kami, daripada yang menjaga pintu dan yang melayan kepada kakitangan keselamatan,” katanya.
“Kami harap mentaliti orang ramai telah berubah menjadi lebih baik hati.”