REFORMASI SELAGI ANWAR BELUM PM

 

REFORMASI SELAGI ANWAR BELUM PM

**Rencana disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.
MUKADIMAH

TIDAK bermegah dengan diri sendiri, bekas penuntut di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) ini tidak lokek untuk mengamalkan sikap kebersamaan bagi mendukung agenda PKR.
Malah, calon Naib Presiden PKR yang juga calon Ketua Cabang Gombak ini, FARHASH WAFA SALVADOR sering mengutamakan keputusan jemaah agar keharmonian dalam kalangan pemimpin dan ahli parti terjamin.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan jurugambar, AFIQ RAZALI, beliau yang merupakan ahli PKR sejak 17 tahun lalu bercakap tentang perkembangan terkini pemilihan parti dan hala tuju dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti temu bual tersebut yang berlangsung di Plaza Damas, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Perkembangan terbaharu saudara?
FARHASH WAFA: Saya masih masuk bertempur untuk pemilihan kali ini dan adat pertandingan kita ada kumpulan A dan kumpulan B. Jadi, sudah tentulah kumpulan saya adalah kumpulan yang tidak senada dengan kumpulan Mohd. Rafizi Ramli (calon Timbalan Presiden PKR) dalam pemilihan.
Pertandingan ini bukan pada peringkat pusat sahaja tetapi ia melibatkan cabang, sayap wanita dan sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Kenapa bukan Timbalan Presiden?
Pada mulanya, saya tidak pernah umumkan yang saya akan bertanding sebagai timbalan presiden dan itu hanyalah ura-ura daripada media. Saya tidak pernah langsung umumkan tetapi memang ada permintaan daripada akar umbi.
Namun, saya ini adalah orang yang mengikut jemaah dan tidak membuat keputusan secara bersendirian. Jadi, sudah tentu apabila dalam kalangan jemaah pimpinan memutuskan bahawa lebih elok saya bertanding untuk naib presiden, saya akur.
Bagaimana gerak kerja menuju PRU15?
Gerak kerja saya sama sahaja seperti dahulu iaitu dengan meningkatkan keahlian serta menyantuni cabang-cabang. Misi saya senada dengan parti, iaitu agenda reformasi.
Itu yang kita ketengahkan dan sebab itu juga pada pemilihan kali ini, kita menamakan kumpulan kita sebagai Legasi Reformasi.
Saya nak bawa legasi reformasi ini kerana kita belum berjaya lagi kerana Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) belum lagi diangkat menjadi Perdana Menteri.
Kita perlu kuatkan tapak kita dan bersedia sepenuhnya untuk PRU15. Ada naratif yang dibuat mengatakan kononnya kita akan kalah di Selangor dan pusat seolah-olah sebelum kita masuk pertarungan, kita dah mengaku kalah. Saya mengingatkan kepada ahli dan penyokong saya untuk bekerja lebih keras lagi.
Rafizi seorang ‘diva’?
Mohd. Rafizi adalah seorang diva kerana dia hanya akan cakap apa yang dia mahu dan bukannya daripada suara jemaah. Memang dalam setiap parti ada warlords malah dia sendiri adalah seorang warlord. Jangan terlalu berkeras dalam pemilihan ini.
Dia ada kelebihan sendiri kerana dia seorang ketua komuniti yang pandai untuk mobilasi masyarakat. Kita perlu raikan semua kekuatan kerana ada juga pimpinan lain yang mempunyai nilai tambah kepada parti dan mampu memberikan apa yang parti perlukan.
Setiap perbezaan yang membuatkan parti ini kuat. Yang merosakkan parti adalah individu yang tidak mengikut jemaah tapi kemudian merasakan suara dia sahaja yang betul.
Siapa pengganti Anwar?
Saya boleh katakan di sini, Nurul Izzah sangat layak untuk menggantikan Anwar kerana dari segi prestasi, dia yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden sebelum ini dan telah menjadi ahli Parlimen.
Kualiti Nurul Izzah sangat tinggi dan kita boleh kata mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kerana dia merupakan anak Anwar sendiri. Dia mengamalkan sikap berorganisasi yang baik yang melayakkannya untuk menjadi presiden, suatu hari nanti.
Bagi pemimpin lain dalam PKR juga, semua ada kelebihan dan ini semua sebenarnya terserah pada akar umbi sama ada mereka mahu mengangkat siapa sebagai presiden.
Itulah kelebihan PKR yang mengangkat kepimpinan wanita malah pernah ada presiden wanita sendiri iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Adam Adli mampu rapatkan saf AMK?
Terus terang saya kata, calon Ketua AMK, Fahmi Zainol itu saya tidak pernah jumpa pun tetapi calon bagi jawatan yang sama iaitu Adam Adli Abd. Halim, saya sudah dengar nama dia sejak dahulu. Dia bukannya baru berdamping dengan kita, cuma dia baru dalam parti secara rasmi. Dia ada hubungan yang baik dengan presiden parti serta pimpinan-pimpinan parti yang lain.
Pada saya, kalau ingin bercakap mengenai teruji, kedua-duanya belum cukup teruji tetapi pandangan saya mengenai Fahmi, harus kita perhalusi pemerhatian kita dalam kepimpinan dia di Pulau Pinang sebagai Ketua AMK Pulau Pinang.
Kalau di Pulau Pinang pun dia tidak mampu untuk rapatkan saf, apa pula jika satu negara di bawah pimpinan dia? Jadi, secara jelas saya boleh katakan, Adam Adli yang pernah menjadi ketua mahasiswa dan wajar diberikan sokongan. Ketokohan sedemikian yang diperlukan dalam PKR.
Khemah besar akan menangkan PH?
Saya ada perasaan bercampur baur mengenai hal ini. Secara peribadi, saya tahu Pakatan Harapan (PH) cukup kuat dengan parti-parti yang ada ketika ini. Kita dah cukup kuat tetapi mengenai perlu khemah besar atau tidak, saya tidak dengar lagi ada perbincangan ke arah itu.
Kongres parti akan berlangsung pada Jun nanti dan selalunya perjuangan PKR ini diambil daripada keputusan jemaah. Kalau akar umbi mengatakan perlu khemah besar, maka kita tengok nanti perlu atau tidak. Buat masa ini, tiada perbincangan di peringkat pusat mahupun cabang. – UTUSAN
May be an image of 5 people, people standing, people sitting and text that says "15 RABU-T1MEI2022 Rencana Reformasi selagi Anwar belum PM MUKADIMAH sendiri. penuntut diUniversi Û Lumpur, Hartamas, Parti Keadilan kepada berdamping mparti Yang merosakkan parti adalah individu ngtdak mengikut merasakans suara sahaja yang betul." MISI Ituyang"