Zahid saran Petronas selamatkan Sapura, setuju wajib audit forensik dilaksanakan
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi menggesa Petronas menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (SEB) yang dibebani dengan pinjaman RM10.3 bilion dan berdepan muflis.
Beliau berkata, bantuan petronas itu juga boleh dibuat tanpa menggunakan dana langsung kerajaan.
“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB). Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ sesegera mungkin.
“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ianya lebih telus,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Zahid merujuk kepada Sapura Energy yang mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama sebelum ini
Zahid berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Gesaan Zahid itu menyusul selepas penganjuran Debat Perdana Khamis lalu membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengenai isu itu.
Menurut Najib, SEB perlu diselamatkan dengan mencadangkan supaya syarikat minyak nasional Petronas mengambil alih kepentingan syarikat itu daripada diisytiharkan muflis.
Beliau berkata, SEB mempunyai kontrak bernilai RM7 bilion dan sebaik saja ia melaksanakan kontrak ini, harga sahamnya akan meningkat dan Petronas boleh menjual sahamnya dan ia menguntungkan.
Katanya rakyat akan menderita dan beribu-ribu akan kehilangan pekerjaan jika Sapura, di mana pemegang saham terbesarnya adalah PNB jatuh.
Anwar pula menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap SEB dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.