Sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti atau JPP, Dr. Zaliha Mustafa semalam, keputusan rasmi berkenaan pemilihan PKR kali ini hanya akan diumumkan pada 29 Mei ini.
Ia selepas beberapa cabang yang diarah mengadakan mesyuarat semula akan selesai berbuat demikian pada Sabtu, 28 Mei.
Yang paling menarik dalam pemilihan PKR kali ini tentunya perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Rafizi Ramli dengan Saifuddin Nasution Ismail.
Selain kedua-dua calon aktif berkempen secara fizikal dengan turun ke negeri-negeri bertemu ahli sejak hampir sebulan yang lalu, kempen melalui media sosial juga dilihat begitu paling aktif sekali.
Barangkali keadaan itu ada kaitan dengan pengundian dalam pemilihan PKR yang turut terbahagi kepada dua – undi fizikal dan undi atas talian.
Terkedepan sekali kempen dalam media sosial ialah melalui Grup Whatsapp yang diwujudkan dengan pelbagai nama.
Dalam Grup Whatsapp itu mereka yang pro Rafizi dan Saifuddin saling berlumba menyebarkan maklumat, mempengaruhi dan melakukan provokasi demi memperolehi undi.
Dengan itu, sejak kempen bermula lebih sebulan lalu, banyak sekali Grup Whatsalp diwujudkan sebagai medium kempen.
Dalam beberapa Grup Whatsapp yang ada geng Rafizi dan Saifuddin di dalamnya, perbincangan dan berbalas maklumat ternampak begitu meriah sekali sehingga lewat malam pun ada saja maklumat yang disebarkan.
Kerap juga sehingga berlaku berbalas hujah yang keras antara dua kumpulan itu demi mempertahankan calon pujaan masing-masing.
Sebenarnya, jika semua itu diterima dengan hati terbuka dan dalam semangat meraikan setiakawan meraikan pertandingan, itulah indahnya demokrasi dan ketika adanya pemilihan.
Tetapi, sejak dua tiga hari lalu, apa yang berlaku ialah ramai mereka yang diketahui pro Saifuddin dilihat tiba-tiba meninggalkan beberapa Grup Whatsapp yang telah mereka sertai sejak sekian lama.
Menerusi tinjauan dengan beberapa rakan, fenomena yang sama juga turut berlaku dalam Grup-Grup Whatsapp peringkat negeri yang di dalamnya ada penyokong kedua-dua belah pihak.
Kenapakah geng Saifuddin mula bertindak demikian?
Apakah mereka sudah terbau tanda-tanda kekalahan?
Bagaimanapun, bukankah keputusan rasmi belum lagi diumumkan?
Sepatutnya relakslah dulu, bukankah ini cuma pertandingan dalam parti saja?
Namun, jika tindakan keluar Grup Whatsapp itu dilakukan kerana mereka percaya Saifuddin akan menang menewaskan Rafizi, apakah pula alasannya?
Apakah geng Saifuddin sudah tidak mahu lagi berkomunikasi dan bercampur dengan ahli-ahli PKR sendiri, terutama penyokong Rafizi? – ShahbudinHusin 25/05/2022.