MAHIADDIN KHIANATI ISMAIL SABRI MELALUI CUBAANNYA INGIN JADI PM SEKALI LAGI, BERSARA JAUH LEBIH BAIK BAGINYA

 

Secara umumnya, ramai yang berasa loya dan bagaikan tidak percaya dengan usaha terbaru Mahiaddin Md Yasin yang dikatakan mahu kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Ini berikutan, selama 18 bulan memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, beliau dikategorikan sebagai Perdana Menteri yang gagal dan langsung tidak berjaya.

Perlbagai rungutan, malah kemarahan rakyat kedengaran di sana sini sepanjang beliau memegang kuasa.

Sudah tentu amat pelik, seorang yang tidak berjaya dan gagal, tapi masih ada hati mahu memegang kuasa sekali lagi.

Seorang bekas Ahli Parlimen dengan separuh marah mencebik….gila ke?

Realitinya, apa yang mampu dilakukan Mahiaddin jika ditakdirkan jadi Perdana Menteri buat kali kedua nanti?

Adakah beliau mahu mengulangi kegagalannya sekali lagi?

Mereka yang lain berkata, tiada perasaan malukah dalam diri Mahiaddin sekarang ini?

Bagi tujuan mengejar impiannya itu, Mahiaddin dilaporkan telah bertemu Pengerusi Pejuang, Tun Mahathir Mohamad dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim serta menghubungi Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk mendapatkan sokongan.

Bagaimanapun difahamkan ketiga-tiga pemimpin yang ditemuinya itu menolak untuk memberi sokongan kepada Mahiaddin.

Tak ke lagi malu jadinya apabila semua mereka yang ditemuinya telah menolak hasratnya itu?

Tambahan lagi, ketiga-tiga pemimpin itu turut sama berhasrat mahu jadi Perdana Menteri juga, termasuk Tun Mahathir yang pasti tidak melepaskan peluang, jika ada sokongan untuk jadi Perdana Menteri lagi buat kali yang ketiga.

Jadi, buat apa mereka memberi sokongan kepada Mahiaddin?

Begitu pun, apa yang nyata, di sebalik keghairahan Mahiaddin mahu jadi Perdana Menteri sekali lagi itu, beliau sebenarnya sedang mengkhianati Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sedia ada.

Bukankah Ismail Sabri berjaya jadi Perdana Menteri dengan sokongan beliau dan namanya sebagai Perdana Menteri juga dicalonkan oleh Bersatu dan juga PN?

Lebih daripada itu, selain PN merupakan parti yang sedang bersama-sama membentuk kerajaan, Mahiaddin sendiri dengan jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri yang disandangnya juga adalah atas lantikan Ismail Sabri.

Kenapa sekarang Ismail Sabri mahu dijatuhkan pula dan tidakkah cubaan Mahiaddin ingin kembali berkuasa itu suatu pengkhianatan secara terang-terangan?

Ehhh…Mahiaddin, berapa kali mahu bersikap khianat?

Lalu, apa yang sebaik dan sepatutnya beliau lakukan sekarang?

Sebenarnya, yang paling wajar Mahiaddin lakukan sekarang ialah segera bersara dan berundur terus daripada politik.

Memang pedih dalam hati kerana terpaksa berundur ketika parti sedang menuju kemerosotan dan kekalahan, bahkan mungkin akan membuatkan Bersatu berkubur terus selepas PRU15 nanti, tetapi untuk kesedaran Mahiaddin, itulah harga sebuah pengkhianatan yang harus dibayarnya. – ShahbudinHusin 02/04/2022.


No comments: