Usah berlagak seperti jurucakap tak bertauliah Umno, ketua bahagian beritahu Hadi

 

Bersungguh benar nampaknya kerajaan memberi hujah berhubung keengganannya membenarkan pencarum mengeluarkan wang RM10 ribu daripada simpanan KWSP.

Semalam, dalam perutusan khasnya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menghuraikan beberapa jenis bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan dengan bencana tersebut serta mengaitkannya dengan ketidakperluan mengeluarkan wang KWSP.

Katanya, dengan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan, pengeluaran wang daripada KWSP tidak lagi diperlukan oleh mangsa banjir.

“Keseluruhan pemberian tunai yang disediakan kerajaan kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10 ribu bagi setiap ketua isi rumah.

“Inilah usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mereka mengeluarkan wang simpanan KWSP,” tegas beliau.

Hari ini Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pula berkata, kerajaan akan membebankan generasi akan datang jika sekali lagi memberi kebenaran kepada pencarum mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

Menurut beliau, kerajaan selama ini tidak pernah membenarkan pengeluaran KWSP semasa bencana seperti banjir kerana pelbagai jenis bantuan dan pemberian tunai akan disediakan untuk membantu mereka.

Tambahnya, bagi tujuan memenangkan kebajikan rakyat, langkah populis yang dicadang sesetengah pihak itu bukanlah langkah yang tepat.

“Akhirnya, rakyat juga yang akan terkesan pada jangka masa panjang dan anak cucu kita yang dibebani dengan kos menampung warga tua,” katanya.

Tengku Zafrul turut mempersoalkan niat pihak yang mendesak pengeluaran itu dengan menggunakan alasan ia bertujuan membantu masyarakat Melayu.

Ini kerana katanya, hampir 50 peratus pencarum KWSP atau enam juta orang hanya mempunyai baki caruman kurang daripada RM10 ribu.

“Hal itu bermakna, jika pun pengeluaran itu dibenarkan, enam juta pencarum tidak menerima manfaat untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

“Jika betul pihak ini ingin memperjuangkan nasib orang Melayu, walaupun maklum ramai yang tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat sebenar mereka memperjuangkan pengeluaran tambahan itu?” katanya lagi.

Selain itu, ujar Tengku Zafrul, dengan simpanan kurang daripada RM10 ribu yang dimiliki enam juta ahli KWSP sedia ada, mereka tidak dapat bersara dengan selamat.

“Pengeluaran tambahan juga akan menjadikan jumlah pencarum dengan simpanan kurang daripada RM10 ribu meningkat kepada hampir tujuh juta orang,” ujarnya memberi peringatan.

Kebenaran itu jika dibenarkan, tambah Tengku Zafrul, akan memaksa KWSP melupuskan pelaburan, sekali gus mengurangkan dividen ahli.

“Ini akan mewujudkan impak susulan kepada pasaran bon dan saham negara, mengakibatkan keruntuhan keyakinan pelabur dalam dan luar negara,” tegas beliau.

Begitu pun, sebagaimana kita semua sedia maklum, pihak yang kuat mendesak pengeluaran KWSP ini ialah UMNO, khususnya Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Najib Razak dan sebahagian besar pimpinan dalam hireaki MT yang lain.

Tuntutan UMNO berkenaan dengannya bermula sejak era Mahiaddin Md Yasin memegang jawatan Perdana Menteri lagi.

Sebagaimana ketika itu Tengku Zafrul bertegas menolaknya, setelah jawatan Perdana Menteri kini diambil oleh Ismail Sabri pun, beliau kekal dengan pendirian yang sama.

Malah dengan Ismail Sabri turut menolak perkara itu, meski dirinya adalah pemimpin UMNO, beliau turut dituduh oleh Dr. Asyraf sebagai hanya mendengar nasihat Tengku Zafrul semata-mata.

“Dengarlah rintihan rakyat, jangan dengar nasihat Tengku Zafrul saja,” ujar beliau memberi ingatan kepada Ismail Sabri.

Dengan semua ini, apakah Ismail Sabri akan dijatuhkan tidak lama lagi dan gerakan ke arah itu bakal menjadi lebih rancak sebaik bermulanya tahun 2022? –


 ShahbudinHusin 01/01/2022.


No comments: