Oleh HASSAN ABDUL
KARIM / January 16, 2022
Pada Sabtu 15 Januari
2022, saya menerima satu kiriman whatsapp yang mengandungi satu screen shot
facebook berkenaan Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kita. Dalam
screen shot itu ada satu tulisan ringkas berkenaan latarbelakang Ismail Sabri
Yaakob semasa zaman beliau seorang pelajar.Penulis itu bernama Andrew Peris
yang mengaku beliau adalah rakan sekolah Ismail Sabri di Kuantan.
Saya dapati beberapa
fakta penting dalam tulisan Andrew Peris itu tidak betul. Saya tahu fakta-fakta
itu salah kerana saya kenal Ismail Sabri Yaakob dan tahu sedikit sebanyak
latarbelakangnya. Mula-mula saya tak ambil peduli. Tetapi apabila saya teliti
betul-betul tulisan Andrew Peris itu, saya yang dilatih sebagai seorang peguam
nampak ada niat tidak baik si penulis. Dalam bahasa Inggeris dan istilah
undang-undang ada niat jahat atau “malice” dalam tulisan Andrew Peris itu.
Si penulis yang saya
tidak kenal itu, sama ada nama sebenarnya Andrew Peris atau itu nama palsu,
saya lihat ada niat untuk menghina, mencemuh, mempelekehkan Ismail Sabri Yaakob
yang menjadi Perdana Menteri kita sekarang.
Kalau saya ambil sikap
tidak peduli tentang perbuatan buruk itu terhadap Ismail Sabri, maka saya rasa
saya telah melakukan satu “omission” atau satu kegagalan kerana membiarkan
fakta palsu yang memburuk-burukkan latarbelakang pencapaian akademik Perdana
Menteri kita sekarang.
Saya perlu menjelaskan
siapa saya dalam hal ini dan kenapa campur tangan soal seperti ini. Saya
seorang ahli politik pembangkang di Parlimen dan Ismail Sabri Yaakob adalah
Perdana Menteri Malaysia. Dari segi politik kami adalah bertentangan pihak.
Kami bukan bermusuhan tetapi kami bersaing hebat.
Kalau Andrew Peris
hendak mengkritik Ismail Sabri Yaakob kerana kegagalan pentadbirannya atau
kelemahan beliau sebagai seorang Perdana Menteri. Itu adalah wajar dan hak
Andrew Peris berbuat demikian di bawah undang-undang dan Perlembagaan
Persekutuan di bawah Perkara 10 hak rakyat bersuara.
Malah kritikan saya
sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana
Menteri lebih tajam dan lantang, kadang-kadang tanpa belas kasihan. Tetapi itu
tidak ada kena mengena dengan peribadi. Bukan serangan peribadi terhadap
Perdana Menteri. Yang saya kritik adalah dasar-dasar kerajaan pimpinan Ismail
Sabri yang saya anggap silap, tidak sesuai dan ternyata gagal, misalnya.
Tetapi apabila ada orang
seperti Andrew Peris yang menulis dengan fakta yang silap dan palsu dengan niat
jahat untuk memalukan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri lebih 32
juta rakyat Malaysia sekarang, maka saya perlu betulkan fakta-fakta itu.
Saya tidak mahu rakyat
Malaysia percaya dengan fakta palsu dan jahat yang diwar-warkan Andrew Peris
seolah-olah Perdana menteri kita sekarang ini seorang yang bodoh, pencapaian
akademik yang rendah, dapat belajar di universiti kerana dasar kroni atau pilih
kasih.
Saya kenal Ismail Sabri
Yaakob dan keluarganya. Abang Ismail Sabri iaitu Kamarazaman Yaakob adalah
kawan baik saya sejak kami di universiti Malaya. Saya pernah jadi guru dan
kemudian Pengetua sebuah kolej bernama Jaya Akademi di Kuala Lumpur yang
dimiliki oleh Kamarazaman Yaakob. Ketika itu Ismail Sabri Yaakob adalah pelajar
Tingkatan Enam kami di Jaya Akademi yang dimiliki oleh abangnya sendiri. Selain
itu, Ismail Sabri Yaakob pernah tinggal serumah dengan saya di Kampung
Chubadak, Sentul dan di Kuala Lumpur ketika beliau menjadi mahasiswa Fakulti
Undang-Undang di Universiti Malaya.
Di dalam tulisan Andrew
Peris beliau menyatakan : “ …His (Ismail Sabri Yaakob) LCE results were poor so
he went to a vocational school in Form 4. He flunked his SPVM and went to a
private school to resit his exams.”
Fakta yang dinyatakan
oleh Andrew Peris itu tidak betul. Ada moleknya saya ceritakan dari awal
sejarah persekolahan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau asalnya
bersekolah rendah Melayu di Sekolah Kampung Bangau, Temerloh, Pahang. Selepas
darjah Enam, Ismail Sabri masuk ke sekolah berasrama, iaitu Sekolah Menengah
Air Putih, Kuantan. Murid yang dipilih bersekolah di sekolah berasrama biasanya
murid yang pandai.
Ismail Sabri yang
berasal dari sekolah rendah aliran Melayu terpaksa melalui kelas peralihan atau
remove class apabila di sekolah menengah. Dari kelas peralihan, Ismail Sabri
terus melompat ke Tingkatan Dua. Beliau tidak ke Tingkatan Satu. Murid yang
dibenarkan melompat dari Kelas Peralihan terus ke Tingkatan Dua tentunya bukan
murid yang lembam dan bodoh.
Ismail Sabri lulus
peperiksaan LCE (Lower Certificate Examination atau Sijil Rendah Pelajaran)
aliran sekolah Inggeris. Beliau naik ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik,
Kuantan. Bukannya ke “vocational school” seperti yang ditulis oleh Andrew Peris.
Ada perbezaan antara sekolah vocational dengan Sekolah Menengah Teknik.
Selepas Tingkatan 5,
Ismail Sabri terus menyambung pelajarannya ke Tingkatan Enam di Jaya Akademi,
Kuala Lumpur, iaitu sebuah kolej swasta yang dipunyai oleh abangnya sendiri.
Kemudian Ismail Sabri menduduki peperiksaan STPM di Jaya Akademi dan lulus
peperiksaan tersebut dengan cemerlang. Perkara ini berlaku di hadapan mata saya
kerana saya Pengetua Jaya Akademi ketika itu.
Andrew Peris memfitnah
Ismail Sabri Yaakob apabila menyatakan dalam tulisannya bahawa Ismail Sabri
dapat biasiswa untuk belajar undang-undang melalui ayahnya seorang kuat Umno di
Pahang. Ini adalah fitnah dan palsu dan berniat jahat.
Saya kenal ayah dan Ibu
Ismail Sabri Yaakob. Saya pernah bertemu Yaakob yang saya panggil Pak Cik
Yaakob. Saya pernah makan minum di rumahnya. Pak Cik Yaakob ayah Ismail Sabri
bukan orang kuat Umno. Dia rakyat biasa, mungkin bekas seorang penoreh getah.
Keluarga Ismail Sabri bukan orang senang. Mereka tidak miskin. Mereka ada kedai
kecil di pekan Temerloh. Ibu Ismail Sabri berjualan keperluan harian dan
buah-buah di kedai itu. Saya pernah ke kedai itu. Apabila Pak Chik Yaakob
meninggal dunia di Temerloh, saya pinjam kereta seorang kawan untuk membawa
Ismail Sabri pulang ke Temerloh di hari ayahnya meninggal dunia. Saya sempat ke
tanah perkuburan di mana Pak Chik Yaakob ayah Ismail Sabri dikebumikan. Saya
boleh menjadi saksi ayah Ismail Sabri bukanlah seorang orang kuat Umno Pahang.
Ismail Sabri dapat masuk
ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya adalah atas meritnya kerana
keputusan STPM yang baik, bukannya kerana dasar kroni atau ada “cable”. Adalah
satu tuduhan jahat Andrew Peris yang menuduh kemasukan ke Universiti Malaya
berdasarkan kroni atau “pintu belakang” kerana si ayah orang kuat Umno.
Saya bekas pelajar
Universiti Malaya boleh menyatakan sepanjang yang saya tahu pengambilan pelajar
undang-undang di Universiti Malaya adalah terhad. Bermula dengan 50 orang
pelajar pada tahun 1972 kemudian ketika zaman Ismail Sabri Yaakob jumlah pelajar
Fakulti Undang-Undang adalah sekitar 100 orang.
Andrew Peris perlu sedar
bahawa Universiti Malaya adaalah universiti ulung di Malaysia. Universiti
Malaya ada nama di Malaysia dan di dunia. Kita tidak boleh masuk belajar di
Universiti Malaya jika kita tidak layak, apatah lagi ke Fakulti Undang-Undang.
Memang benar Ismail
Sabri pernah menerima biasiswa. Semasa beliau di sekolah menengah, Ismail Sabri
Yaakob mendapat biasiswa RM25 sebulan atas dua sebab. Pertama dia pelajar yang
pandai dan sebab kedua kerana dia dari keluarga susah, keluarga penoreh getah. Ayah
dia bukan orang kuat Umno Pahang.
Ketika belajar di
Universiti Malaya, Ismail Sabri Yaakob mendapat pinjaman MARA.
Beliau lulus dengan
cemerlang sebagai pelajar Undang-Undang di Universiti Malaya dan kemudian
ditauliahkan menjadi seorang peguambela dan peguamcara. Saya pernah pergi ke
pejabat guaman Ismail Sabri di Kuala Lumpur dan berasa bangga seorang kawan
saya, sahabat se rumah dengan saya dan bekas murid saya telah berjaya menjadi
seorang peguam.
Dengan tulisan ini saya
harap saya telah dapat membetulkan fakta salah yang ditulis oleh Andrew Peris.
Sekian.
——–
Penulis adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang dcari PKR. Pada 15 Januari
2022 (Sabtu)