ISU AZAM BAKI DAN INDEKS PERSEPSI RASUAH



1. Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perceptions Index (CPI) dijangka akan diumumkan sembilan hari lagi iaitu pada 25 Januari 2022 sebagaimana kebiasaannya ia diumumkan pada penghujung bulan Januari setiap tahun. 


2. Pada 28 Januari tahun lepas, Malaysia jatuh dari kedudukan ke-51 ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara yang dinilai dalam CPI bagi tahun 2020. Skor Malaysia menurun dua mata berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 53 mata ke 51 daripada 100 mata keseluruhan. 


3. Untuk rekod, Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan rekod terbaik di mana Malaysia melonjak dari kedudukan ke-61 ke kedudukan ke-51 daripada 180 negara dalam CPI bagi tahun 2019. Skor Malaysia meningkat enam mata berbanding tahun sebelumnya (2018) iaitu dari 47 mata ke 53 mata.


4. Amat ironi apabila Malaysia bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa diri mereka kerajaan Melayu Islam, Indeks Persepsi Rasuahnya menjunam walhal Islam adalah agama yang cukup keras melawan rasuah dan penyelewengan kuasa. 


5. Nampaknya, kewujudan PAS sebagai sebahagian daripada Kerajaan nampaknya tidak membawa apa-apa erti dalam perjuangan melawan rasuah.


6. Pelbagai faktor penurunan kedudukan Malaysia bagi tahun 2020 termasuk pendedahan beberapa kes berprofil tinggi, akses terhad kepada maklumat mengenai perkara kepentingan awam, skandal daging tidak halal, amalan ‘scheme of things’ kerajaan Mahiaddin, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh penjawat awam yang berterusan serta lain-lain lagi. 


7. Sepanjang tahun 2021 pula, pelbagai isu integriti terus wujud secara berleluasa. Episod wakil rakyat lompat parti yang dibeli atau diugut dengan kes-kes rasuah amat mencolok mata termasuk kes Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang tiba-tiba melompat keluar PKR selepas beberapa hari SPRM menangkap ‘kenalan keluarganya’ MA Thigaran yang dikaitkan dengan skandal projek di Perak. Begitu juga dengan beberapa wakil rakyat lain termasuk beberapa orang ADUN Warisan di Sabah.


8. Lebih memburukkan keadaan timbul isu kehilangan wang bahan siasatan SPRM sebanyak RM25 juta ketika membuat siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Negara Datuk Hasanah Abdul Hamid. Kemudiannya seorang pegawai kanan SPRM ditahan kerana disyaki terlibat dengan kehilangan wang itu. Rakyat tertanya-tanya sejauh mana, para pegawai dalam sebuah badan yang bertanggung-jawab membanteras rasuah benar-benar berintegriti?


9. Saya percaya bahawa CPI bagi tahun 2021 akan terus jatuh menjunam berbanding tahun 2020 memandangkan pelbagai kes berprofil tinggi terus didedahkan termasuk isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada penghujung tahun 2021 yang lalu.


10. Peletakan jawatan ahli ekonomi Profesor Dr Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel perundingan SPRM pada 27 Disember 2021 adalah bom besar untuk persepsi rasuah di negara kita. Edmund mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai tertinggi di suruhanjaya berkenaan walaupun telah dilaporkan sejak awal November tahun lalu. 


11. Lebih aneh, Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dilihat tidak ambil berat isu tersebut seolah-olah negara tidak wujud Perdana Menteri. Kenyataan sambil lewa Perdana Menteri amat menyedihkan. Katanya tidak perlu rehatkan Azam Baki kerana sewaktu Lim Guan Eng dikaitkan dengan tuduhan rasuah dulu, tiada siapa yang minta Lim direhatkan. Bercelaru sekali logik yang digunakan.


12. Tidakkah Perdana Menteri sedar bahawa kegagalan Kerajaan dalam menguruskan isu Azam Baki ini akan menjatuhkan imej negara sekaligus Indeks Persepsi Rasuah akan semakin menjunam? 


13. Apabila itu berlaku, pelabur semakin kurang berminat untuk melabur di negara kita kerana rasuah yang tinggi akan meningkatkan kos perniagaan mereka kerana banyak mulut akan minta untuk disuap.


14. Akhirnya, satu persatu kilang ditutup kerana pelabur memindahkan operasi mereka di negara-negara jiran yang lebih baik. 


15. Ada pula menteri yang mempertahankan kononnya nilai saham yang dibeli oleh Azam hanya sekitar RM300 ribu sahaja dan ia masih dalam kemampuan Azam sebagai seorang pegawai kanan Kerajaan. 


16. Tidakkah menteri itu sedar bahawa Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 yang melarang pegawai awam daripada membeli saham dengan nilai melebihi RM100,000 pada nilai semasa.


17. Isunya bukan soal kemampuan. Isunya adalah pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan dan tujuan peraturan tersebut diwujudkan pula sangat berkait dengan isu integriti.


18. Menteri tersebut perlu sedar bahawa rasuah bukan hanya dalam bentuk sogokan wang atau material semata-mata tetapi juga memberikan maklumat mengenai saham yang bakal melonjak juga adalah satu bentuk sogokan. Misalnya pemilik sesebuah perniagaan boleh memberi maklumat itu kepada seseorang penjawat awam dan sebagai imbalan, pegawai awam tersebut perlu membantu mereka dalam sesuatu perkara.


19. Walaupun pihak SPRM telah mengadakan sidang media pada 5 Januari 2022, malangnya ia bukan hanya gagal menjawab dengan baik persoalan yang timbul sebaliknya menimbulkan pelbagai persoalan-persoalan baru yang semakin meragukan.


20. Alasan yang digunakan oleh Tan Sri Azam Baki bahawa akaunnya digunakan oleh adik beliau, Nasir Baki adalah melucukan dan sukar diterima kerana hujah mempertahankan diri itu sendiri adalah bertentangan dengan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), di bawah Seksyen 25 (4) yang menyatakan akaun sekuriti mestilah atas nama pemilik yang menerima manfaat. Pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) sendiri menuntut penjelasan daripada pihak Tan Sri Azam Baki berkenaan hal demikian.


21. Saya sangat bimbang melihat cara Kerajaan khususnya Perdana Menteri menguruskan perkara ini.


22. Integriti bukan hanya perlu ditegakkan tetapi integriti juga mesti dilihat benar-benar ditegakkan.


Hasbie Muda

16 Januari 2022 

5:40 petang



No comments: