VIDEO PENDEK PRN MELAKA : KERAJAAN MACAMARBA BULI WARTAWAN








Buli wartawan, kumpulan advokasi media bidas PAS



NUJ dan GERAMM menzahirkan kekecewaan terhadap reaksi dua pemimpin PAS terhadap soalan wartawan.

PETALING JAYA: Beberapa kumpulan advokasi media dan ahli politik membidas dua pemimpin PAS, termasuk seorang menteri, kerana bersikap bermusuh terhadap wartawan FMT yang hanya menjalankan tugasnya.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Farah Marshita Abdul Patah berkata, kesatuan itu tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa pemimpin dan ahli politik seperti kedua-dua individu berkenaan, yang “membuli wartawan ketika menjalankan tugas”.

“Harus diingat tugas wartawan, selain bertanyakan soalan bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai, kami juga mempunyai peranan dalam memastikan berlakunya semak dan imbang dalam pentadbiran negara/negeri/politik,” katanya dalam kenyataan.

FMT sebelum ini melaporkan dua pemimpin PAS, iaitu Idris Ahmad dan Awang Hashim, dilihat “mengasak” seorang wartawannya yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.

Idris, Naib Presiden PAS dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyoal sama ada wartawan Minderjeet Kaur boleh menerima jika suaminya “kaki judi”.

Manakala Awang, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, mendesak wartawan berkenaan supaya bertanyakan soalan dalam Bahasa Malaysia.

Farah berkata, soalan yang diajukan oleh wartawan perlu diterima dengan minda yang terbuka.

“Sekiranya anda gagal menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan, ia memberi maksud bahawa langkah/pelaksanaan yang diambil tidak difikirkan matang-matang,” katanya.

“Jangan salahkan orang yang bertanya, jika anda tidak mempunyai jawapan kepada soalan kami. Jangan cuba untuk mengalihkan soalan dengan menyerang kekurangan orang lain.”

Beliau turut mengingatkan agar tidak menggunakan kuasa untuk membuli, terutamanya terhadap wanita.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (GERAMM) turut meluahkan rasa kesal mengenai reaksi kedua-dua pemimpin PAS itu terhadap soalan Minderjeet.

“Bukan sahaja tidak menjawab soalan yang diajukan, portal Free Malaysia Today melaporkan wartawan mereka yang ditugaskan membuat liputan pelancaran manifesto PN (Perikatan Nasional) di Shah Alam disoal kembali oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad sama ada dia boleh menerima sekiranya suaminya seorang ‘kaki judi’.”

GERAMM berkata, tindakan kedua-dua pemimpin parti Islam itu, terutamanya sebagai sebahagian daripada kerajaan, tidak boleh diterima.

Katanya, setiap wartawan mempunyai tanggungjawab dan hak untuk bertanya tentang sebarang isu, dan pihak yang ditanya juga berhak untuk tidak memberi sebarang komen. 

Mengenai tindakan Awang menyoal sama ada wartawan berkenaan rakyat Malaysia atau bukan, hanya kerana beliau bertanyakan soalan dalam Bahasa Inggeris, GERAMM berkata: “Tidak ada alasan untuk menyerang wartawan secara peribadi hanya kerana tidak bersedia untuk menjawab.”

“Respon yang diberi jelas menunjukkan sikap tidak menghormati kerjaya wartawan dan juga wanita yang mungkin dilihat sebagai mudah dibuli.”

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa tindakan diambil terhadap dua pemimpin PAS itu, dengan mencadangkan penggantungan tugas atau penolakan gaji mereka.

“Perlu ada tindakan tegas terhadap kedua-dua mereka untuk dijadikan contoh. Adakah ini kualiti individu yang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kekalkan dalam Jemaah Menterinya? Memalukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa kedua-dua pemimpin PAS itu untuk turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan terbabit dan “berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini”.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia, katanya, perlu mendidik menteri dan timbalan menteri mengenai dekorum media bagi mengelak kejadian seperti ini berulang.

“Memandangkan Menteri Komunikasi Annuar Musa adalah penyokong fraterniti media, beliau harus menjadikan warisannya untuk merealisasikan majlis media yang telah lama dirancang bagi melindungi hak wartawan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen PKR Balik Pulau Yusmadi Yusoff juga bercakap mengenai isu ini di laman Facebook, menggesa kedua-dua pemimpin PAS itu memohon maaf kepada wartawan itu.

Katanya, pemimpin PAS terbabit sepatutnya mengambil peluang ini untuk memberi penjelasan, bukan menakut-nakutkan wartawan yang hanya menjalankan tugasnya.

“Peranan media dalam sistem demokrasi adalah sama penting, dan tidak keterlaluan saya katakan menjadi lebih penting dalam sebuah negara yang semi-autoritarian seperti Malaysia,” katanya.

No comments: